Masa dan penyesalan

USTAZ ABDUL RAZAK MUTHALIB
26 Disember 2014
ukhuwah

2014 hampir mengucapkan selamat tinggal. 2015 sudah mula mengintai. Inilah hakikat masa. Ia akan sentiasa bergerak. Sang suria tidak akan selama-lamanya memancarkan sinar.

Tiba putarannya ia akan terbenam memberi laluan kepada rembulan. Rembulan juga tidak selama-lamanya akan bercahaya. Sang suria dan rembulan saling bersilih ganti bagi melengkapkan pusingan hari.

Begitulah siang akan berganti malam. Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Inilah yang dinamakan masa. Masa adalah kehidupan. Masa adalah nikmat yang dikurniakan.

ALLAH SWT berfirman: “Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat ALLAH nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya”. (Surah Ibrahim: 33-34)

Masa adalah makhluk

Masa adalah makhluk ciptaan ALLAH. Penciptaannya penuh keajaiban. Saintis barat mengkajinya dengan teori space and time. Semua makhluk lain diletakkan dalam sistem masa. ALLAH yang mencipta masa justeru Dia tidak terikat dengan sistem masa yang diciptakan. Masa mempunyai nilai dan kepentingannya di sisi Islam. Dalam al-Quran terdapat banyak tempat yang ALLAH bersumpah dengan masa seperti waktu malam, siang, fajar, duha dan Asar. Terkenal di sisi ahli tafsir al-Quran, jika ALLAH bersumpah dengan sesuatu perkara ia bagi menunjukkan kepentingan perkara tersebut dan supaya kita memberikan perhatian terhadapnya.

Masa itu relatif

Masa sifatnya ia bergerak pantas. Sepantas angin lalu. Sama ada semasa kita sedang mengacapi detik gembira atau pun ketika jiwa gundah gulana menanggung duka dan kecewa.

Di saat kita gembira, kadang-kadang berasa masa cepat berlalu. Walaupun sebenarnya kita inginkan detik itu kekal berpanjangan. Di ketika kita sedang berduka pula terasa begitu lambat masa ini berputar. Sedangkan hakikatnya sama saja. 24 jam tetap jumlahnya 24 jam.

Hanya perasaan insan yang menanggungnya berasa berbeza.

Nilai masa bagi setiap orang berbeza. Seorang yang menanggung kesakitan selama 10 tahun dengan penuh reda dan sabar, kemungkinan merasakan ia lebih singkat berbanding satu tahun sakit yang dialami orang lain.

Orang dahulu dengan segala kekurangan yang ada, tetap mampu menghasilkan banyak perkara. Orang hari ini, semakin banyak gajet yang ada semakin mengeluh tidak cukup masa. Sehingga tidak cukup masa untuk Tuhannya.

Kadang-kadang sehari yang dilalui dirasakan begitu lama. Kadang-kadang pula terasa sangat pantas. Semua ini adakah kerana tempoh masa yang berbeza? Tidak! Ia tetap sama. Elbert Einstein dan Newton cuba membahaskan perkara ini melalui teori relativity of time.

Keberkatan masa

Islam menjawab hakikat perbezaan ini melalui konsep barakah; keberkatan masa dan umur. Berkat bermaksud bertambah dan berkekalan kebaikan yang dikurniakan oleh Allah. Ada insan yang umurnya hanya singkat, namun sumbangannya kepada umat begitu banyak dan diingat. Ada orang yang umurnya panjang, namun tidak ada sumbangan yang dapat dibilang.

Kita tidak mampu untuk menongkah dan merubah masa. Ini di luar kawalan manusia. Namun, kita mampu untuk mengawal dan menentukan apa yang perlu kita lakukan dalam ruang masa yang ada. Biar singkat namun berkat daripada panjang yang lompang.

Sesaat masa yang berlalu tidak akan berulang kembali. Masa merubah kehidupan insan. Bayi berubah menjadi kanak-kanak. Kanak-kanak menjadi remaja.

Remaja menjadi dewasa. Dewasa menjadi tua. Tua menanti hari akhirnya. Semua ini berkaitan masa. Perubahan masa juga merubah pelbagai keadaan manusia. Ada orang dahulunya miskin, hari ini menjadi kaya. Dahulunya sengsara, hari ini bahagia. Dahulunya tidak dipandang manusia, hari ini dijulang dan disanjung mulia. Tidak kurang juga yang dahulu megah berkuasa, hari ini jatuh tersungkur merangkak meraih simpati manusia.. Demikianlah betapa banyak lagi keadaan yang berubah dengan perubahan masa.

Detik penyesalan

Pepatah Melayu sering menyebutkan “masa itu emas”. Ya, benar. Bahkan lebih berharga daripada emas. Manusia yang tidak menyedari nilai masa dan mempersiakanya, pasti akan datang padanya detik penyesalan. Saat itu penyesalan tidak lagi berguna.

Lihatlah bagaimana ALLAH menggambarkan penyesalan manusia di saat perpisahannya dengan alam dunia dan menuju ke alam akhirat. Berharap agar ajal ditangguhkan bagi memperbaiki amalnya. Firman-Nya: “Wahai orang beriman! Janganlah kamu dilalaikan (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripada mengingati ALLAH (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi”.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang yang soleh”. (Surah al-Munafiqun: 9-10)

Namun, permintaan ini hanya tinggal harapan apabila ia dibalas: “Dan (ingatlah), ALLAH tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan ALLAH Maha Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan”. (Surah al-Munafiqun: 11)

Penyesalan ini tidak berhenti di sini sahaja. Di akhirat kelak, selepas ahli syurga dimasukkan ke dalam syurga dan ahli neraka di campakkan ke dalamnya, merayulah ahli neraka agar dikembalikan semula ke dunia untuk melakukan amal soleh. Sama sekali permintaan ini hendak dimakbulkan. Saat itu tiada lagi ruang untuk beramal. Ia adalah hari pembalasan.

Renungilah ayat ini: “Dan orang-orang yang kafir, bagi mereka neraka Jahanam: mereka tidak dijatuhkan hukuman bunuh supaya mereka mati (dan terlepas daripada seksa), dan tidak pula diringankan azab neraka itu daripada mereka; dan demikianlah Kami membalas tiap-tiap orang yang melampau kufurnya”.

“Dan mereka menjerit-jerit dalam neraka itu (sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (daripada azab ini); kami akan mengerjakan amal yang soleh, yang lain dari apa yang kami pernah kerjakan (lalu ALLAH menempelak mereka): “Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat? Dan kamu pula didatangi rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan”. (Surah Fatir: 36-37)

Masa yang lepas akan tersimpan dalam lipatan sejarah. Ia tidak akan kembali. Kekal menjadi kenangan abadi. Lakukan muhasabah, cari pengajaran dan hikmah suci. Hari esok adalah misteri yang menanti. Adakah kita masih sempat kecapi atau tidak lagi. Hari ini adalah peluang yang kita miliki. Pilihan sentiasa ada. Tentukan untuk jadikan ia hari yang penuh makna atau masa yang sia-sia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *