Angkara Dusta & Fitnah, Yang Benar Dilihat Salah

Angkara dusta dan fitnah, yang benar dilihat salah

Oleh:

Abd al-Razzaq A. Muthalib

dusta

Gambar hiasan

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain. Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah saw menjawab: ((Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya)). Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”. Rasulullah saw menjawab: ((Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya)). (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).

Syaikh Muhammad ibn Soleh al-‘Uthaimin di dalam Syarh Riyadh al-Salihin telah membahagikan dusta ini kepada dua bahagian:

Pertama: Dusta terhadap Allah dan RasulNya. Inilah jenayah yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman Allah swt (bermaksud): ((Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim)) (al-An’am:144).

Dusta terhadap Allah dan Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu:

(1)     Menyandarkan kepada Allah atau kepada Rasulullah saw sesuatu yang bukan daripada firmanNya atau pun sabda Baginda saw. -Pencipta hadis palsu termasuk dalam golongan ini-.

(2)     Menafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang salah lagi menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.

Rasulullah s.a.w.  memberikan suatu peringatan dan ancaman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabda yang bermaksud: ((Sesiapa yang melakukan dusta keatasku siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka)). (Muttafaqun’alaihi). Cukuplah amaran Allah dan Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita.

Waspadalah dalam berbicara, apatah lagi lagi jika ia membabitkan hal agama. Suasana hari ini mempamerkan kepada kita bahawa sesetengah umat Islam yang tidak memahami secara jelas tentang sesuatu hal  yang berkaitan dengan Islam, tetapi berminat untuk mengambil bahagian dalam mengulas dan menyampaikan pendapat mereka. Natijahnya, maka muncullah pendapat-pendapat pelik yang lari jauh dari landasan yang sebenar.

Bahkan sebahagian daripada kalam-kalam mereka itu jika diamati boleh menjejaskan kesahihan akidah mereka. Contohnya seperti fitnah yang dilemparkan oleh puak Ahbash yang mengkafirkan ramai para ulamak seperti Ibn Taimiyah, Ibn Qayyim, Dr.Yusof al-Qaradawi, Dr. Ramadhan al-Buti, Syed Qutb, Syaikh Mutawali Sha’rawi dan lain-lain lagi. Jika di Malaysia pula, pengikut Ahbash ini pernah mengkafirkan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Oleh itu, api fitnah yang dinyalakan oleh pengasas Ahbash iaitu Abdullah al-Harari di Lubnan, kemudian ditiup pula oleh pengikut-pengikutnya di Malaysia ini, perlu dipadamkan segera. Jika tidak ianya akan merebak membakar keamanan dan  memusnahkan keharmonian umat Islam, khususnya di Malaysia yang tercinta ini.

Ramai juga yang menjadikan hadis-hadis Nabi s.a.w. sebagai hujah untuk membenarkan kata mereka. Perkara ini jika dilihat secara kasar adalah amat baik, malahan sangat dituntut. Tetapi, malangnya mereka mengambil sikap cuai dan lewa dalam menyampaikan hadis-hadis tersebut dengan tidak mempastikan terlebih dahulu tahap kesahihannya. Maka, digunakan  hadis-hadis daif dan palsu sebagai hujah dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang dipentingkan adalah pendapat mereka diterima, barangan mereka laris, sokongan terhadap mereka bertambah, kedudukan mereka tidak tergugat, periuk nasi mereka selamat.

Malah, lebih malang lagi, perkara ini dilakukan oleh mereka yang berpendidikan khusus dalam bidang agama. Mereka mengerti hakikat sebenar, tetapi sengaja menyembunyikan kebenaran. Mereka mengetahui hukum-hakam yang tepat, tetapi sengaja memutar belitkan kenyataan. Mereka memahami hakikat sesuatu ilmu, tetapi sengaja mengkhianati ilmu yang mereka pelajari. Asalkan mereka mendapat restu dan sokongan, dari rakyat jelata dan pimpinan atasan.

Dr. Nur al-Din al-‘Itr di dalam kitabnya Manhaj al-Naqd fi ‘Ilmi al-Hadith telah menggariskan lima sebab dan golongan yang menyebabkan muncul dan tersebarnya hadis-hadis palsu ini dikalangan masyarakat. Dua daripada sebab-sebab dan golongan tersebut ialah:

  1. Untuk menggalakkan manusia kearah kebaikan dan memberi amaran daripada melakukan kemungkaran (al-taghrib wa al-tarhib). Termasuk di dalam golongan ini adalah mereka yang jahil yang beranggapan zuhud dan ingin melakukan tazkiyat al-nafs (penyucian jiwa). Tetapi amalan mereka ini dilakukan dalam keadaan mereka jahil dengan asas agama yang sebenar. Maka mereka mencipta hadis-hadis tentang fadhilat-fadhilat zikir dan solat-solat sunat yang melampaui prinsip-prinsip agama, lalu disebarkan untuk menggalakkan masyarakat ke arah kebaikkan. Mereka pula mencipta dan menyebarkan  hadis-hadis tentang azab dan balasan dosa terhadap kesalahan-kesalahan tertentu yang keterlaluan dan menyimpang jauh daripada asas agama dengan tujuan menjauhkan manusia daripada melakukan kemungkaran. Tetapi tanpa disedari mereka telah melakukan pendustaan ke atas Rasulullah s.a.w.
  1. Untuk mendapat habuan keduniaan. Termasuk di dalam golongan ini adalah golongan yang ingin menghampiri diri kepada pemerintah dan juga para penyampai dan pencerita yang bertujuan mendapat habuan masing-masing. (Al-Itr, Nur al-Din, Manhaj al-Naqd fi ‘Ulum al-Hadith (Beirut; Dar al-Fikr al-Muasir,cet.3,1997), hal.304).

Kedua: Dusta terhadap manusia. Dusta terhadap manusia ini juga boleh belaku dalam dua keadaan. Pertama; seseorang yang berpura-pura menzahirkan dirinya sebagai seorang yang beriman, beramal soleh dan melakukan kebaikan, sedangkan hakikatnya dia adalah kafir yang tidak bersikap sedemikian. Golongan inilah yang digelar sebagai munafik. Allah s.w.t. menyifatkan golongan ini melalui firman-Nya: ((Dan di antara manusia ada yang berkata: “Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat, padahal mereka sebenarnya tidak beriman)).(Al-Baqarah:8) Kedua, pendustaan terhadap manusia boleh berlaku apabila seseorang itu mengatakan sesuatu yang tidak benar atau menyebarkan sesuatu berita palsu di kalangan masyarakat.

Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Amru bin al-‘As, Rasulullah s.a.w. menerangkan tentang empat perkara jika terdapat pada seseorang, maka dia tergolong dalam golongan munafik (munafik amalan). Diantara empat sifat tersebut adalah apabila bercakap dia berbohong.

jais

Gambar hiasan

Sesungguhnya perbuatan menyebarkan fitnah dan berita palsu ini merupakan suatu sifat yang terkeji lagi terkutuk. Lebih terkutuk jika ianya dilakukan oleh mereka yang berwatak ”orang agama” atau yang memegang sesuatu pertubuhan berkaitan agama atau dakwah. Perbuatan ini merupakan punca berlakunya perselisihan pendapat yang tidak diizinkan, pertelingkahan, terputusnya hubungan silaturrahim, malahan boleh membawa kepada pembunuhan. Sedangkan orang mukmin ini keseluruhannya disifatkan oleh Allah sebagai bersaudara. Allah s.w.t. berfirman: ((Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara)). (Al-Hujurat: 10)

Fitnah dan dusta ini ditaburkan kepada masyarakat samaada melalui percakapan, ceramah, media massa (akhbar & tv), tulisan (buku, artikel, laman web) dan ada juga yang sanggup mengarang dan menghantar memorandum fitnah.   Dihebahkan kepada masyarakat bahawa inilah fakta yang benar, tetapi hakikatnya ia tidak lain kecuali sebuah makar (perancangan jahat) yang boleh mencetuskan onar.

pgsm

Gambar hiasan

Fenomena yang berlaku hari ini, seolah-olah menghalalkan sikap berdusta dan menabur fitnah ini. Lebih membingungkan jika yang berdusta dan menyebarkan fitnah ini ialah golongan yang arif dalam bidang undang-undang, bukan sekadar undang-undang biasa, tetapi ditambah pula syar’ie dibelakangnya. Pernahkah kita terfikir, apa akan berlaku jika golongan ini telah mula berani menipu dan memfitnah? Diharapkan merekalah yang akan menjadi benteng mempertahankan keadilan dan kebenaran. Namun, harapan itu akan musnah apabila mereka juga terlibat dalam jenayah fitnah. Masih utuhkah harapan kita kepada si pagar, jika si pagar yang memakan padi?

Jenayah dusta dan fitnah ini dilakukan sama ada oleh individu tertentu demi kepentingan peribadi atau oleh kumpulan-kumpulan tertentu demi meraih sokongan dan mendapat kemenangan. Lebih jijik jika dusta dan fitnah ini merupakan natijah daripada perasaan hasad dan dengki, tidak senang dengan kebenaran yang semakin diterima dan dicari.  Maka disebarkanlah berita-berita palsu dan fitnah-fitnah yang memburukkan pihak lain. Harapannya supaya kepercayaan terhadap pihak tersebut akan terhakis. Kedudukannya akan tergugat. Dakwahnya tersekat. Perjuangannya akan singkat. Maka, dapatlah mereka yang berjiwa hasad mengekalkan tempat. Mungkin di sana ada peluang untuk mengaut harta berlipat.

Selain itu, sikap menabur fitnah dan menyebarkan berita palsu ini merupakan sikap yang boleh menyakiti hati sesama Muslim dan menyebabkan hubungan ukhuwah akan menjadi retak. Sebab itulah Islam amat melarang perbuatan menyakiti hati seorang  Muslim yang lain dan menjanjikan balasan dosa terhadap mereka yang melakukan sedemikian. Firman Allah s.w.t.(bermaksud): ((Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta, dan berbuat dosa yang amat nyata)).(Al-Ahzab: 58)

Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa: ”Mereka telah menyandarkan kepada orang beriman ini sesuatu perkara yang tidak dilakukan oleh mereka (orang beriman), maka inilah fitnah dan dusta yang besar iaitu menyatakan sesuatu perkara tentang orang yang beriman apa yang tidak dilakukan oleh mereka dengan tujuan untuk memalukan dan menjatuhkan martabat mereka.” (Ibn Kathir, Tafsir Al-Quran al-‘ Azim (Beirut: Dar al-Turath al-Arabi, Ctk. 1,2000), m/s 524).

Oleh itu, wahai seluruh kaum Muslimin, berhati-hatilah dalam berbicara, berwaspadalah dalam bertindak. Ini kerana segala perkataan dan perbuatan yang dilakukan di dunia, sedikit pun tidak akan terlepas daripada pandangan dan perhitungan-Nya. Allah s.w.t. berfirman (bermaksud): ((Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkan (atau pebuatan yang dilakukan) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)). (Qaaf: 18)

Semoga kita semua digolongkan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya yang bercakap benar dan selamat dari sebarang fitnah.

3 thoughts on “Angkara Dusta & Fitnah, Yang Benar Dilihat Salah

  1. Assalammualaikum,

    Saya amat tertarik dengan tulisan saudara di akhbar sinar bertarikh 6 disember 2009 terutamanya pada, qoute “… tetapi tidakkah kita terfikir jika orang bukan islam pun mengiktiraf dan mengetahui hakikat kebenaran sebenar tentang syeikh muhammad abdul wahab dan gerakan dakwah nya, maka amat peliklah…dan niat jahat dihati”
    Harap saudara dapat merujuk kepada satu tulisan bertajuk antara tarikat yang sesat dan tarikat yang hak dari majalah “SARINA”

  2. Assalammualaikum,

    Saya amat tertarik dengan tulisan saudara di akhbar sinar bertarikh 6 disember 2009 terutamanya pada, qoute “… tetapi tidakkah kita terfikir jika orang bukan islam pun mengiktiraf dan mengetahui hakikat kebenaran sebenar tentang syeikh muhammad abdul wahab dan gerakan dakwah nya, maka amat peliklah…dan niat jahat dihati”
    Harap saudara dapat merujuk kepada satu tulisan bertajuk antara tarikat yang sesat dan tarikat yang hak dari majalah “SARINA” edisi bulan March 1985 (Malaysia). qoute ” …Laurens of Arabia telah diarahkan supaya menyelidik ke dalam masyarakat Islam dengan menyamar sebagai ulama dan mendalami ilmu Islam di Mekah dan Mesir (Al-Azhar) dan ia bertemu dengan ratusan ulama yang besar dan masyur membincangkan tentang cara untuk mentamadunkan umat Islam di segi kemajuan dunia seperti tamadun barat serta ia menyebarkan fahaman supaya umat islam tidak terikat dan tidak fanatik kepada aliran mazhabiah….akibatnya kerajaan Arab Saudi setelah diambil oleh pemimpin yang bermazhab Wahabiah telah mengharamkan tasauf da tarikat, sedangkan disitu lah (Mekah dan Madinah) mulanya menjadi pusat gerakan tarikat…” Insyallah saya akan email kan salinannya kepada saudara.

    Maksud saya, bolehkah orentalis yang bukan islam ini kita percayai(menjadi rujukan kepada kita), mereka tidak beriman kepada Allah dan Rasulullah. Saya berpendapat selepas membaca tulisan dari Majalah SARINA itu, orientalis yang pada zahirnya adalah berilmu tentang islam tetapi hakikatnya mereka bertujuan untuk merosakkan umat islam agar kita dapat dijual oleh syaitan ke neraka jahanam. Saya juga bimbang tentang adanya orientalis ini menjadi pensyarah-pensyarah/ Supervisor kepada pelajar islam (Malaysia) yang mengambil PhD. Jarum Yahudi adalah amat halus. Adakah mustahil mereka yang mendapat “PhD dan anak murid Yahudi ” ini menjadi hakikatnya anak didik Yahudi.Waallahhualam. Hanya Allah sahaja yang mengetahui. kita perlu berwaspada dan bergurulah kepada pewaris nabi. Wassalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *