Muhasabah Ramadhan (2)

googlequranMembaca al-Quran

 

Semasa di musim Ramadhan, akan wujud juga satu suasana yang amat baik dan mesti diteruskan iaitu amalan membaca al-Quran. Kedengaran di masjid-masjid, surau-surau malah di pejabat-pejabat gema suara-suara umat Islam mengalunkan Kalamullah. Tidak kurang juga yang turut serta dalam program tadarus al-Quran yang dianjurkan oleh masjid-masjid. Ada juga yang secara individu bersungguh-sungguh untuk menghabiskan 30 juzuk al-Quran dalam bulan Ramadhan. Kalau sebelum ini, apabila waktu rehat masing–masing akan menyerbu kantin-kantin atau restoran-restoran untuk makan sekejap dan berborak-borak begitu lama. Tetapi Ramadhan telah mengubah suasana ini. Ramai yang membuat pilihan untuk terus ke masjid atau surau-surau dan diisi waktu ini dengan membaca al-Quran. Sesetengahnya pula, kesempatan bulan Ramadhan inilah digunakan untuk membuka semula al-Quran yang telah ditutupnya sekian lama semenjak khatam al-Quran dahulu. Ada pula yang merangkak-rangkak dan tergagap-gagap membaca al-Quran akibat tidak membacanya terlalu lama. Kadangkala apabila tibanya Ramadhan masing-masing akan membuka almari dan rak-rak mencari  semula  al-Quran yang pernah disimpan dahulu pada Ramadhan tahun lepas. Ada al-Quran yang telah “dibaca” oleh lipas dan anai-anai disebabkan manusia hanya asyik menyimpannya sahaja tanpa dibaca. Ada yang telah diselimuti oleh debu-debu. Mungkin inilah yang dikata “suci dalam debu”.

 

Persoalan seterusnya, kenapa suasana ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan? Adakah al-Quran ini diturunkan hanya untuk dibaca pada bulan Ramadhan? Apakah fadhilat membaca al-Quran terdapat pada bulan Ramadhan sahaja? Kenapa di bulan Ramadhan kita boleh mencari masa untuk membaca al-Quran? Apakah perjuangan Rasulullah saw, para sahabat dan generasi yang selepas mereka yang begitu bertungkus lumus untuk menegakkan al-Quran, disambut oleh genarasi kita hanya dengan membacanya pada bulan Ramadhan? Apakah kita telah memahami atau cuba untuk untuk memahami segala isi kandungan al-Quran untuk diamalkan di dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah sekeliannya? Tepuklah dada, tanyalah hati yang dipandu oleh iman dan wahyu Ilahi.

 

Oleh itu, marilah wahai umat Muhammad! Generasi penyambung perjuangan Rasulullah saw dan para salaf al-salih. Ayuh! Dengan daya upaya dan segala kudrat yang ada, kita tegakkan tuntutan al-Quran dan jadikannya bacaan rutin kita seharian. Usah biarkan al-Quran terus tersimpan di dalam almari atau rak-rak samada di masjid-masjid atau di rumah. Mana-mana rumah yang masih belum ada Al-Quran dan terjemahannya, dapatkannya sekarang juga. Bagi mereka yang masih belum lancar al-Quran, jangan malu dan segan untuk terus belajar dan belajar, lagi dan lagi. Marilah kita membaca al-Quran dengan cuba untuk memahami isi kandungannya. Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dipertandingkan, tetapi sebagai kitab hidayah untuk memandu kita hidup di dunia ini supaya kita mengetahui yang mana satu jalan yang betul dan jalan yang sesat. Untuk renungan, perhatilah dengan mata hati ganjaran yang dijanjikan untuk mereka yang sering membaca al-Quran:

 

Daripada Abu Umamah ra  berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud: ((Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat sebagai syafaat kepada tuannya)). (Riwayat Muslim)

2 thoughts on “Muhasabah Ramadhan (2)

  1. salam ust..saya nak tnya,dosa x klu tulis ayat al-Quran atau doa dlm tulisan rumi?cthnya:s’org ayah tdk lancar membaca doa dlm bhs arab utk d hfl.. dan m’minta p’tlgan anaknya menulis doa dlm tulisan rumi but still bhs arab..

  2. Rina,
    Tidak salah tulis dalam rumi, tetapi harus dipastikan sebutannya betul, sebab jika tersalah sebut kadang2 maksudnya juga akan berubah..

    Apa pun, lebih baik berdoa dgn menggunakan ayat dan bahasa yg si pemohon itu faham dan boleh menghayatinya…tidak smestinya dalam bahasa arab sahaja

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *