Wahabi: Apa Kata Orang-orang Bijak?

WAHABI: APA KATA ORANG-ORANG BIJAK?

Oleh:

A. Razak Muthalib

(www.abdul-razak.com)

truth-small

Gambar hiasan

Sejak akhir-akhir ini antara istilah popular yang disebut oleh kebanyakkan orang ialah “Wahabi”. Istilah ini biasanya dinisbahkan kepada gerakan dakwah yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, walaupun pada asalnya gelaran ini diberikan kepada golongan lain. Peliknya, istilah ini tidak pernah pun diisytiharkan oleh tuan empunya badan, tetapi dilontarkan oleh pihak musuh, lalu menimbulkan seribu satu persoalan.

Di Malaysia, ada yang menyebut-menyebut istilah ini dengan tujuan ingin mencari kebenaran. Kurang selesa dengan pelbagai pandangan yang berkeliaran, lantas terus dicari dan dikaji melalui sumber yang dipercayai. Tidak kurang juga mereka yang tiba-tiba sengaja menggembar gemburkan istilah ini, dengan tujuan keburukan. Bukan fakta dan hujah yang diberikan, tetapi kata-kata nista dan fitnah yang dihamburkan. Malah, sampai tahap sanggup menyesatkan dan mengkafirkan. Apakah punca semua ini? Mungkin kejahilan yang telah menipu mereka, atau kedengkian yang menghiasi mereka.

Persoalannya, apakah benar segala dakwaan negatif yang dilontarkan kepada gerakan ini? Sesungguhnya hanya orang yang bijak dan mampu menilai dengan akal yang waras sahaja yang mampu menilai kebaikan gerakan dakwah yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Sebab itulah, ramai tokoh-tokoh Islam terkemuka dunia yang telah menzahirkan pujian dan sokongan mereka terhadap usaha dakwah yang telah dijalankan oleh beliau.

Antara tokoh-tokoh tersebut ialah:

  1. Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi telah menyatakan pandangannya terhadap Syeikh Muhammad bin Abd Wahab di dalam beberapa buah kitab, antaranya:

a) Fiqh al-Awlawiyat:

“Al-Imam Muhammad bin Abd Wahab yang berada di semenanjung tanah Arab telah menjadikan akidah sebagai keutamaan disisinya, bagi memelihara tauhid daripada unsur-unsur syirik dan khurafat yang mencemarkan kesuciannya. Dia telah mengarang beberapa buah kitab dan risalah-risalah tentang perkara ini. Dengan kemampuannya, dia telah menggerakkan dakwah dan amal dalam memusnahkan segala gambaran-gambaran syirik”.

b) Thaqafat  al-Daa‘iyah:

“Hendaklah diberi perhatian kepada gerakan-gerakan pembaikan dan tajdid yang telah tercatat di dalam sejarah Islam, dan dengan tokoh-tokoh gerakan tajdid yang telah dibangkitkan oleh Allah di kalangan umat ini dari masa ke semasa bagi melakukan tajdid terhadap agamanya, tidak kira dari latar belakang mana sekalipun mereka itu. Diantara mereka ialah para khulafa’ seperti Umar bin Abd al-Aziz, atau dari kalangan raja dan pemerintah seperti Nuruddin dan Salahuddin, atau para fuqaha’ dan pendakwah seperti al-Syafie, al-Ghazali, Ibn Taimiyah dan Ibn Abd al-Wahab. Dan yang dikatakan mujaddid itu boleh jadi samada individu tertentu atau sebuah jamaah atau pusat pengajian yang jelas nyata tujuannya di dalam melakukan pembaikan…”

c) Haqiqat al-tauhid: Di dalam kitab ini Syeikh Yusof al-Qaradhawi telah menggelarkan Syeikh Muhammad bin Abd Wahab dengan gelaran “Syeikh al-Islam”.

d) Al-Sahwat al-Islamiyah, di bawah tajuk Harakat al-Tajdid wa al-Da’wah wa Atharuha fi al-Sahwat, al-Qaradhawi berkata:

“…sesungguhnya kebangkitan ini merupakan pembaharuan kepada gerakan-gerakan Islam dan pusat-pusat pemikiran dan amal yang telah didirikan sebelum ini, sebahagiannya telah lenyap dan sebahagiannya masih wujud berdiri dengan bentuk yang sama atau bentuk yang lain sehingga ke hari ini. Gerakan-gerakan ini telah didirikan oleh para tokoh yang benar. Masing-masing berusaha untuk melakukan pembaharuan (tajdid) agama atau menghidupkan kembali ummah di satu tempat yang tertentu atau di pelbagai tempat daripada tanah air Islam…Sejarah telah mencatatkan bahawa diantara mereka itu ialah mujaddid kepulauan tanah arab, pencetus kepada dakwah salafiyah, tokoh keluaran madrasah Hanbali, iaitulah Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang mana negara Saudi telah didirikan di atas asas dakwahnya”.

2. Pandangan Syeikh Muhammad Qutb di dalam kitabnya “Halummu nakhruj min al-zhulumat”:

“Sesungguhnya kebangkitan yang benar lagi sejati itu tidak dapat dimasuki oleh unsur-unsur kristianisasi, maka sesungguhnya gerakan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab ialah satu berita gembira yang hakiki kepada kebangkitan ummah ini daripada kelalaiannya…”

“Sesungguhnya gerakan yang telah dipelopori oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab bagi menjernihkan kembali akidah adalah satu gerakan yang hakiki dalam menggerakkan kebangkitan dunia Islam…”

Di dalam kitab “Kaifa Naktub al-Tarikh al-Islami” Syeikh Muhammad Qutb menyatakan bahawa:

“Manusia menyangkakan bahawa Islam ini telah berakhir dengan berakhirnya Daulah Umawiyah, zamannya telah tamat dengan tamatnya zaman Abbasi, dan akhirnya manusia juga menyangkakan bahawa Islam ini telah lenyap dengan lenyapnya zaman Khilafah Uthmaniyah dan jadilah Islam itu sebahagian daripada lagenda sejarah…tetapi semua sangkaan mereka ini tidak benar sama sekali. Islam tidak akan berakhir dalam mana jua keadaan getir yang dihadapinya, walaupun keadaan getir yang melanda tersebut seolah-olah telah menghancurkannya. Ini kerana Allah swt telah menetapkan bahawa Islam ini akan terus kekal di atas muka bumi ini sehingga hari Kiamat…dan diantara penyebab yang dijadikan Allah bagi mengekalkan Islam ini setelah menghadapi suasana getirnya ialah dengan kebangkitan Islam. Benarlah bahawa gerakan utama kepada kebangkitan ini ialah gerakan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab di kepulauan tanah Arab…”

3. Pandangan Syeikh Muhammad al-Ghazali di dalam kitabnya “al-Da’wah al-Islamiyah Tastaqbil Qarnuha al-Khamis ‘asyar” :

“…sesungguhnya kami menyatakan bahawa satu-satunya gerakan yang telah membangkitkan kembali umat Arab bagi memperbaiki semula akidah dan ibadah dan yang seumpama dengannya daripada segala bentuk penyelewengan…yang kami maksudkan itu ialah gerakan pembaharuan yang telah diasaskan oleh Muhammad bin Abd Wahab di kepulauan tanah Arab…”

Di dalam kitabnya “Mi‘ah sual ‘an al-Islam”, Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata: “Syeikh Muhammad bin Abd Wahab telah mengangkat syiar tauhid, dan benarlah yang dia telah melakukannya. Dia telah mendapati dirinya berada di dalam suasana yang mana kubur disembah, mereka memohon kepada yang telah mati perkara-perkara yang tidak boleh dipohon kecuali daripada Allah swt…”

4. Pandangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam kitabnya “Taathur al-da’wat al-islahiyah al-Islamiyah bida’wah al-Syeikh Muhammad bin Abd al-Wahab”:

“Sesungguhnya yang paling jelas suara kebenarannya, yang paling besar seruan ke arah pembaikan, dan jihad bagi mengembalikan keperibadian Islam dengan berpegang kembali dengan manhaj salaf al-soleh ialah dakwah Syeikh Muhammad bin Abd Wahab pada kurun ke-12 hijrah, bagi melakukan pembaharuan (tajdid) terhadap suasana kehidupan Islam, selepas didapati berlakunya ditengah masyarakat pelbagai khurafat, bidaah dan penyelewengan. Maka Muhammad Abdul Wahab adalah benar, seorang ketua kepada kebangkitan dan pembaikan agama yang ditunggu-tunggu, yang telah membetulkan semula neraca akidah Islam dan menjelaskan hakikat tauhid yang suci kepada Allah Azza wa Jalla…”.

5. Pandangan Syeikh Ali al-Tantawi di dalam kitabnya “Muhammad bin Abd al-Wahab”:

“…manusia beri’tikad segala manfaat dan mudharat bergantung kepada Rasul dan para solehin, dengan kubur dan pokok-pokok, mereka memohon daripadanya segala hajat, mereka mengembalikan urusan mereka dikala kesusahan kepadanya, bernazar dan menyembelih kepadanya dan mereka sangat membesarkan orang yang telah mati…Dalam suasana begini, muncullah Muhammad bin Abdul Wahab rahimahullah…dan Allah mengkehendaki baginya kebaikan, maka ditakdirkan bahawa dialah diantara salah seorang yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah sesungguhnya mereka itu diutuskan bagi melakukan tajdid terhadap agama, dan Allah telah menetapkan bahawa di tangannyalah bumi Najd ini telah kembali kepada tauhid yang sahih dan al-din yang benar, dan kembali wujudnya kesatuan selepas daripada perselisihan dan perpaduan selepas daripada perpecahan…”

6. Pandangan Syeikh Muhammad Abduh terhadap Syeikh Muhammad bin Abd wahab seperti yang dinukilkan oleh Syeikh Hafiz Wahbah di dalam kitabnya “50 ‘aam fi jazirat al-arab”, bahawa Syeikh Muhammad Abduh semasa sessi mengajar di al-Azhar telah memuji Syeikh Muhammad bin Abd Wahab, dan dia telah menggelarkannya sebagai “reformis yang agung”.

7. Pandangan Al-Sayyid Muhammad Rasyid Ridha di dalam pendahuluan kitab “Siyanat al-Insan”:

“Setiap kurun daripada kurun-kurun yang banyak berlaku padanya perkara-perkara bidaah tidak akan pernah sunyi daripada ulamak rabbani; yang melakukan tajdid terhadap umat ini berkaitan urusan agama mereka, dengan melakukan dakwah, pengajaran dan contoh ikutan yang baik, dan (ia juga tidak akan sunyi) daripada mereka yang adil yang melakukan penentangan terhadap penyelewengan golongan yang melampau, dakwaan bohong golongan yang batil dan takwil golongan yang jahil, seperti yang disebutkan di dalam hadis.

Sesungguhnya Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab al-Najdi adalah dari kalangan mereka yang adil, mujaddid yang telah bangun  menyeru ke arah pemurnian tauhid dan ikhlas beribadah hanya kepadaNya, dengan apa yang telah disyariatkan di dalam kitabNya dan daripada lisan RasulNya s.a.w dan seruan ke arah meninggalkan segala perkara bidaah dan maksiat serta menghidupkan semula syiar Islam yang telah ditinggalkan…”

8. Pandangan Syeikh Muhammad Abu Zahrah:

“Munculnya gerakan al-Wahabiyah di tengah-tengah bumi sahara Arab ini  merupakan tindak balas daripada sikap melampau dalam memuliakan tokoh-tokoh tertentu dan mengambil berkat daripada mereka, begitu juga dengan menziarahi mereka dengan tujuan ingin menghampirkan diri (taqarrub) kepada Allah. Ia juga merupakan kesan daripada tersebarnya banyak amalan bidaah yang bukan daripada agama, yang mana ia berlaku ketika musim-musim tertentu yang ada kaitan dengan agama dan dalam amalan-amalan keduniaan. Maka datanglah gerakan al-Wahabiyah untuk menentang semua ini dan menghidupkan kembali mazhab Ibn Taimiyah”.

9. Pandangan Dr. Taha Hussain:

“Gerakan ini, iaitu gerakan al-Wahabiyyin yang telah diasaskan oleh Muhammad bin Abdul Wahab, seorang alim daripada ulamak Najd…sesungguhnya gerakan ini baru tetapi hakikatnya telah lama, ia baru jika dinisbahkan kepada generasi terkemudian ini, tetapi ia telah lama kerana seruannya tidak lain tidak bukan kecuali kepada Islam yang tulen, suci dan bersih dari sebarang unsur syirik dan penyembahan yang lain. Ia adalah dakwah kepada Islam seperti mana yang telah dibawa oleh Nabi s.a.w tulus suci hanya kerana Allah dan menghapuskan semua perantaraan di antara manusia dan Allah…”

10. Pandangan Syeikh Salman bin Fahd al-Awdah di dalam kitabnya “Jazirat al-Islam”:

“Sesungguhnya di semenanjung tanah Arab ini terdapatnya ilmu, para ulamak, tajdid dan para mujaddid yang merentasi setiap zaman. Kebanyakan ahli ilmu pula terdapat di Mekah atau pun Madinah. Sedikit sekali untuk di dapati orang alim kecuali mereka berada di bumi Mekah atau Madinah ini. Mudah-mudahan kesudahan yang baik ialah dakwah yang telah dilakukan oleh mujaddid Muhammad bin Abdul Wahab rahimahullah yang telah dikurniakan Allah kepada bumi Arab ini dan menghidupkan (tajdid) kembali agama di bumi ini”.

11. Pandangan Prof. Dr. Hafiz Wahbah di dalam “Jazirat al-Arab fi al-qarn al-‘isyrin”:

“Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab itu bukanlah nabi seperti yang dianggap oleh Neibhar al-Denmarki, tetapi dia adalah seorang reformis dan mujaddid yang menyeru supaya kembali kepada agama yang benar. Syeikh Muhammad tidak mempunyai ajarannya yang khas, tidak juga pendapatnya yang tersendiri tetapi setiap apa yang diamalkan di bumi Najd itu apa yang telah dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, dan di dalam perkara akidah pula dia mengikuti fahaman yang telah dibawa oleh golongan salaf al-soleh dan menentang sesiapa yang bercanggah dengannya. Pegangan akidah dan ibadah yang mereka praktikkan adalah  sama seperti mana yang ditulis oleh Ibn Taimiyah dan anak-anak muridnya di dalam kitab-kitab mereka…”.

Demikianlah pandangan yang adil dari sebahagian tokoh-tokoh dan bijak pandai dunia Islam kini terhadap Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan gerakan dakwahnya. Pujian dan penilaian yang baik yang telah diberikan oleh mereka, tidaklah menafikan kekurangan dan kelemahan yang ada pada gerakan dakwah tersebut. Tetapi, ia tidaklah seperti gambaran jahat dan menyeleweng yang dihebahkan oleh sekelompok manusia yang butakan kebenaran kerana telah ditutupi oleh hasad kedengkian. Nilailah dengan neraca yang adil, hindari taksub yang merosakkan. Hanya orang bijak yang kenal kebenaran.

2 thoughts on “Wahabi: Apa Kata Orang-orang Bijak?

  1. Salam,
    ana ada terbaca pasal fahaman wahabi dalam satu akhbar. Mereka kata wahabi merupakan satu fahaman yang bertentangan dgn akidah ahli sunnah wal jamaah dalam akhbar tu siap listkan pasal ciri2 pengikut wahabi salah satunya pasal tidak boleh berzikir beramai2,sedangkan Dr Mashitah sendiri ada cakap yang wahabi hanyalah satu fahaman bukan ajaran…apa komen ustaz pasal ni?

  2. Wslm,

    Saya rasa sudah memadai dengan komen dan pandangan yang telah diberikan oleh tokoh-tokoh dan ilmuwan ISlam dunia ttg isu ini. Bersama kita membuat penilaian dengan adil. Jika mereka yang merupakan tokoh umat memberi pandangan sedemikian (seperti yang dinyatakan di atas), apa lagi pendirian kita?

    Tapi, harus diingat satu perkara. Membela atau memuji seseorang yang dituduh mencuri, setelah kita yakin yang tuduhan itu salah dan fitnah, ternyata dia tidak mencuri, maka ia tidak semestinya membawa erti kita juga adalah pencuri.

    Harap dapat difahami

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *