Sah!Saiful diliwat jika….

Angkara dusta dan fitnah, keharmonian akan musnah

 

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur jahat ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

 

Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain. Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah saw menjawab: ((Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya)). Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”. Rasulullah saw menjawab: ((Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya)). (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).

 

Syaikh Muhammad ibn Soleh al-‘Uthaimin di dalam Syarh Riyadh al-Salihin telah membahagikan dusta ini kepada dua bahagian:

 

Pertama: Dusta terhadap Allah dan RasulNya. Inilah jenayah yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman Allah swt (bermaksud): ((Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim)) (al-An’am:144).

 

Dusta terhadap Allah dan Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu:

Menyandarkan kepada Allah atau kepada Rasulullah saw sesuatu yang bukan daripada firmanNya atau pun sabda Baginda saw. -Pencipta hadis palsu termasuk dalam golongan ini-.

Menafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang salah lagi menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.

 

 

Rasulullah s.a.w. memberikan suatu peringatan dan ancaman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabda yang bermaksud: ((Sesiapa yang melakukan dusta keatasku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka)). (Muttafaqun’alaihi). Cukuplah amaran Allah dan Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita.

 

Waspadalah dalam berbicara, apatah lagi lagi jika ia membabitkan hal agama. Suasana hari ini mempamerkan kepada kita bahawa ramai umat Islam yang tidak memahami secara jelas tentang sesuatu hal yang berkaitan dengan Islam tetapi berminat untuk mengambil bahagian dalam mengulas dan menyampaikan pendapat mereka. Natijahnya, maka muncullah pendapat-pendapat pelik yang lari jauh dari landasan yang sebenar. Bahkan sebahagian daripada kalam-kalam mereka itu jika diamati boleh menjejaskan kesahihan akidah mereka.

 

Ramai juga yang menjadikan hadis-hadis Nabi s.a.w. sebagai hujah untuk membenarkan kata mereka. Perkara ini jika dilihat secara kasar adalah amat baik malahan sangat dituntut. Tetapi, malangnya mereka mengambil sikap cuai dan lewa dalam menyampaikan hadis-hadis tersebut dengan tidak mempastikan terlebih dahulu tahap kesahihannya. Maka, digunakan hadis-hadis dhai’f dan palsu sebagai hujah dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang dipentingkan adalah pendapat mereka diterima, barangan mereka laris, sokongan terhadap mereka bertambah, kedudukan mereka tidak tergugat, periuk nasi mereka selamat.

 

Malah yang lebih malang lagi, perkara ini dilakukan oleh mereka yang berpendidikan khusus dalam bidang agama. Mereka mengerti hakikat sebenar, tetapi sengaja menyembunyikan kebenaran. Mereka mengetahui hukum-hakam yang tepat, tetapi sengaja memutar belitkan kenyataan. Mereka memahami hakikat sesuatu ilmu, tetapi sengaja mengkhianati ilmu yang mereka pelajari. Asalkan mereka mendapat restu dan sokongan, dari rakyat jelata dan pimpinan atasan.

 

Dr. Nur al-Din al-‘Itr di dalam kitabnya Manhaj al-Naqd fi ‘Ilmi al-Hadith telah menggariskan lima sebab dan golongan yang menyebabkan muncul dan tersebarnya hadis-hadis palsu ini dikalangan masyarakat. Dua daripada sebab-sebab dan golongan tersebut ialah:

Untuk menggalakkan manusia kearah kebaikan dan memberi amaran daripada melakukan kemungkaran (al-taghrib wa al-tarhib). Termasuk di dalam golongan ini adalah mereka yang jahil yang beranggapan zuhud dan ingin melakukan tazkiyat al-nafs. Tetapi amalan mereka ini dilakukan dalam keadaan mereka jahil dengan asas agama yang sebenar. Maka mereka mencipta hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat zikir dan solat-solat sunat yang melampaui prinsip-prinsip agama, lalu disebarkan untuk menggalakkan masyarakat ke arah kebaikan. Mereka pula mencipta dan menyebarkan hadis-hadis tentang azab dan balasan dosa terhadap kesalahan-kesalahan tertentu yang keterlaluan dan menyimpang jauh daripada asas agama dengan tujuan menjauhkan manusia daripada melakukan kemungkaran. Tetapi tanpa disedari mereka telah melakukan pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w.

 

Untuk mendapat habuan keduniaan. Termasuk di dalam golongan ini adalah golongan yang ingin menghampiri diri kepada pemerintah dan juga para penyampai dan pencerita yang bertujuan mendapat habuan masing-masing. (Al-Itr, Nur al-Din, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith (Beirut; Dar al-Fikr al-Muasir,cet.3,1997), hal.304).

 

Kedua: Dusta terhadap manusia. Dusta terhadap manusia ini juga boleh belaku dalam dua keadaan. Pertama; seseorang yang berpura-pura menzahirkan dirinya sebagai seorang yang beriman, beramal soleh dan melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya dia adalah kafir yang tidak bersikap sedemikian. Golongan inilah yang digelar sebagai munafik. Allah s.w.t. menyifatkan golongan ini melalui firman-Nya: ((Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman)).(Al-Baqarah:8).

Kedua, pendustaan terhadap manusia boleh berlaku apabila seseorang itu mengatakan sesuatu yang tidak benar atau menyebarkan sesuatu berita palsu di kalangan masyarakat.

 

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah s.a.w. menerangkan tentang empat perkara jika terdapat pada seseorang, maka dia tergolong dalam golongan munafik (munafik amalan). Diantara empat sifat tersebut adalah apabila bercakap dia berbohong.

 

Tetapi fenomena yang berlaku hari ini, seolah-olah menghalalkan sikap berdusta dan menabur fitnah ini. Fitnah dan dusta ditaburkan kepada masyarakat samaada melalui percakapan, ceramah, media massa (akhbar & tv), tulisan (buku, artikel, laman web), sms dan sebagainya. Ia dilakukan sama ada oleh individu tertentu demi kepentingan peribadi atau oleh kumpulan-kumpulan tertentu demi meraih sokongan dan mendapat kemenangan. Maka disebarkanlah berita-berita palsu dan fitnah-fitnah yang memburukkan pihak lain. Harapannya supaya kepercayaan terhadap pihak tersebut akan terhakis. Kedudukannya akan tergugat. Dakwahnya tersekat. Perjuangannya akan singkat.

 

Lebih membimbangkan jika fitnah dan dusta ini menggunakan isu-isu yang berkait dengan hukum hakam agama. Sebagai contoh, menuduh seseorang dengan kesalahan membunuh, berzina, meliwat, mencuri dan sebagainya. Semua kesalahan ini adalah antara kelakuan jenayah yang diharamkan oleh agama. Syariat Islam telah menetapkan garis panduan dan prosedur yang lengkap sebelum menjatuhkan hukuman ke atas seseorang yang dituduh. Oleh itu, sebarang tuduhan yang dilemparkan ke atas seorang Muslim, mestilah mengikut garis panduan dan prosedur yang telah ditetapkan oleh syariat, bagi membuktikan kesahihannya. Jika pihak yang menuduh gagal mengikut prosedur seperti yang ditetapkan syariat, maka yang menuduh itu berhak untuk dihukum berdasarkan peruntukan yang diberikan oleh syariat. Jadi, berhati-hatilah dengan hukum hakam agama. Melanggar peraturan Tuhan tidak sama seperti melanggar peraturan kerajaan.

 

Selain itu, sikap menabur fitnah dan menyebarkan berita palsu ini merupakan sikap yang boleh menyakiti hati sesama Muslim dan menyebabkan hubungan ukhuwah akan menjadi retak. Sebab itulah Islam amat melarang perbuatan menyakiti hati seorang Muslim yang lain dan menjanjikan balasan dosa terhadap mereka yang melakukan sedemikian. Firman Allah s.w.t.(bermaksud): ((Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata)).(Al-Ahzab: 58)

 

Oleh itu, wahai seluruh kaum Muslimin, berhati-hatilah dalam berbicara, berwaspadalah dalam bertindak. Ini kerana segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan di dunia, sedikit pun tidak akan terlepas daripada pandangan dan perhitungan-Nya. Allah s.w.t. berfirman (bermaksud): ((Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau pebuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)). (Qaaf: 18)

 

Semoga kita semua digolongkan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang bercakap benar dan selamat dari sebarang fitnah. Sikap kita sebagai orang beriman adalah seperti yang dipesan oleh Allah Azza wa Jalla dalam firmanNya bermaksud:

((Wahai orang-orang beriman! Jika datang kepada kamu orang fasiq dengan suatu khabar berita, maka semak dan siasat kesahihanya terlebih dahulu…)) al-Hujurat: 6

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *