Budaya Hedonism: Akibat suka berhibur, maruah terkubur ummah mundur (Bahagian 2)

 

2227235425_e6644d0d88

Gambar hiasan

Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti para remaja zaman ini. Demi menghasilkan imej dan identiti urban-kontemporari para remaja zaman ini sanggup menggadai jati diri dan sosok peribadi mereka demi kelihatan ’cool’ dan ber’attitude’ (Syuhada, 2009). Tiada lagi jatidiri seorang bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan budaya ketimurannya. Malah yang lebih penting, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang telah diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan yang hakiki.

Terlalu banyak contoh pemikiran hedonism ini menular dalam pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda. Salah satu buktinya yang ketara ialah keghairahan dan kegilaan generasi muda akhir-akhir ini terhadap bidang nyanyian apabila pemikiran ini meresap dan mengakibatkan generasi muda melihat bidang nyanyian sebagai satu prospek yang menguntungkan. Hal ini terjadi apabila lambakan program realiti televisyen untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat penyanyi baru. Program-program realiti ini kebanyakannya dicedok bulat-bulat dari negara Barat tanpa ditimbang yang mana buruk yang mana bermanfaat.

Dalam hal ini, mereka yang waras pasti bersependapat dengan pandangan dan teguran yang diberikan oleh Mohd Ridhuan Tee (2006) berkaitan hal ini. Katanya:

”Lebih malang lagi program-program sebegini mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat, termasuk syarikat korporat yang diterajui oleh orang Islam. Rancangan-rancangan yang bersifat ilmiah dan bersandarkan ilmu tidak mendapat sambutan dan penajaan serta di anggap merugikan.

Misalnya, rancangan Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan lain-lain diciplak dari barat hampir seratus peratus dan tidak banyak mencerminkan nilai-nilai ketimuran atau budaya hidup Malaysia. Tidak memasukkan nilai-nilai keMalaysiaan atau keIslaman. Ada pengkritik vokal, seni pentas, seni lagu, persembahan dan sebagainya, tetapi tidak ada pengkritik yang memberikan input soal budaya dan adat sopan agama.”

Program realiti hiburan seperti Akademi Fantasia, Mentor, My Starz, Malaysian Idol, One in a Million dan sebagainya ditiru daripada Barat bagi menambah program hiburan di Malaysia, tujuannya adalah untuk melahirkan penyanyi-penyanyi ”pasang siap”. Persoalan timbul apabila produk media keluaran orang Islam di Malaysia yang tidak jauh bezanya dengan produk media acuan Barat yang berteraskan budaya hedonisme. Hal ini adalah akibat pemikiran yang membentuk tanggapan bahawa media hanyalah alat hiburan dan medium menjual produk semata (Syuhada, 2009). Peningkatan jumlah peserta yang menghadiri sesi ujibakat realiti televisyen ini dari tahun ke tahun merupakan kejayaan pola pemikiran hedonisme sehingga mengagungkan populariti dan kemewahan.

Jelas pemikiran hedonisme yang menular ini mampu menyeleweng tujuan hidup seorang muslim sehingga berkiblatkan hiburan dan keseronokan semata. Dukacita apabila generasi muda hari ini lebih mengenali keperibadian artis pujaan mereka daripada keperibadian para nabi. Kehidupan para artis yang mengikut kayu ukur barat dijadikan garis panduan dan ikutan, hatta tingkah laku para artis itu sendiri menentang budaya ketimuran apatah lagi syariat Islam. Semua budaya hedonisme ini dilihat normal atas nama kemodenan dan kecenderungan masa kini. Hiburan yang melampaui batas dan nilai murni ini turut dipromosikan oleh media sehingga menjadi rujukan masyarakat. Masyarakat makan, pakai, dan berkelakuan selari dengan kehendak dan kecenderungan masa kini mengikut maklumat yang disampaikan media. Oleh itu, jika baik maklumat yang tersebar, baiklah kesannya kepada masyarakat, jika buruk pula maklumat yang disampaikan, maka buruk pula kesannya kepada masyarakat.

Shahril Anuar (2006) ketika memberikan kritikan terhadap program-program realiti tv ini menyatakan, kebanyakan program realiti yang ada tidak ambil peduli tentang aspek moral dan budaya masyarakat Malaysia. Tiada satu pun ciri-ciri masyarakat Melayu yang beragama Islam yang ditampilkan dalam program berkenaan sedangkan hampir semua penontonya adalah di kalangan orang Melayu. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, percakapan keterlaluan dan cara penampilan diri yang bertentangan dengan adat dan budaya Malaysia sudah banyak menjadi asam garam program realiti ini.

2228168492_e0694267e5

Suasana di salah satu konsert yang pernah dianjurkan…jangan tersilap..bukan di negara Barat, tetapi di dalam negara Malaysia kita yang tercinta..Adakah generasi begini yang kita mahu lahirkan?

Hiburan menjadi agenda utama media massa apabila kebanyakan promosi yang diberikan media kepada para artis melebihi para ilmuan dan tokoh sarjana. . Tokoh-tokoh akademik, para ulamak, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan sumbangan yang telah mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, artis-artis lebih diberi pelbagai anugerah dan dijulang nama. Pencapaian para artis lebih mendapat liputan pihak media, berbanding kecemerlangan para cerdik pandai negara.

Realiti yang berlaku ini membuktikan betapa budaya hedonisme ini telah meresap masuk dan sedikit demi sedikit menjadi darah daging masyarakat. Penularan budaya dan fahaman ini sebenarnya berkait rapat dengan pihak pengamal media yang memberikan ruang yang sangat banyak kepada program-program dan bahan-bahan berita yang berbentuk hiburan.

5 thoughts on “Budaya Hedonism: Akibat suka berhibur, maruah terkubur ummah mundur (Bahagian 2)

  1. Salam,

    Ustaz, saya sebenarnya sudah lama memikirkan masalah ini(budaya hedonisme)
    disebabkan hal ini sendiri tejadi kepada orang-orang di sekitar saya,terutamanya rakan-rakan.Walaupun ianya boleh diklasifikasikan mereka ini berada dalam peringkat awal,tetapi saya rasa mereka ini perlu diubah @disedarkan semula untuk kembali ke jalan yang lurus .Banyak lagi yang ingin saya utarakan kepada ustaz tetapi bukan melalui comment di sini .Jika boleh saya minta ustaz berikan e-mail ustaz.Saya perlukan pandangan dan cadangan tindakan yang patut diambil untuk menyelesaikan masalah ini.Sekian,wassalam.

  2. Assalammualaikum,
    inilahlah kerenah umat akhir zaman.jumlah individual,organasasi2,penganjur2yang berfungsi sebagai PR Department of HELL adalah terlalu banyak dan nampaknya mereka ini mendapat kejayaan cemerlang.siapa yang rugi akhirnya?.KITA semua(terutamanya penganjur ketua2 masyarakat dan kerajaan di semua peringkat)perlu renungkan dan bertindak untok kebaikan di dunia dan akhirat.kesiani lah diri sendiri ,dan diri2 yang di bawah tanggongan .

    wassalam

    wassalam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *