Budaya Hedonisme: Akibat suka berhibur, maruah terkubur umat mundur (Bahagian 1)

Pemikiran budaya hedonisme*

(Ini ialah sebahagian petikan kertas kerja bertajuk Media Massa dan Serangan Pemikiran yang pernah saya bentangkan di Seminar Kebangsaan: Media dan Pemikiran Islam, anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada 20-21 Julai 2009 yang lalu)

beruk

Gambar hiasan

Hedonisme yang berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kesenangan (pleasure) ialah suatu pola pemikiran dan budaya hidup yang terlalu sukakan kepada aktiviti hiburan dan keseronokan semata-mata (Encyclopedia of Philosophy, 2006;254-258). Menurut kamus dewan pula, hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Sedar atau pun tidak, secara sengaja atau pun kebetulan cuma, budaya hedonisme ini telah mula menular masuk sekian lama dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya dikalangan muda mudi. Salah satu faktor penting yang menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan yang sangat banyak kepada aspek hiburan.

Kebarangkalian yang boleh difikirkan kenapa berita artis, rencana hiburan dan skandal seks diberikan ruang yang begitu meluas, dengan gambar-gambar yang besar dan memakan banyak ruang, tajuk-tajuknya yang besar, mungkin kerana ianya jenis yang ”selamat”. Para menteri tidak menghalang, ramai orang yang suka membacanya, pasaran bertambah dan para pengiklan pun senang hati.

Hiburan pada dasarnya bukanlah suatu yang salah atau dilarang oleh Islam, asalkan ianya dihidangkan dan dinikmati berlandaskan lunas-lunas syariat. Fitrah manusia secara umumnya memang perlukan kepada hiburan. Tuntutan fitrah ini seharusnya diberikan haknya dan ditunaikan dengan adil. Adil dalam erti kata memilih hiburan yang betul dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja tanpa melampaui batas.

no hedonissmeNamun, fenomena yang terzahir pada hari ini adalah sebaliknya. Program-program hiburan sama ada di televisyen atau radio dilambakkan kepada masyarakat dengan begitu banyak mengatasi program-program lain. Berita-berita hiburan juga memonopoli akhbar-akhbar dan tabloid-tabloid. Kisah kehidupan, dalam dan luar negara, diberikan liputan yang berleluasa.

Tidak cukup dengan program hiburan yang disiarkan di kaca televisyen, terdapat sesetengah pengamal media dengan bersungguh-sungguh menghidangkan hiburan ini secara langsung kepada masyarakat. Menjelajah dari satu negeri ke satu negeri yang lain sambil mengajak masyarakat untuk berhibur bersama artis-artis yang dibawa. Sebagai contoh, umum telah mengetahui tentang kewujudan Karnival TV3 Jom Heboh! yang sudah mendapat tempat di hati masyarakat. Setiap kali karnival ini sampai di mana-mana negeri, konsert hiburan dari artis-artis tempatan pasti dinanti. Memang tidak adil untuk kita mengkategorikan karnival ini sebagai budaya hedonisme sepenuhnya, kerana sesetengah aktiviti yang diselitkan memang memberi faedah kepada masyarakat seperti pameran yang melibatkan gerai-gerai dan jualan.  Namun, pengaruhnya ke arah penyuburan budaya tersebut tidak boleh dinafikan.

Hal ini tampak jelas melalui tindakan Kerajaan Negeri Terangganu suatu ketika dahulu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri, Wan Hashim Wan Salleh pada 26 Febuari 2005. Sebagai mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, beliau menafikan sama sekali telah memberi kebenaran kepada stesen televisyen swasta, TV3 bagi menganjurkan program berbentuk hiburan, Karnival TV3 Sure Heboh – nama yang digunakan ketika itu- di negeri tersebut. Kerajaan negeri katanya tidak pernah dan tidak akan membenarkan karnival berkenaan atau yang seumpamanya dibuat di negeri itu kerana ia mengandungi beberapa aktiviti seperti konsert  oleh artis tempatan yang tidak menepati ciri-ciri Islam Hadhari. Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan negeri telah membuat kerjasama dengan stesen televisyen itu bagi menganjurkan satu program Islam Hadhari yang bertujuan memberi kefahaman kepada rakyat negeri  itu mengenai konsep Islam Hadhari. Natijahnya, maka lahirlah program ”Perkampungan Hadhari” yang dilihat lebih berunsurkan Islamik.

Selain konsert-konsert yang diselitkan semasa karnival Jom Heboh ini, ada juga konsert-konsert lain yang terus dijamukan kepada masyarakat kita di atas pelbagai nama dan tema, dianjurkan oleh pelbagai pihak dan syarikat. Konsert sempena sambutan tahun baru, konsert sambutan hari kebangsaaan dan bermacam lagi. Contoh lain ialah Konsert Inspirasi TV3 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Pesta Malam Indonesia 3, Rockaway ’09 dan terdapat 6 konsert lain yang dianjurkan sempena Festival Muzik KL 2009 yang bermula dari 1-10 Julai 2009.

XM8XKFCAE1P2WICAY0GIP1CAJ64S13CANUU9QZCA005H66CA52102ECATTFR06CAA70SDJCAUJDIMPCAF3G7XZCA8SH9JBCAZ3AKW9CAMD7H49CA2QEDJPCAPB39TTCAQ39LUPCAGH36POCA0611PTCA6GI34Z

Gambar hiasan

Apabila program-program hiburan sebegini dilambakkan, kesannya minda masyarakat akan banyak dibentuk dengan hiburan. Generasi muda yang diharapkan menjadi barisan pelapis untuk menerajui dan mencorak pembangunan ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan yang melampau-lampau. Mereka lebih ghairah dan bersemangat untuk berbicara tentang gosip sensasi para artis, filem-filem terbaru di pawagam, lagu-lagu yang sedang popular dan pelbagai topik lain yang semuanya berkaitan dengan hiburan. Penyakit ini bukan sahaja menimpa golongan muda mudi kurang berpendidikan, malah dukacita apabila ianya turut berjangkit kepada golongan mahasiswa mahasiswi di institut pengajian tinggi.

One thought on “Budaya Hedonisme: Akibat suka berhibur, maruah terkubur umat mundur (Bahagian 1)

  1. emm susah utk membasmi gejala yg sudah mnjd isi dgn kuku d kalangan msyrkt kta..”di telan mati emak, diluah mati bapak”..apbla d tgur dan d nshti, mdah shj jwpan mrk..”islam itu mudah”..sbnrnya mrk blum ckup memahami apa itu islam yg sbnr..”tak kenal maka x cinta”..

    “LOOK EAST, LOOK WEST, ISLAM IS THE BEST”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *