LAGI AKSI SEPERTI ‘FAIZAL TAHIR’

Dunia hiburan di Malaysia “kecoh” seketika apabila seorang artis lelaki yang popular dengan lagu “Mahakarya Cinta” telah melakukan aksi yang dianggap tidak sopan di atas pentas konsert. Aksi penyanyi tersebut yang membuka baju semasa membuat persembahan–penulis tidak pasti sama ada secara spontan atau memang dirancang – dikatakan telah melanggar adab kesopanan dan tidak secocok dengan nilai budaya ketimuran orang kita.Pelbagai reaksi muncul. Ada pihak yang terkejut. Ada pula yang marah. Ada juga yang seronok dan terhibur. Ada juga yang tidak rasa apa-apa. Buat beberapa hari, terpampanglah gambar-gambar aksi panas penyanyi tersebut di dada-dada akhbar. Banyak pihak yang tampil untuk mengulas. Ada yang membela, ada juga yang mencela. Rakan-rakan artis dengan ulasan cara mereka. Ahli akademik dengan caranya. Golongan agama dengan gaya mereka. Entahlah, mana satu yang benar, mana pula yang tersasar? Apa yang dibela, siapa pula teraniaya? Biar apa pun ulasan mereka, aksi penyanyi tersebut telah melayakkan dia untuk menerima hukuman.

Hukuman dan Tahniah

Pihak yang berwajib telah menjatuhkan hukuman yang dianggap setimpal dengan kesalahan tersebut. Tidak dibenarkan lagi untuk membuat persembahan untuk beberapa ketika, di tambah juga dengan khidmat sosial menyumbang bakti untuk masyarakat dan negara. Ini semua diputuskan sebagai hukuman untuk menebus ”dosa”. Ucapan tahniah layak diberikan kepada penyanyi tersebut kerana secara langsung telah menyatakan kekesalan di atas perbuatan tersebut.

Semoga kekesalan itu akan disusuli dengan perubahan, bukan sekadar siulan. Episod hitam dalam sejarah hidup penyanyi itu mungkin telah lenyap dengan berakhirnya tempoh hukuman tersebut. Kini dia boleh kembali untuk beraksi. Selepas dia dan hingga ke saat tulisan ini ditulis, kita tidak dengar lagi mana-mana artis yang dihukum kerana berkelakuan tidak sopan. Faham secara langsungnya, semua artis-artis di Malaysia ini sememangnya bercirikan budaya ketimuran orang kita yang penuh dengan sopan santun dan malu segannnya.

Antara BUDAYA dan AGAMA

Jika ada yang melanggar etika dan budaya ketimuran ini, sudah tentu mereka juga akan dikenakan tindakan sebagaimana Faizal Tahir dihukum.Tetapi benarkah itu hakikat? Atau penulis yang tersalah melihat, lalu membuat kesimpulan tidak tepat? Ya, ada juga kemungkinan penulis tersalah melihat, lalu kesimpulan yang dibuat adalah tidak tepat. Bagaimana???? Faizal Tahir, seorang penyanyi lelaki, yang beraksi membuka baju ketika membuat persembahan, dikira telah melakukan kesalahan. Ini kerana aksi tersebut adalah tidak sopan dan melanggar budaya ketimuran.

Bagaimana pula dengan gaya dan aksi SEBAHAGIAN artis-artis (penyanyi dan pelakon) perempuan kita? Berpakaian ketat dengan skirt sekerat, baju singkat sampai nampak pusat, kain terangkat sampai terbonjol urat, ber ”posing” seksi dengan gaya memikat, sengaja menunjuk peha sekerat, seolah-olah perasan macam artis Barat. Ada juga yang berani bergambar di kolam, berpakaian jarang sampai nampak baju dalam, tidak kira putih tidak kira hitam, baik yang telah popular, mahu pun penyanyi kelab malam.

Kadang-kadang ada yang suaranya tidaklah merdu, jauh sekali nak diibaratkan bagai buluh perindu, lakonannya juga tidaklah bermutu, hanya sekadar menayangkan kulit yang gebu. Mungkin ini caranya supaya album lebih laku. Hai… entahlah… kelu lidah ini, kalau inilah yang akan terus berlaku… Mungkin ada yang berkata penulis berdusta atau selewengkan fakta. Nah… lihat sahaja dengan mata kepala. Media hiburan di sini dan sana. Ada yang masuk media arus perdana. Itu belum lagi yang di ”youtiub” dan di alam maya. Majalah-majalah hiburan bersepah tidak terkira. Gambar-gambar artis perempuan terpampang selamba. Mendedah tubuh dengan gaya menggoda.

Masih tidak percaya? Boleh cuba beli, buka dan lihat dengan mata kepala. Tentu akhirnya anda akan percaya. Itulah gambaran sebahagian artis-artis kita. Sebab itu, lebih sedap beli buah mangga, daripada majalahnya.Jika Faizal Tahir yang membuka baju itu dianggap tidak sopan dan melanggar budaya ketimuran, bagaimana pula dengan tingkah laku sebahagian artis-artis perempuan ini? Adakah itu yang dikatakan bersopan dan menjulang tinggi budaya ketimuran? Ini belum lagi dibahaskan dari sudut hukum dan peraturan syariat. Agenda kita bukan sekadar untuk berhibur. Tetapi untuk membangunkan ummah dan negara supaya lebih subur. Ingat kembali, apa yang akan kita bawa bila masuk ke kubur. Bukan sekadar sebatang tubuh yang kaku terbujur.

Islam tidak halang hiburan

Tetapi persoalan di dunia yang akan dijawab dengan jujur. Setiap anggota akan menjadi saksi walaupun mata yang pernah kabur. Percayalah, ummah ini tidak akan cemerlang dengan hiburan malam dan siang. Ummah ini tidak akan gemilang jika asyik disogokkan dengan hiburan memanjang. Ummah ini tidak akan menjadi terbilang jika hiburan yang dijulang. Tetapi, ummah ini akan cemerlang jika syariat yang dipegang. Ummah ini akan gemilang jika al-Quran dan sunnah dijulang. Ummah ini akan terbilang jika peribadi Rasulullah menjadi contoh teladan.

Oleh itu, ummah ini mulia jika berpegang dengan agama, bukan lali dengan lagu dan irama. Islam tidak menghalang hiburan, kerana berhibur adalah fitrah insan. Tetapi, Islam mengawal hiburan agar ia tidak keterlaluan. Kita tidak mahu melahirkan generasi yang pendek arah tujuan. Hidupnya hanya untuk berhibur dan bersedap-sedapan. Kita mahukan generasi yang jelas matlamat dan murni wawasan. Matlamatnya bukan sekadar menikmati kehidupan dunia, tetapi untuk mengecap kebahagian di akhirat sana.

Tiada lagi caranya melainkan dengan kembali berpegang dan menghayati ajaran agama. Oleh itu, kepada pihak berkuasa kita rayu, pimpin dan didiklah kami dengan amanah dan ilmu. Jangan biarkan ummah ini terus layu, akhirnya tersesat arah dan hilang hala tuju. Ya , kami perlukan hiburan, tapi bukan sampai keterlaluan. Gunakan segala kuasa dan akta, untuk mengawal hiburan yang berleluasa. Berikan garis panduan dan peraturan, supaya artis-artis kita lebih bersopan. Kepada rakan-rakan artis kita seru, mari kita didik ummah ini dengan hiburan yang berilmu. Mari kita menyumbang untuk negara dengan cara bermutu. Mari kita ingat kembali ke mana arah tuju. Tiada siapa dapat mengelak, walau bersembunyi di sebalik tembok batu, kita tetap akan mengadap Tuhan Yang Satu. Hanya bekalan amal soleh yang dapat membantu.

ABD RAZAK A.MUTHALIB
www.abdul-razak.com
Taman Ilmu & Budi
6/6/08, 6.05 pm

4 thoughts on “LAGI AKSI SEPERTI ‘FAIZAL TAHIR’

  1. Tuan…nak tiub apa? “youtube” la, bukan “youtiub” hahah

    Bukan u pun ada bukak baju ka dulu masa duk bernasyid? Ka i yang tak berapa nampak sebab suasana “kelam”? harharhHAar

  2. salam ust..sy ingn brikan pndgn sy..mngpa lagak aksi faizal tahir dipersoalkan dan dikecohkan dalam media dan di anggap kurang sopan???tp mgpa media tdk pula menyiarkan atau mempersoalkan ketidaksopanan artis wanita yang berpakaian sprt kain di pasaraya atau mana2 butik sudah kehabisan stok..terdedah sana sini..bukankah itu jga tdk sopan..malahan ditegah dlm ISLAM…lebih tdk sopan dan sgt menjijikkan apbla kaum wanita menyanyi di ats pentas dgn aksi tdk cukup kain mrk..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *