Muhasabah Ramadhan (3)

 

Nasib fakir miskin  dan anak yatim

 

miskin1

Bulan Ramadhan adalah bulan rahmat dan bulan melimpah ruahnya rezeki bagi sesetengah golongan seperti anak-anak yatim dan fakir miskin. Alhamdulillah, para korporat, usahawan, syarikat-syarikat, menteri-menteri, wakil rakyat, pengusaha hotel dan restoran masing-masing berebut untuk melakukan kebaikan untuk menjamu orang berbuka puasa. Lalu dijemputlah semua anak-anak yatim yang menghuni asrama anak yatim. Kadang-kadang ada asrama anak yatim yang mendapat dua tiga jemputan pada hari yang sama. Begitu juga dengan nasib golongan fakir miskin. Ramai yang menghantar juadah untuk berbuka puasa kepada mereka yang kadang-kadang lebih daripada cukup sehingga berlakunya pembaziran. Betapa gembiranya hati-hati anak-anak yatim dan fakir miskin tatkala tibanya Ramadhan begini. Mereka tidak lagi menangis kesunyian  akibat tiada siapa yang pedulikan mereka sebelum ini. Mereka tidak lagi mengikat perut menahan kelaparan akibat tidak cukupnya makanan sebelum ini. Terpancar sinar keceriaan dan kesyukuran dari wajah-wajah mereka kerana masih ada lagi sekelumit ingatan kepada mereka di dalam hati masyarakat lain yang kaya raya, bersenang-lenang dan bermewah-mewahan.

 

 

Tetapi malang sekali bagi sesetengah mereka. Kegembiraan yang diharapkan berpanjangan ini rupa-rupanya pergi lenyap dengan perginya Ramadhan. Diharapkan panas hingga ke petang, tetapi hujan di tengah hari hingga ke malam. Di susuli pula dengan ribut petir dan angin kencang. Mereka kembali dilupakan dan tidak dipedulikan.

 

 

Jika mereka masih diberi perhatian, kenapa masih ada yang hanya makan nasi sehari sekali, berlaukkan pucuk kayu, berkuahkan air garam. Lebih menyedihkan, pernah disiarkan bahawa ada mereka yang terpaksa menjadikan siput babi sebagai sesuap makanan bagi meneruskan hidup di dalam sebuah negara membangun dan makmur ini.

 

Walau apa pun yang dihadapi, mereka mengerti bahawa hidup ini  tetap perlu diteruskan walau pun masa depan tidak menjanjikan kesenangan dan kebahagiaan. Ada juga yang terpaksa memberhentikan persekolahan anak-anak kerana tidak mampu lagi untuk menanggung kos persekolahan. Lalu umur muda anak-anak yang sepatutnya sibuk dengan tugas menuntut ilmu tergadai begitu sahaja. Mereka pula terpaksa bekerja bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga.

 

Ada pula yang menderita menanggung kesakitan akibat tidak mampu untuk menampung kos perubatan yang mahal. Kadang-kadang si suami yang selama ini tempat isteri dan anak-anak bergantung harap, jatuh sakit yang menghalangnya dari terus bekerja mencari rezeki. Si isteri pulalah dengan kudrat yang ada terpaksa menggantikan tugas suami mencari rezeki untuk menyara kehidupan suami dan anak-anak.

 

Ini hanyalah sebahagian daripada warna-warni kehidupan manusia yang penuh dengan duka derita di atas pentas dunia yang penuh dengan sandiwara. Sedar atau pun tidak, semua ini wujud di dalam masyarakat yang ada anggotanya hidup dengan penuh senang lenang dan kaya raya. Hidup seharian hanya difikirkan bagaimana lagi untuk menambahkan harta kekayaan yang sudah sekian banyak. Makannya tidak layak lagi di warung-warung kecil, tetapi di hotel-hotel atau restoran yang mewah. Pakainya tidak layak lagi baju-baju yang dijual di pasar malam, tetapi mesti yang berjenama hebat-hebat dan mahal. Malah ada yang sanggup pergi ke luar negara semata-mata untuk salon rambut dan membeli belah. Kenderaan pula yang mahal-mahal dan tidak cukup sebuah. Malah ada yang memiliki kenderaan berbelas-belas dan berpuluh-puluh buah. Kediamannya pula dipenuhi dengan segala perabot dan perhiasan import dari luar negara. Ini belum dikira lagi yang sanggup menipu, menindas orang lain  dan mengamalkan rasuah demi mengaut kekayaan dunia yang sementara. Kesannya, jadilah yang kaya terus kaya, dan yang miskin terus miskin.

 

Terfikir pula kita ke mana perginya duit zakat? Bukankah berpuluh-puluh juta duit zakat telah dapat dikutip. Bukankah juga fakir miskin merupakan salah satu golongan yang berhak menerima zakat? Kalaulah jumlah pungutan zakat berpuluh-puluh juta seperti yang dilaporkan, apakah ia masih tidak cukup untuk membantu fakir miskin, yang sakit dan para pelajar bagi meringankan beban mereka? Di mana fungsi dan peranan pusat pungutan zakat? Walaupun namanya “pusat pungutan zakat”, ia bukan sekadar tahu untuk “pungut” sahaja, tetapi mesti tahu juga untuk diagihkan. Apalah yang hendak dibanggakan sangat dengan pencapaian berjaya meningkatkan hasil kutipan zakat dari tahun ke tahun, tetapi ia tidak diuruskan sebaik mungkin. Oleh itu, inilah peringatan untuk semua pihak yang terlibat dalam menguruskan harta zakat ini: Takutlah kamu kepada Allah dalam menguruskan harta zakat kerana ia adalah amanah dari umat Islam!

 

Justeru, wahai para usahawan, ahli korporat, jutawawan, wakil rakyat dan mereka yang kaya raya! Marilah kita mengambil ruh Ramadhan yang mengajar kita erti kasih sayang, merasai kesusahan, mengambil peduli sesama insan dan berkongsi kesenangan, untuk kita teruskan semangat ini pada bulan-bulan yang lain juga. Cuba lihat di sekeliling. Tatkala kita bersenang lenang, perut sentiasa kenyang, bergurau senda bersama insan yang disayang masih ada insan-insan yang pipinya senantiasa dibasahi air mata kesedihan dan penderitaan dek kemiskinan dan ujian yang dihadapi mereka. Bukankah mereka juga sebahagian dari kita? Apakah tidak boleh harta kekayaan yang Allah kurniakan, untuk mereka juga turut merasainya. Ke mana segala khazanah kekayaan itu akan membawa kita? Adakah jaminan untuk kita ke syurga? Kepada para hartawan dan jutawan yang telah mendahului orang lain dalam melakukan amal kebajikan ini, kita doakan semoga Allah murahkan lagi rezeki mereka. Kita berdoa dan berharap semoga semakin ramai lagi “Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari” yang akan muncul nanti. Kewujudan yang dirasai, kekayaan yang boleh dikongsi.

 

Inilah yang dikatakan tarbiyyah Ramadhan. Ia bukan sekadar hanya tidak makan dan tidak minum di siang hari, tetapi lebih daripada itu. Ramadhan hanya datang sekali dalam setahun. Namun biarlah kita jadikan kesan didikan Ramadhan ini berkekalan di sepanjang tahun. Sebagaimana matlamat yang ingin dicapai ialah taqwa, maka mereka yang telah menjalani ibadah puasa ini seharusnya bersifat dengan sifat orang-orang yang bertaqwa. Marilah kita doakan semoga Allah Azza wa Jalla menerima ibadah puasa yang telah kita lakukan dan semoga kita diizinkan lagi untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Amin!

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *