Diari 9.9.06 (Episod 11)

 7 Syawal 1428

Pengajian bermula semula seperti biasa.

dsc00135.JPG 

Suasana di dalam kelas… 

Setelah hampir 2 minggu lebih bercuti, hari ini pengajian bermula seperti biasa. Namun begitu, kenangan terindah hari-hari Ramadhan masih lagi terbayang di mata dan bermain-main di fikiran..Bila lagi peluang itu akan aku lalui?

Hari ini aku berjumpa semula dengan kawan-kawan sekelas yang lain. Semestinya suasana kelas hari ini menjadi riuh rendah. Masing-masing ada cerita mereka tersendiri. Terpancar kegembiraan di wajah rakan-rakanku..Tidak kurang juga yang masih kesedihan teringatkan anak-anak dan isteri yang ditinggalkan. Walau apa pun perasaan yang melanda, kehidupan di sini harus diteruskan. Perjuangan masih belum selesai. Kami kembali menjadi seorang pelajar. Kitab-kitab dibuka semula. Helaian demi helaian perlu dibaca. Dengan para masyaikh kami mengadap muka. Mendengar huraian dan penjelasan yang nyata.

22/11/06

Peperiksaan Pertengahan Semester bermula.

Bukan nama pelajar jika tidak ada peperiksaan. Justeru, di pertengahan semester ini, kami perlu menghadapi satu peperiksaan. Sama macam di UIA juga, ada mid-term exam. Hari ini adalah hari pertama bermulanya peperiksaan.

 Bermula dengan subjek Usul al-Dakwah. Ini adalah antara subjek yang aku minat di sini. Salah satu sebabnya, subjek ini diajar sendiri oleh penulis kitab yang kami gunakan, Syeikh Dr. Muhaimin al-Tahhan. Aku sangat terkesan dengan cara huraiannya. Terasa diri ini masih banyak kekurangan. Masih banyak kelompangan. Terasa diri ini masih bermain-main dengan dakwah, sedangkan ia suatu kewajipan. Apakah dakwah ini suatu kerja sampingan, yang hanya dibuat jika ada kelapangan? Adakah berdakwah namanya jika hanya asyik mahu hidup dalam kesenangan, sedangkan para nabi pun menghadapi kesukaran? Adakah berdakwah namanya jika hanya sibuk menghitung berapa ringgit bayaran? Dakwah apa jika asyik mengejar popular dan kemasyhuran? Ya Allah…campakkan keihklasan dalam diriku, agar daku dapat menjalankan dakwah ini demi redhaMu…

 dsc00969.JPG

Syeikh Dr. Muhaimin al-Tahhan (berserban merah)…

Alhamdulillah…kertas pertama aku dapat jawab dengan baik. Tapi, itu hanyalah sekadar teori. Praktikalnya mungkin aku masih gagal.Tidak semestinya orang yang lulus dalam subjek dakwah, lulus juga dalam berdakwah. Entah berapa ramai orang yang cemerlang dalam subjek dakwah, tapi dakwahnya tidak pernah bercambah..Entah berapa ramai juga orang yang langsung tidak pernah belajar secara formal subjek dakwah, tetapi telah ramai manusia yang telah dibawa ke jalan Allah.

Hari pertama peperiksaan telah berakhir. Namun, aku masih belum boleh menarik nafas lega. Sebelas subjek lagi masih menunggu. Nasib hari-hari berikutnya masih belum menentu. Jadi, aku harus bersedia setiap waktu. Membaca semula nota, membuka helaian-helaian buku. Sebelas subjek lain yang aku maksudkan ialah Fiqh, Tafsir, Akidah, Thaqafah Islamiyah, Ulum Hadis, Hadis, Al-Quran & Tajwid, Khutbah, Sirah, Perbandingan Agama.

30/11/06

Hijrah Mina – Ummul Jud

Satu lagi peristiwa gembira berlaku hari ini. Berkat kesabaran dan ketabahan semua pihak, hari ini kami semua dipindahkan ke asrama baru. Dari Mina, kami berhijrah ke Ummu al-Jud. Kami boleh tersenyum lebar. Tiada lagi krisis air. Tidak perlu lagi berjalan berkilo meter melalui terowong Raja Khalid untuk balik ke asrama. Tidak perlu lagi naik turun tangga 5 tingkat setiap hari.Benarlah…setiap kesusahan itu akan diiringi dengan kesenangan. Tapi, dengan syarat, redha dan penuh kesabaran. Namun harus berasa bimbang kerana ada orang yang berjaya menghadapi ujian kesusahan, tapi kecundang dalam ujian kesenangan. Semoga kesenangan yang aku rasai ini bukan suatu ujian, tapi anugerah dari Tuhan.

Bangunan yang baru ini menempatkan bangunan pentadbiran institut, kelas-kelas pengajian, dewan teater dan asrama pelajar. Kami adalah batch pertama yang merasmikannya. Terletak di belakang bangunan pentadbiran Rabitah Alam Islam.

Tiada ungkapan lain lagi yang kami mampu ucapkan, selaian memanjatkan puji dan syukur pada Ilahi.

Selepas solat Subuh pagi ini, aku bersama teman-teman sebilik yang lain pun mengemaskan barang-barang di asrama Mina. Satu persatu dibawa turun ke bawah. Pukul 10 pagi, Abu Rami tiba bersama bas mininya. Kami pun mula mengangkut barang-barang untuk dimasukkan ke dalam bas. Setelah selesai, kami semua bergerak meninggalkan asrama di Mina ini. Terasa sedih juga untuk meninggalkannya tempat ini. Walau pun banyak kekurangannya tinggal di sini, tetapi tempat ini telah meninggalkan seribu satu kenangan pahit dan manis buat kami semua. Namun, kami perlu juga berpindah. Kemungkinan kehidupan di asrama baru nanti lebih lagi indah. Yang sudah, biarlah sudah. Jadikan tauladan, ambillah ibrah.

Selamat tinggal Mina…pasti kita akan bertemu lagi di musim haji nanti…

Ummul Jud…nantikan kehadiran kami..

phot0006.JPG

Melakukan kerja-kerja terakhir mengemaskan barang-barang untuk berpindah

30112006335.jpg

Bergambar kenangan bersama teman-teman Malaysia sebelum berpindah ke asrama baru

dsc00300.jpg

Pemandangan dari atas bukit, bangunan baru Institute for Training Of Imam & Preachers, terletak di Ummul Jud, berdekatan dengan bangunan pentadbiran Muslim World Leaguge, Mekah.

dsc00442.JPG

Koridor asrama baru kami…memang jauh lebih baik dari asrama yang lama..alhamdulilah.

02122006374.jpg

Ruangan tidur…teringat kembali zaman sekolah dulu

2 thoughts on “Diari 9.9.06 (Episod 11)

  1. Assalamualaikum.
    Akhi, ku juga terkenang semasa di Makkah.
    Ingin rasanya kuulang kembali.
    Kapan kita kesana lagi yuk.
    Kita ke Masjidil Haram, pulang beli Al-Baik.
    Bersilaturahim dengan ikhwah dari berbagai negara.
    Menghafal Al-Qur’an bersama.
    MAsih ingat aba talatah?
    Olahraga bersama, tanding bola lawan tetangga. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *