Diari 9906 (episod 12)

 14/12/07

Menjadi “penunggu” Bukit Thur

bukit-thur-2.jpg

Pemandangan Bukit Thur. Di atas bukit inilah terletaknya Gua Thur, tempat persembunyian Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar, sebelum meneruskan perjalanan hijrah ke Madinah. 

Beberapa hari sebelum ini, ketika kami sedang belajar, seorang pegawai dari bahagian pentadbiran institut ini masuk ke dalam kelas. Selepas meminta izin daripada pensyarah yang sedang mengajar, beliau memaklumkan tujuan kehadirannya. Menurutnya, pihak Rabitah ‘Alam Islami dengan kerjasama Jabatan Amar Ma’ruf & Nahi Mungkar, Arab Saudi sedang mencari khidmat penterjemah sempena musim haji tahun ini.

Dengar sahaja pengumuman tersebut, terus terlintas dalam hati aku, ini peluang baik untuk aku belajar dan tambah pengalaman baru. Aku terus ajak dan beri galakan kepada kawan-kawan Malaysia yang lain. Selepas borang diedarkan,  kami pun bersama-sama mengisi borang.

Selang dua tiga hari, keputusan nama-nama yang terpilih sebagai penterjemah diumumkan. Hanya dua pelajar dari Malaysia yang terpilih; aku dan seorang lagi kawan, Mohd Tirmizi. Khidmat kami diperlukan sebagai penterjemah kepada jamaah haji yang datang dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura dan Selatan Thailand.

Aku bersama pelajar-pelajar dari negara lain yang turut terpilih dibawa ke pejabat Jabatan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar. Sampai di sana kami pun diberi sedikit taklimat ringkas dan diagihkan lokasi tempat kami bertugas. Aku ditugaskan di lokasi Bukit Thur, manakala Tirmizi ditempatkan disekitar perkuburan Ma’la. Terdapat dua orang lagi pelajar yang turut ditempatkan untuk bertugas di Bukit Thur. Abdul Kadir Abdul Haq dari Pakistan dan Burhanudin dari Togo, Afrika.

Hari ini, kami pun memulakan tugas. Pagi-pagi lagi, selepas solat Subuh, aku bersama Abdul Kadir dan Burhanudin bertolak ke Bukit Thur dengan teksi. Sampai di sana kami pun melaporkan diri dengan pihak Jabatan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar yang ditugaskan disana. Aku dapati, bukan kami bertiga sahaja yang bertugas di sini, tetapi terdapat beberapa orang lagi yang turut terlibat. Seorang pegawai polis juga ditempatkan di kawasan kami bertugas.

bukit-thur.jpg

Seronok dapat bertemu jemaah haji Malaysia, berkongsi ilmu dan cerita…

Hari pertama bertugas, aku agak janggal sikit. Maklumlah, ini pengalaman pertama aku. Tetapi, aku berfikir, tanpa lalui situasi pertama, bagaimana untuk rasai pengalamannya. Jika kita menolak sesuatu tugas yang tidak pernah kita lakukan dengan alasan tidak mempunyai pengalaman, sampai bila kita akan ada pengalaman? Bagaimana kita hendak ada pengalaman jika tidak mulakannya? Kali pertama kita gunakan alasan tidak ada pengamalan. Kali kedua disuruh pun, kita tetap akan gunakan hujah yang sama, tidak ada pengalaman. Sampai bila? Jawapannya sampai bila-bila selagi mana kita tidak mahu memulakannya. Jika kita terima buat kali pertama dan bersedia untuk belajar dan diajar, kemungkinan bila disuruh untuk kali kedua, kita akan katakan “saya yakin boleh buat, sebelum ini pun saya sudah ada sedikit pengalaman”.

Apa yang perlu aku lakukan disini ialah memberi penerangan kepada jamaah haji yang faham bahasa Melayu tentang sejarah yang berlaku di Bukit Thur ini. Selain itu, aku juga perlu mengedarkan risalah-risalah, buku-buku kecil yang berbahasa Melayu sebagai hadiah kepada jamaah haji yang datang melawat. Tugas lain yang tidak kurang pentingnya ialah memastikan para jamaah haji yang datang melawat bukit Thur itu tidak melakukan sebarang perkara yang khurafat atau ada unsur-unsur syirik.

thur-3.jpg

Antara perkara khurafat yang dilakukan oleh sebahagian jemaah haji -bukan dari Malaysia- ialah mengikat beg plastik di ranting pokok yang ada di kaki bukit ini. Kemudian dipohon segala hajat yang diinginkan. Ada juga yang datang dan terus sujud ke arah bukit Thur ini. Sedangkan kita hanya disuruh untuk sujud kepada Allah dan mengadap ke arah kiblat.

Jadi, inilah sedikit gambaran tentang tugas aku di Bukit Thur ini. Mula bertugas pada pukul enam pagi dan tamat sebaik sahaja solat Zohor. Inilah rutin aku selama sebulan di sepanjang musim haji ini. Banyak pengalaman yang aku lalui dan banyak pengajaran yang aku pelajari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *