Kembali Kepada Asal

Oleh:
Abdul Razak Muthalib

Lembaran sejarah mencatatkan betapa umat Islam ini diuji dengan pelbagai jenis fitnah, krisis dan kekeliruan pemikiran yang dahsyat. Agama Islam yang suci telah dicemari dengan berbagai-bagai unsur kesesatan, khurafat dan bidaah. Kemurnian Al-Quran dinodai dengan penyelewengan dan pengeliruan. Al-Sunnah pula terpaksa berhadapan dengan jenayah pemalsuan dan kejahatan mereka yang mengingkarinya. Ini semua adalah gambaran kepada fitnah yang dahsyat dan bencana yang buruk terhadap agama Islam.

Namun, agama ini tetap dipelihara oleh Allah Azza wa Jalla, kerana itulah janjiNya. Andaikan tidak, maka cukup sekadar satu sahaja fitnah dan bencana yang melanda, ia telah cukup membuatkan Islam ini menjadi porak peranda. Dasar-dasarnya akan dicela, panduan-panduannya akan dinoda, malah mungkin akan sampai tahap dilenyapkan begitu sahaja, tanpa ada bekas tersisa.

Tetapi, syukur pada Yang Berkuasa kerana ini semua tidak menjadi nyata. Agama ini senantiasa terpelihara. Tidak akan ada sedikit ruang pun untuk musuh-musuh agama bermaharajalela dengan menabur fitnah dan kata nista, memutar belit fakta dan angka, menokok tambah sesuatu yang tidak ada; kecuali akan bangkit dan muncul mereka yang berjuang dan membela. Jika tidak, sudah pasti jalan agama yang suci ini akan berlumuran dengan najis kesesatan dan penyelewengan sebagaimana yang telah berlaku kepada agama Yahudi dan Nasrani.

Telah kita maklum, amanah menyebarkan risalah agung ini telah disempurnakan oleh junjungan mulia Rasulullah s.a.w. Selepas kewafatan baginda, amanah itu terus dipikul oleh generasi sahabat yang adil. Mereka menunaikannya dengan penuh amanah. Tidak dikurang atau ditambah, kecuali semuanya bertepatan dengan sunnah. Kemudian, tugas ini terus disambung oleh generasi tabiin dan generasi selepas mereka. Ketika ini, daerah Islam mula bercambah, jumlah muslimin semakin bertambah. Ajaran Islam telah merentasi sempadan bangsa dan negara hatta kepada Rom dan Parsi, dua kuasa besar dunia. Kesannya, Islam telah bercampur baur dengan anasir-anasir luar yang bukan dari ajaran Islam. Perkara ini berlaku sama ada dengan sengaja atau pun kebetulan saja.

Justeru, lantas bangkit para ulamak pejuang agama. Kesucian al-Quran dan al-Sunnah terus dibela dan dipelihara, walaupun kadang-kadang ada sesetengah dikalangan mereka yang terpaksa menghadapi tentangan dan tohmahan musuh durjana dan kezaliman sang penguasa. Namun, berkat juang para ulamak yang ikhlas ini, ajaran Islam tetap kekal suci dan murni. Terus tersebar ke serata pelusuk dunia dan negeri.

Panji-panji perjuangan para ulamak yang ikhlas dahulu terus diwarisi oleh generasi kini. Lihatlah, masih ada segolongan manusia yang dibangkitkan untuk terus menjadi benteng kepada agama yang suci. Inilah janji Ilahi dan sabda nabi. Oleh itu, tidak akan ada ruang walau pun seinci dalam agama ini untuk sebarang bentuk penyelewengan, pengubahan, tokok tambah dan pecah belah. Jika ada, pasti ada juga yang akan bangun menjelaskan kembali ajaran al-Quran dan sunnah yang asli.

Hakikatnya, dalam keadaan dunia semakin berubah zaman bertambah mewah, serangan terhadap Islam juga semakin bertambah. Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi bagi memastikan keaslian Islam tetap terjaga rapi. Ada tentangan daripada musuh Islam yang ternyata penuh dengan hasad dengki dan iri hati. Mereka ingin melihat Islam ini terus terkubur sepi. Ada juga kekeliruan dan perpecahan yang berpunca dari orang Islam sendiri. Mereka bercakap tentang Islam dengan nada ingin membela, tetapi sebenarnya merekalah yang menghancurkannya. Mereka berbicara dengan hujah untuk berdakwah, tetapi sebenarnya merekalah yang menyebarkan dakyah. Mereka berdiskusi dengan alasan untuk memartabatkan al-Quran dan sunnah, sebenarnya pemikiran mereka yang telah punah ranah. Satu persatu pakaian asal Islam dikoyak rabak, ingin diganti dengan pemikiran mereka yang rosak.

Untuk menghadapi penyakit fitnah yang semakin bernanah ini, umat Islam mestilah berusaha untuk melahirkan kader-kader pejuang agama seperti generasi agung dahulu; para salaf al-soleh yang disifatkan sebagai generasi al-Quran yang unik. Satu generasi yang berpaksikan kepada manhaj yang menjamin keutuhan, kemengangan dan keunggulan. Benarlah kata Imam Malik: ”Tidak akan baik urusan umat ini, melainkan dengan apa yang telah menjadikan baik generasi pertama daripada umat ini”.

Justeru, tiada cara lain yang lebih meyakinkan bagi memastikan umat ini terus mulia dan agama ini terus terpelihara, melainkan kita perlu kembali kepada asal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *