Terkenang Ramadhan di bumi Haramain

Menelusuri hari-hari terakhir Ramadhan tahun ini, sekali lagi saya terkenang kembali detik-detik manis menjalani ibadah Ramadhan semasa belajar di bumi Mekah dulu.

image083

Saya paparkan semula sebahagian catatan ringkas kenangan tersebut. Untuk mengetahui kisahnya yang lebih menggamit jantung hati, anda dijemput untuk melayari entri “Terkenang Ramadhan di Dua Tanah Suci” di bahagian Catatan Kembara. 

11/10/06: Iktikaf 10 terakhir Ramadhan

Hari ini adalah hari ke-19 Ramadhan. Jadi, petang nanti, selepas terbenamnya matahari, akan masuk malam ke-20 Ramadhan. Maka, bermulalah kemuncak pesta ibadah di bulan Ramadhan ini.

Bermula dari selepas Asar lagi, aku lihat ramai umat Islam yang telah mula berpusu-pusu masuk ke masjid al-Haram dengan membawa bekalan masing-masing. Iktikaf 10 terakhir Ramadhan akan bermula. Inilah diantara sunnah Rasulullah saw yang sangat-sangat dituntut. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan, dengan harapan semoga dapat dipertemukan dengan Lailatul Qadar. Daripada ‘Aisyah ra berkata: ((Nabi saw selalu beri’tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian, isteri-isteri baginda pula beri’tikaf selepas kewafatan baginda)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Jadi, sepatutnya untuk seorang mukmin, semakin hendak berakhirnya Ramadhan, semakin ligat menggandakan amal ibadat, mencari pahala dan meraih berkat. Tapi, suasana sebegini tidak berapa dirasai di Malaysia. Minggu-minggu terakhir Ramadhan inilah umat Islam di Malaysia akan sibuk dengan mengemas rumah, membeli baju raya, membuat kuih muih dan bermacam-macam lagi persiapan untuk hari raya. 10 terakhir Ramadhan ini berlalu begitu sahaja.

Namun, mungkin bagi sesiapa yang ingin merasai kelainan suasana10 terakhir Ramadhan di Malaysia, mungkin anda boleh cuba untuk datang beriktikaf dan berqiyamullail di Masjid UIA, Gombak (ini antara tempat yang saya tahu dan alami sendiri. Mungkin ada lagi masjid-masjid lain di Malaysia). Rasailah kelazatan beribadah. Lihatlah suasana umat Islam yang betul-betul tidak mahu melepaskan peluang iktikaf 10 terakhir Ramadhan ini. Kalau anda tidak mampu untuk berada di sini selama 10 hari, sekurang-kurangnya jangan terlepas peluang pada malam ke-27…Mungkin, sekali anda cuba, tahun depan nak datang lagi. Apa pun, suasana “kemeriahan beribadah” pada 10 terakhir Ramadhan di Masjid UIA ini tidaklah sama jika hendak dibandingkan dengan suasana di Masjid al-Haram. Malah, mungkin tidak layak untuk dibuat bandingan. Beribadah di Masjid al-Haram tidak dapat dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Sebab itu, bagi mereka yang berkemampuan dan telah merasai kelazatannya, sanggup menghabiskan beribu-beribu ringgit untuk pergi menunaikan umrah dan menjalani ibadah Ramadhan di Mekah. Semoga kita juga dapat peluang ini lagi.

2 thoughts on “Terkenang Ramadhan di bumi Haramain

  1. salam..em..selain di masjid UIA..sy ada dgr dr kwn2..seronok berqiamulail di masjd syakirin klcc..tp tdk smpt merasai kenikmatannya ats sbb2 tertentu..em..betul 2..di sisa2 bulan rmdhn..msjd kelihatn sgt lenggang..tdk semeriah di awal bln rmdhn..tp stlah berakhr rmdhn, rsa rndu dan sebak menyelubungi jiwa..masa berlalu dgn pantas..sepantas kilat..terlalu sedih bila syawal mnjlma,tdk trasa kmriahnnye..thn ini plng mnydhkan..mak tdk sht pd rya ptma..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *