Diari 9.9.06 (episod 5)

 

Hadiah Pencetus Mahabbah…

15 /9/2006

nokia.jpg

 

 

Benarlah kata Rasulullah saw:

((?????? ??????))

Kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling berkasih sayang“. (Riwayat al-Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrad, no 462)

Aku benar-benar merasai kebenaran kata-kata Nabi saw ini. Terbaru, hari ini 15 September 06, apabila aku mendapat hadiah suatu yang tidak pernah ku sangka, walau pun ia mungkin kecil dari kaca mata orang yang tidak merasa, dari seseorang yang tidak pernah ku duga, dan ianya berlaku ibarat sekelip mata, di bumi kelahiran tuan empunya sabda, Makkah al-Mukarramah negeri barakah penuh lagenda.

Aku sudah mengenali sahabat ini telah lama, hampir 6 tahun yang lalu. Tetapi ia hanya sekadar perkenalan. Kami bukan dari kampung yang sama. Kami bukan dari daerah yang sama. Kami bukan dari negeri yang sama. Kami juga bukan dari sekolah yang sama. Malah kami juga bukan dari universiti yang sama. Tetapi yang menjadi jambatan silaturahim antara aku dan sahabat ini ialah abangnya. Aku dan abangnya pernah  belajar di Matrikulasi UIA. Kami memang rapat dan banyak “aktiviti-aktiviti” yang kami terlibat bersama. Aku pernah beberapa kali menziarahi rumahnya dan bermalam di situ. Di sinilah aku diperkenalkan dengan sahabat ini. Aku mula mengenali namanya, tetapi belum lagi peribadinya. Semenjak perkenalan ini, kami tidaklah selalu berhubung sangat. Tetapi aku menganggap dia adalah salah seorang ‘kenalan’ aku.

Walaupun kami jarang berhubung, tetapi aku sedikit sebanyak mengetahui perkembangan tentang sahabat ini melalui sembang-sembang dengan abangnya, khususnya yang berkaitan dengan pendidikan. Aku tahu dia dapat belajar di Kusza, belajar di Lubnan dan akhirnya dapat menyambung pelajaran di Universiti Islam Madinah. Tetapi seperti yang aku katakan, aku hanya sekadar tahu.

Namun, kata-kata ini ada kebenarannya: “Even if I didn’t see you, even if we have less talks, less hellos and salam, less stories and less greeting….always remember that our relationship never be less!”.

Seingat aku, sepanjang aku belajar di UIA, Gombak, kami tidak pernah berjumpa (minta maaf kalau ana terlupa). Sehinggalah pada bulan Julai 06 yang lalu. Ketika itu, pelajar Madinah pulang bercuti. Kebetulan pada waktu itu juga aku terlibat dalam menguruskan satu kursus yang dianjurkan dengan kerjasama Rabitah Alam Islami (Muslim World League, Mekah) yang diadakan di negeri sahabat ini. Di sini kami berjumpa semula, tanpa dirancang. Aku masih ingat, malam itu aku baru mula melelapkan mata kerana kepenatan. Tiba-tiba aku diberitahu yang sahabat ini datang. Bingkas aku bangun dan menyambut kedatangannya. Kami bersembang malam itu begitu rancak. Sahabat ini menceritakan keadaannya sekarang. Aku seakan-akan tidak percaya kerana ada di antara ceritanya adalah yang bersifat peribadi, yang selalunya tidak diceritakan kecuali kepada orang-orang yang rapat. Tetapi entah kenapa, aku rasakan kami memang rapat walau pun aku jarang berhubung dan bertemunya.

Aku mula mengenali sedikit demi sedikit tentang peribadinya. Aku kenal bahawa sahabat ini adalah seorang yang peramah dan ceria. Semenjak itu, sekali sekala kami berhubung melalui sms dan telefon.

Diringkaskan catatan ini, pada 14/9/06 kami bertemu semula. Bertemu semula di negeri kelahiran Baginda, negeri barakah penuh mulia, medan perjuangan generasi pertama, adanya Masjid al-haram pahala berganda, Makkah al-Mukarramah yang penuh lagenda.

Aku terkejut yang kedatangannya dari Madinah untuk singgah di Jeddah. Tetapi apabila dia tahu aku ada di Mekah, dia terus mengambil keputusan datang ke Mekkah untuk bertemu. Aku sangat gembira di atas kedatangan sahabat ini. Malam itu, kami bersembang sehingga dinihari, hampir 2 pagi hinggalah kami terus tertidur di rumah PPM (Persatuan Pelajar Malaysia, Mekah). Pelbagai khabar cerita dan pengalaman yang kami berkongsi bersama.

Malam esoknya (15/9/06), kami keluar untuk makan malam bersama. Dia perkenalkan aku dengan satu lagi produk Muslim yang menjual ayam ala-ala KFC. Aku dibawa ke restoran makanan segera AL-BAIK. Rasanya boleh tahan. Malahan, dari pemerhatian aku, restoran ini lebih sesak dipenuhi oleh pelanggan jika dibandingkan dengan restoran KFC dan PIZZA yang ada di Mekkah ini.

321833974.jpg

Selesai menikmati makan malam, kami terus pergi ke satu kawasan yang banyak mempunyai deretan kedai telefon. Pekan Aziziyah memang terkenal dengan pusat jualan handphone di Mekah ini. Setiap malam, ramai yang akan memenuhi kawasan ini kerana adanya jualan lelong handphone2 terpakai. Sahabat aku tadi hanya  ingin membeli sim card yang baru. Tiba-tiba, seperti tidak percaya apabila dia sebut: “Mai sini, ana nak hadiah handphone kat anta. Pilih la yang mana suka”. Pada mulanya aku anggap dia hanya bergurau. Aku hanya senyum dan buat endah tak endah saja. Tapi dia menarik tangan aku dan minta aku pilih handphone mana yang  suka. Rupa-rupanya ini bukan lagi ‘coobaaan…’. Tetapi ini betul-betul.

Tiada kata-kata lagi yang dapat aku susun untuk menggambarkan rasa gembira dan terima kasih ku kepada sahabat ini. Aku semakin kenal lagi peribadi sahabat ini. Dia seorang yang tidak berkira, tidak lekok, pandai meraikan sahabat dan suka menolong.

Sepanjang 2 hari kami bertemu di Mekah ini, banyak juga ilmu dan nasihat yang diberikan.  Aku bersyukur kerana bertambah lagi sahabat yang suka memberi nasihat kepada aku. Aku doakan semoga Allah membalasnya dengan kebaikan di dunia dan akhirat. Semoga dia juga dipertemukan dengan seorang insan yang bakal menjadi penyejuk mata, penawar derita, isteri solehah peneman setia -semasa aku tulis catatan ini, dia masih bujang. Tapi, sekarang dia sudah pun bergelar seorang ayah-. Semoga persahabatan kami terus berkekalan dan dirahmati. Semoga perkenalan ini kerana Allah dan berpisah juga kerana Allah.

Terima kasih, Khairi Md. Jahya.!

copy-of-image142.jpg

dsc00374.JPG

p/s: Catatan ini ditulis bukan sekadar untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Al-Akh Khairi sahaja, tetapi untuk menggambarkan bagaimana manisnya kehidupan ini  apabila kita mengaplikasikan amalan sunnah. Antara sunnah Rasulullah saw ialah memberi hadiah. Ia boleh digunakan dalam membantu keberkesanan dakwah, khasnya dakwah fardiyah dan untuk mengeratkan lagi ukhuwah. Hadiah tidak semestinya yang mewah.Tapi, cukup sesuatu pemberian tanda ukhuwah yang akan mencetuskan mahabbah….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *