Tuhan mana lagi yang lebih pemurah?

water 

Alhamdulillah…setinggi kesyukuran buat sekian kalinya kita panjatkan untuk ILahi diatas pelbagai nikmat yang dikurniakan. Tidak terhitung segala nikmat yang kita perolehi sama ada kita sedar atau pun tidak. Untuk menghitungnya pun kita tidak mampu, apatah lagi untuk membalasnya kembali…

Tapi, Tuhan Yang Maha Kaya, yang telah mengurniakan kita segala macam nikmat itu, tidak minta untuk dibayar atau dibalas kembali. Kalaulah Tuhan “berkira” dan meminta setiap nikmat yang dikurniakan, mestilah dibalas semula; nescaya tidak akan ada hamba yang mampu membalasnya. Alhamdulillah, Tuhan tidak berkira seperti mana ada hambaNya yang berkira-kira dengan Tuhan dalam melakukan ibadah.

Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan kita, memberi rezeki, memberi kehidupan dan pelbagai nikmat lagi. Yang diminta hanyalah supaya kita benar-benar menjadi hamba yang bersifat hamba, mengabdikan diri padaNya. Mengabdikan diri, melakukan ibadah ini, faedah dan kebaikannya pula bukan untuk Tuhan, tetapi kembali kepada kita semula. Jika kita melakukan ibadah, ibadah dijanjikan pahala. Pahala bermanfaat untuk membawa kita ke syurga. Bukankah syurga destinasi idaman kita semua?

Sebab itu, mari kita renungi pernyataan Tuhan yang Maha Pencipta ini: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, kecuali untuk mereka menyembah-Ku. Aku tidak mahukan sedikit pun rezeki dari mereka, dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi makan” (al-Zariyat:56-57)

Nikmat Hari Raya

Di Malaysia, suasana Eidul Fitri masih lagi terasa. Alhamdulillah, syukur kepada Allah yang telah memberi sekali lagi peluang untuk meraikan hari kemenangan dan kembali kepada fitrah ini. Hari raya merupakah salah satu nikmat diantara banyak nikmat yang Allah kurniakan. Ia bukan sekadar perayaan tahunan atau adat semata-mata, tetapi lebih besar ia merupakah satu ibadah, anugerah ILahi yang patut disyukuri. Bersyukurlah di atas peluang ini yang kita pun tidak pasti adakah masih ada lagi peluang untuk kita bertemu Ramadhan dan Syawal tahun hadapan, atau inilah peluang terakhir yang diberikan?

 

Bagi yang telah menyempurnakan puasa Ramadhan, diberikan lagi satu peluang untuk melipat gandakan pahala. Bukan untuk kebaikan Tuhan, tetapi untuk manfaat insan. Rasulullah memberi saranan:

Sesiapa yang telah berpuasa Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal, maka pahalanya seolah-olah dia berpuasa setahun“.

Masya Allah, dengan ditambah 6 hari sahaja lagi, pahala yang dijanjikan ialah seumpama setahun. Alangkah pemurahnya Tuhan kita. Alangkah tidak berkiranya Tuhan kita.

Bagi yang sudah merebut peluang ini, tahniah dan nantikan khabar gembira di negeri akhirat kelak. Bagi yang belum sempat menunaikannya, hati-hati agar tidak terlepas peluang ini begitu saja. Kepada yang belum pernah berpuasa sunat 6 hari Syawal ini, ayuh…tahun ini kita catatkan rekod gemilang. Usah berlengah lagi..Mari kita mulakannya segera. Jika berjaya, maka ia merupakan suatu kejayaan bagi kita.

Tuhan Yang Maha Pemurah ingin sekali mengurniakan kita pelbagai pahala melalui pelbagai cara. Cuma kita sahaja yang kadang-kadang tidak mahu merebut peluang itu. Atau ada juga yang sampai berkira dengan Tuhan dalam melakukan ibadah, walaupun pahala itu untuk dirinya sendiri.

Mari kita renung kembali segala nikmat yang dikecapi, lantas bertanya pada diri, Tuhan manakah yang lebih pemurah lagi?

Jawapanya sudah pasti, tanpa syak dan ragu lagi, Tuhan itu ialah Allah, tiada yang lain yang layak untuk disembah melainkan Dia…Tuhan Rabbul Izzati.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *