Diari 9906- Episod 14

Telah lama rasanya saya tidak siarkan sambungan kepada catatan Diari 9906. Siri yang terakhir ialah episod yang ke-13. Ramai juga teman-teman yang bertanya bilakah lagi sambungannya? Bersempena dengan musim haji ini, maka saya rasa elok juga untuk disiarkan episod sambungannya. Semoga ada sedikit manfaat untuk mereka yang mahu mengambilnya…

haji naik bas

Gambar hiasan

Episod 14
Menyertai pasukan penyelidik USM melakukan kajian

Kebetulan pada musim haji kali ini (tahun 2006), sepasukan penyelidik yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah dan pegawai dari Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang datang untuk membuat kajian. Kajian yang dilakukan ini adalah menyentuh beberapa aspek penting tentang pengurusan pada musim haji. Kajian ini adalah dengan kerjasama Pusat Kajian Haji, Arab Saudi. Aku difahamkan kajian ini telah dijalankan sejak beberapa tahun yang lalu. Tahun ini adalah fasa untuk melakukan kajian di Mekah sendiri secara lebih terperinci dan ianya melibatkan kaji selidik secara langsung dengan para jamaah haji. Diantara aspek kajian yang disentuh ialah tentang sistem pengangkutan pada musim haji, sistem aliran pergerakan jemaah haji, pengurusan di Mina dan Arafah, kebajikan para jemaah haji wanita dan beberapa aspek yang lain.

Bagaimana aku boleh terlibat dengan kaji selidik ini? Cantik sungguh urusan Ilahi. Kebetulan juga diantara pensyarah yang terlibat menjalankan kaji selidik ini ialah ayah dan ibu kepada Akh Muadz (salah seorang ahli usrah/halaqah aku di UIA) iaitu Dr. Nawawi dan Dr. Munirah. Jadi, aku telah lama mengenali keluarga Muadz ini. Aku pernah menziarahi rumah mereka dan bermalam di sana. Begitu juga dengan keluarga Muadz, pernah menziarahi rumah aku di kampung. Ibu dan ayah Muadz memang sedia maklum yang aku sedang menyambung belajar di Mekah. Selepas mereka sampai di Mekah, ibu Muadz menghubungi aku. Pertemuan diatur. Seperti yang dirancang, selepas solat Isya’, kami bertemu di Masjid al-Haram. Terdetik kegembiraan di hati aku dapat bertemu dengan mereka. Tidak disangka, perkenalan kami di Malaysia membawa kepada pertemuan di bumi Mekah pula. Dalam pertemuan ringkas ini, aku dan beberapa orang teman lain diterangkan secara ringkas tujuan kedatangan rombongan mereka dan apa yang boleh kami berikan sumbangan.

Selepas pertemuan singkat yang pertama ini, selang beberapa hari aku dan semua pelajar Malaysia di Ma’had Rabitah yang lain pergi ke tempat penginapan rombongan dari USM ini yang disediakan oleh Universiti Umm al-Qura. Dalam pertemuan kedua, ini kami diperkenalkan dengan semua para pensyarah yang terlibat dengan kajian ini. Kemudian kami diberikan taklimat terperinci tentang tugas yang perlu kami jalankan. Kami diminta untuk melakukan kaji selidik berkaitan kebajikan jemaah haji wanita. Tugas ini memerlukan kami untuk menemuramah para jamaah haji wanita yang datang dari seluruh negara.

Kaji selidik ini meliputi keadaan di Masjid al-Haram dan semasa berada di Mina nanti. Tugas ini agak mencabar kerana kami perlu menemuramah jemaah haji wanita dari seluruh negara. Jadi, bahasa perantaraan yang kami mampu gunakan ialah bahasa Arab dan Inggeris sahaja. Cabarannya, terdapat jemaah haji yang tidak mampu memahami kedua-dua bahasa ini. Cabaran lain ialah apabila responden kami ialah jemaah haji wanita, kami perlu meminta izin terlebih dahulu daripada suami mereka. Apa yang terjadi, terdapat sesetengah suami yang tolong jawab bagi pihak isterinya. Isterinya hanya diam sahaja. Jadi, kami tidak dapat jawapan yang betul-betul asli dari responden asal.

Namun begitu, kajian harus dilakukan juga. Jika tidak, hasilnya tidak akan menepati sasaran.  Aku dan kawan-kawan lain tetap teruskan juga. Beberapa jemaah haji dari pelbagai negara berjaya kami temui dan membuat kaji selidik. Kadang-kadang berlaku juga ibarat ayam bercakap dengan itik. Aku tidak faham bahasa dia, dia pulak tidak faham bahasa aku. Akhirnya, masing-masing saling tersenyum dan mengangguk tanda faham bahawa kami saling tidak faham.

Tapi, inilah keindahan persaudaraan Islam. Manusia datang dari seluruh pelusuk dunia, berkumpul di satu tempat dengan satu tujuan dan satu matlamat. Tidak pernah kenal dan tidak pernah tahu alamat, tapi bila bertemu dalam perjalanan ibadat, masing-masing mengharapkan rahmat. Persaudaraan dijalin, ukhuwah dierat, persengketaan dielak. Semuanya ibarat sebuah keluarga yang besar. Allahu Akbar..Engkaulah Tuhan Yang Maha Besar! Rahmat-Mu meluas, kasih sayang Mu mencurah.

Mungkin berbekalkan semangat persaudaraan inilah, usaha kaji selidik yang kami jalankan ini mendapat kerjasama yang baik daripada jemaah haji yang kami temui. Malah, ada pula yang mengambil peluang untuk menemuramah kami.

Dalam kesibukan kami menjalan tugas, aku dapati para jemaah haji semakin bertambah. Patutlah, sebab hari ini adalah 7 Zulhijjah. Hari tarwiyah akan bermula esok. Semua jemaah haji telah bersiap sedia untuk menuju ke Mina.

Berangkat ke Mina.

Esok adalah 8 Zulhijjah yang merupakan hari tarwiyah. Semua pelajar-pelajar lain sejak dari petang tadi telah berangkat ke asrama khas Rabitah yang terletak di Mina. Kecuali kami (5 pelajar Malaysia) yang ketinggalan kerana menjalankan research di sekitar Masjid al-Haram. Kami mengambil keputusan untuk berangkat malam ini. Selepas pulang ke hostel, terus kami siapkan barang keperluan untuk haji. Tiada pilihan lain, kecuali naik teksi atau “kereta sapu”, walau pun kami tahu malam ini kami akan “disembelih” oleh driver. Perjalanan yang biasanya hanya RS10 boleh naik menjadi RS 100. Inilah salah satu budaya yang aku benci di Saudi ini. Pemandu teksi atau kereta sapu sewenang-wenangnya menaikkan harga tambang teksi terutama pada bulan Ramadhan dan haji. Tiada system yang mengawal mereka. Pengguna macam kami ini pula tiada tempat untuk mengadu. Kalau di Malaysia, telah lama aku report pada FOMCA. Dan…..errm….tak perlulah aku berleter panjang tentang masalah ini, kerana ini bukan ruangannya.

Allah Maha Kaya…… Baru saja kami semua melangkah keluar pintu hostel, tiba-tiba handphone aku berdering. Terpampang di skrin hanphone nama A.Rahman u.qura. Terdetik di hati aku perasaan lega, kerana biasanya Abd Rahman ini akan sampaikan berita gembira. Ya…seperti yang disangkakan. Alangkah leganya rasa hati bila  dia sanggup untuk tolong hantar kami ke Mina. Walaupun tersumbat-sumbat dalam kereta , tapi dalam suasana ketika itu, keadaan itu lebih selesa. Biar tersumbat, asalkan selamat dari kena “sembelih” dan kena “sebat”.

Sedikit tentang Abdul Rahman. Beliau adalah salah seorang pelajar Malaysia di Universiti. Ummu al-Qura yang aku baru saja kenal iaitu semenjak aku tiba di Mekah dahulu. Tetapi sifatnya yang peramah membuatkan aku senang mesra dengannya. Sifatnya yang sangat suka menolong amat aku kagumi dan sanjungi. Aku pun belum sampai ke tahap yang dia tunjukkan. Dia pernah sebut kenapa dia suka tolong orang di sini. Katanya, kami adalah tetamu di sini, dan hak tetamu untuk dilayani. Lagi pulak, tolong orang adalah kebajikan, dan kebajikan di tanah haram ini akan digandakan pahala.

Semoga Allah memanjangkan umurnya di dalam kebaikan.

Setelah menempuh perjalanan yang lama, ditambah pula dengan kesesakan yang luar biasa, akhirnya kami semua berjaya untuk sampai di Mina. Walaupun jaraknya dekat, tapi malam ini ia menjadi begitu lama akibat kesesakan.

Kelihatan telah ramai para jemaah haji yang berkumpul di Mina. Tidak dapat aku gambarkan bagaimana perasaan syukur dan gembira ketika ini. Seakan-akan tidak percaya yang aku sekarang sedang berada di Mina untuk menunaikan ibadah haji. Ya Allah…betapa banyaknya kurniaan nikmatMu kepadaku sehingga aku tidak mampu untuk menghitungnya. Ya Rahman…untuk menghitungnya pun aku tidak mampu, apatah lagi untuk membalasnya…Ampunkan dosa dan kekuranganku wahai Tuhan Yang Maha Pengampun

Bersambung….

One thought on “Diari 9906- Episod 14

  1. masyaAllah…indahnya ruang waktu dan kesempatan yang diberi Tuhan buat saudara… saudara antara insan terpilih untuk menikmati nikmat kurnia Illahi yang Maha Luas.. Cemburu rasanya saat membaca catatan diari ini. Doakan semoga ana diberi peluang menjadi tetamu Ar-Rahman..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *