Takziah buat keluarga Ust Asri Rabbani

d85e

Takziah diucapkan kepada keluarga Ust. Asri Rabbani yang telah kembali pulang bertemu dengan Pemiliknya…Sesungguhnya tidak sedikit sumbangan Ust Asri terhadap perkembangan dakwah Islam di Malaysia, khususnya dalam menyediakan hiburan alternatif yang lebih bermanfaat dan dapat menyedarkan masyarakat. Kepulangan beliau merupakan satu kehilangan besar kepada dunia nasyid. Apa yang pasti, beliau telah lakukan apa yang termampu dalam memberi sumbangan mengajak manusia ke arah kebaikan. Kita doakan semoga beliau diampunkan dan dirahmati oleh Allah.

* Teringat kenangan lama ketika beberapa kali mengadakan persembahan bersama Ust Asri dan Kumpulan Rabbani. Ketika itu, saya aktif dengan salah sebuah kumpulan nasyid.. Semoga Allah Berkati Dunia Akhirat…..

Wacana Ilmiah di UPSI

100_0620

 

100_06311

 

Ketika menjadi ahli panel forum sempena Wacana Ilmiah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 25 Julai 2009 yang lalu. Di sebelah saya ialah Prof. Dr. Supli Effendi Rahim (pensyarah UPSI). Forum kali ini membahaskan tentang “Menghayati Perjuangan Rasulullah s.a.w Dalam Pendidikan”. Terima kasih kepada pihak penganjur iaitu Persatuan Bahasa Arab UPSI yang telah sudi menjemput saya.

Semoga kita  semua bakal menjadi penyambung perjuangan Rasulullah dalam mendidik dan membina ummah yang bermaruah.

Nisfu Sya’ban: Elakkan Penyebaran Hadis Palsu

NISFU SYA’BAN: ELAKKAN PENYEBARAN HADIS PALSU

Oleh:

Abd Razak  A. Muthalib

 

24-44

Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Sya’ban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis yang palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis-hadis yang disebarkan adalah menyentuh tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Sya’ban.

 

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban

 

Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi s.a.w menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:

 

         Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan  kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar))..

 

Hadis ini adalah palsu, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh Syaikh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

 

         Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).

 

Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah palsu. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula merekodkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun  terkenal sebagai pembuat hadis.

 

– Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)). Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini sebagai hadis palsu.

 

Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit (benar-benar wujud dan dilakukan oleh Rasulullah saw), pasti Rasulullah s.a.w akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

 

Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah palsu, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

 

Syaikh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah daif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah palsu seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)). (Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

 

Salah seorang sarjana terkenal masa kini, Syaikh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: ((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat  sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban. Sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi s.a.w hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).

 

Beliau menambah lagi: ((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

 

Para ulama muktabar lain seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khusus pada malam Nisfu Sya’ban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadith-hadith yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khusus yang perlu dilakukan.

 

Maka, sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadith atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al-Suyuti: ((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

 

b) Hadis tentang kelebihan puasa khusus pada hari Nisfu Sya’ban.

 

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadith sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadith yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih (tanggal 13,14,15 pada setiap bulan hijrah) dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi lagi: ((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada dalil syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).(Rujuk: Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

 

c) Hadith tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.

 

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu (biasanya surah Yaasin) dengan  niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadith-hadith sahih yang menjelaskannya.

 

Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadith yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadith-hadith tersebut di sisi ulama hadith.

 

Telah kita sedia maklum bahawa sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah swt. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan merekacipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah swt.

 

 

 

Serangan Pemikiran Khurafat & Tahyul

 

Alhamdulillah, bertarikh 21-21 Julai yang lalu, dua kertas kerja saya telah diterima dan berjaya dibentangkan sempena Seminar Kebangsaan: Media & Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia, bertempat di Hotel Equatorial, Bangi-Putrajaya.

Dua kertas kerja tersebut dihasilkan dengan gandingan idea dan kerjasama bersama Sdr. Ezry Fahmy (graduan Kuliyah Ekonomi UIAM). Dua kertas kerja tersebut bertajuk:

1) Media dan Serangan Pemikiran

2) Penerimaan dan Penyampaian Maklumat Oleh Media Melalui Perspektif Islam

Berikut saya kongsikan salah satu bahagian dalam kertas kertas kerja pertama yang menyentuh tentang serangan pemikiran khurafat dan tahyul melalui media..

 

100_0583

 

 

100_0585

 

I.       Pemikiran tahyul ,khurafat dan bidaah

Dari segi etimologi, perkataan khurafat ini berasal dari bahasa Arab: kharafa-yakhrifu-kharfan-khurafatan—manakala bahasa Inggeris merujuk kepada superstition dan superstitio dalam bahasa Latin yang bermaksud sesuatu yang dipetik, atau cerita bohong, dongeng, tahyul dan perkara yang tidak masuk akal tetapi ianya menarik (Ensiklopedia Islam, 1994). Manakala definisi bidaah pula menurut bahasa ialah diambil daripada perkataan Arab bida’ yaitu mengadakan sesuatu tanpa ada contoh. Manakala dari sudut istilah pula takrifan yang paling kemas ialah takrifan Imam Syatibi, beliau mengtakrifkan bidaah sebagai sebagai jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariat, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT (Ismail Omar, 2006:326).

Pemikiran dan kepercayaan tahyul dan khurafat ini telah lama wujud dalam masyarakat Melayu nusantara. Sebahagiannya adalah dibawa masuk ke dalam adat dan amalan masyarakat Melayu hasil pengaruh agama-agama atau bangsa-bangsa lain. Namun, hasil kesedaran dan usaha gigih para ulamak dan pendakwah khususnya di alam nusantara Melayu, sedikit demi sedikit amalan dan kepercayaan karut, tahyul dan khurafat ini berjaya dihapuskan. Sebagai contoh, upacara pemujaan laut dan mandi Safar dengan kepercayaan untuk mengelakkan segala mara bahaya dan sial yang akan berlaku.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna masyarakat Islam di Malaysia ini telah bersih dari segala amalan dan pemikiran tahyul dan khurafat yang bercanggah dengan akidah Islam. Masih terdapat sebahagian masyarakat Melayu Islam yang mana pemikiran dan amalan mereka dicemari dengan unsur-unsur tahyul dan khurafat. Sebagai contoh, amalan zikir, pemujaan dan kepercayaan karut yang berlaku di kubur di Pulau Besar, Melaka[1].

Dukacitanya media elektronik pula cuba menyuburkan semula pemikiran dan amalan tahyul, khurafat dan bidaah ini melalui filem dan program-program televisyen. Sejak kebelakangan ini didapati begitu banyak filem-filem dan drama-drama berunsurkan seram yang mengisahkan cerita-cerita berkaitan hantu, jin dan syaitan dihasilkan oleh pengarah-pengarah filem negara kita.

Jika kita singkap kembali sejarah filem Melayu,  filem Pontianak, yang diterbitkan pada 1975, merupakan filem Melayu genre seram pertama yang diarahkan oleh BN Rao. Filem yang menampilkan primadona Datuk Maria Menado ini mendapat sambutan di luar jangkaan. Namun, selepas itu  industri perfileman Malaysia dilihat seperti ketandusan filem genre seram selepas terpaksa berdepan dengan peraturan dan penguatkuasaan yang tegas oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada waktu itu. Pengharaman filem Fantasia arahan Aziz M.Osman, atas alasan filem itu mengandungi unsur-unsur tahyul dan boleh memesongkan akidah, adalah salah satu bukti ketegasan pihak LPF ketika itu. Kesannya menyebabkan ramai pengusaha filem tidak berani untuk menghasilkan filem-filem seram lagi kerana membayangkan risiko kerugian jika filem mereka itu tidak diluluskan. Continue reading Serangan Pemikiran Khurafat & Tahyul

Lakukan apa yang termampu, kerana Tuhan itu Maha Tahu

 Pada 10 Januari 09 (Sabtu), selepas mengendalikan satu bengkel kepimpinan dan pengurusan organisasi untuk barisan exco Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Cyberjaya University College of Medical Sciences, Student Chapter, saya bergegas bergerak ke Stadium Melawati, Shah Alam untuk menyertai rapat umum yang dianjurkan oleh Aman Palestin.

Sampai sahaja saya di sana, kelihatan ribuan rakyat Malaysia yang berhimpun dan mendengar ucapan daripada wakil-wakil NGO dan parti politik yang ada. Tahniah kepada mereka yang hadir. Pada hemat saya, kehadiran ribuan masyarakat yang prihatin ini adalah untuk memberi sokongan kepada usaha-usaha pihak penganjur dalam rangka menghimpunkan dana.

Bagi saya, setiap manusia yang berjiwa manusia, mesti melakukan sesuatu yang termampu bagi membantu rakyat Palestin, khususnya di Gaza dalam menghadapi situasi sekarang ini.

 Mungkin ada orang yang komen, sudah banyak kali orang berhimpun dan melaungkan kata-kata semangat, tetapi adakah itu semua berkesan? Adakah suara kita itu dapat didengari oleh rejim Zionis yang keparat itu? Maka, ramailah pihak atau pun individu yang tampil memberi komen atau kritikan. Dicadangkanlah teori-teori tertentu. Sepatutnya dibuat begini, bukan begitu. Yang lebih berkesan dibuat begini, bukan macam itu…dan berbagai-bagai lagi..

Masing-masing mempunyai kemampuan tersendiri. Apa yang penting bertindaklah mengikut kemampuan. Asalkan ia bertepatan dengan syariat. OLeh itu, lakukanlah apa yang termampu, kerana Tuhan itu Maha Tahu….

155_0070.jpg

155_0069.jpg

155_0067.jpg

155_0073.jpg

155_0075.jpg

155_0078.jpg

Muharam: Elakkan Kepercayaan Karut

 

 

 

Oleh:

Abdul Razak bin Abd Muthalib

 

 

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Allah swt juga  mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat. Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan  hakim bagi segala penentuan.

 

Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati  banyak riwayat yang membicarakan tentang  amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw. Ini penting kerana setiap amalan yang ingin kita lakukan mestilah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang sahihah agar ianya diterima dan diberikan ganjaran pahala.                       

 

Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharram ini ialah:

 

 

Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:

 

  • 1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: ((Apakah ini?)). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu)), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari ) Continue reading Muharam: Elakkan Kepercayaan Karut

Menuju Senja 1429

 

 senja.jpg

Senja 1429 Hijrah semakin hampir. Alhamdulillah. Marilah kita melafazkan rasa syukur buat kesekian kalinya diatas kurniaan nikmat yang tidak terhingga selama ini. Segala puji bagi Allah juga kita panjatkan kehadhrat-Nya yang telah menciptakan masa dan menyediakan di samping masa tersebut kelebihan-kelebihan tertentu. Justeru, kita dapati ada bulan-bulan, hari-hari dan malam-malam tertentu yang istimewa dan disediakan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Ini semua membuktikan rahmat dan kasih sayang dari Yang Maha Pencipta untuk sekelian hamba-Nya yang memberikan peluang untuk kita menambahkan amal soleh sebagai persediaan dan bekalan  sebelum dijemput pulang semula ke pangkuan-Nya.

Hakikatnya, hari-hari yang telah berlalu tidak akan kembali. Peluang yang ada mungkin hanya muncul sekali. Biarlah hidup dipenuhi dengan menabur bakti. Periksalah amalan diri setiap hari sebelum kita melabuhkan tirai hari ini. Tingkatkan amalan untuk hari-hari yang bakal muncul nanti. Tinggalkan kesilapan yang mencemar nilai diri. Semoga 1429 ini akan diakhiri dengan catatan amal soleh yang penuh beerti.

“Kembali Kepada Asal”

Pada 20-21 Dis yang lalu, saya telah dijemput untuk membentangkan satu kertas kerja kepada sekumpulan pelajar UIA, Kampus Kuantan. Kertas kerja tersebut bertajuk “Kembali Kepada Asal”. Berikut adalah pendahuluan kepada kertas kerja tersebut:

Pembuka bicara yang perlu dibaca

Lembaran sejarah mencatatkan betapa umat Islam ini diuji dengan pelbagai jenis fitnah, krisis dan kekeliruan pemikiran yang dahsyat. Agama Islam yang suci telah dicemari dengan berbagai-bagai unsur kesesatan, khurafat dan bidaah. Kemurnian Al-Quran dinodai dengan penyelewengan dan pengeliruan. Al-Sunnah pula terpaksa berhadapan dengan jenayah pemalsuan dan kejahatan mereka yang mengingkarinya. Ini semua adalah gambaran kepada fitnah yang dahsyat dan bencana yang buruk terhadap agama Islam.

Namun, agama ini tetap dipelihara oleh Allah Azza wa Jalla, kerana itulah janjiNya. Andaikan tidak, maka cukup sekadar satu sahaja fitnah dan bencana yang melanda, ia telah cukup membuatkan Islam ini menjadi porak peranda. Dasar-dasarnya akan dicela, panduan-panduannya akan dinoda, malah mungkin akan sampai tahap dilenyapkan begitu sahaja, tanpa ada bekas tersisa. Continue reading “Kembali Kepada Asal”

Berilah makna pada hidup ini

spies-158-6.jpg

Pada 15-16 Dis 08 yang lalu, pihak MAP Consultant di bawah pimpinan Ym Dr.Tengku Asmadi telah berganding bahu dengan RK Training & Management bagi mengendalikan satu lagi program SPIES. Program ini diadakan di Kalumpang Resort dan melibatkan peserta yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi dari pelbagai IPT.

Semasa majlis penutup saya telah sampaikan satu peringatan berikut:

Sebagai orang beriman, kita cukup bertuah kerana mempercayai dan menyakini akan adanya hari Akhirat. Nasib di akhirat akan ditentukan bagaimana cara kehidupan kita di dunia. Oleh itu, berilah makna pada hidup ini. Terus menuntut ilmu dan menabur bakti. Beri sumbangan untuk umat, berjuang demi agama. Moga-moga kita akan hidup bahagia di sana“.

imgp3506.JPG

Tuan Hj. Fadzli Yusof (konsultan kanan RK Training) sedang mengendalikan satu sidang pleno

spies-158-2.jpg