Diari 9.9.06 (Episod 10)

Agak sudah lama saya tidak paparkan catatan Diari 9.9.06 (Pengalaman Kembara Ke Tanah Suci)..Untuk siri ke-9 kali ini, saya akan berkongsi pula cerita dan pengalaman menyambut hari raya di sana…

1 Syawal  (23/10/06): Kali pertama menyambut Aidilfitri di perantauan

Pagi 1 Syawal ini, aku pagi-pagi lagi telah bersiap untuk ke Masjid al-Haram.Lebih kurang pukul 3 pagi, aku sampai. Waktu ini Masjid al-Haram masih lagi belum sesak. Aku mengambil tempat di tingkat atas (bumbung) masjid. Aku ambil keputusan untuk datang awal, sebab takut-takut tidak ada tempat di dalam masjid nanti. Menurut pengalaman, kawan-kawan yang sudah lama di sini, macam itulah ceritanya. Kalau datang lambat sikit, alamat solat diluar lah..Pukul 4 pagi, masjid mulai sesak. Berpusu-pusu umat Islam dari segenap ceruk datang membanjiri masjid. Masing-masing dengan pakaian yang serba kemas dan bersih. Kebanyakkannya memakai jubah putih dan syimag (serban) yang merupakan pakaian rasmi bagi bangsa Arab. Termasuk juga aku. Jubah putih yang baru aku beli semalam, dirasmikan hari ini..Nak pakai baju melayu bersampin, nampak sangat janggalnya nanti. Bukan aku lupakan identiti orang Melayu, tapi saja nak meraikan suasana tempat baru. Tapi ingat, adat boleh dirai, aqidah dan ibadat tiada kompromi. Mesti ikut syariat dan sunnah Nabi.

Tidak lama selepas itu, kami semua tunaikan solat Subuh. Jamaah subuh pagi ini lebih ramai dari hari-hari biasa. Teringat suasana sesetengah tempat di Malaysia. Terbalik pula jadinya. Kalau bulan puasa boleh tahan jumlah yang hadir solat subuh di masjid. Mungkin sebab dah bangun untuk sahur. Tiba pagi raya saja, terus merosot kehadirannya..Bilakah solat subuh hendak jadi seperti solat Jumaah?

Selepas solat Subuh, para jamaah tidak berganjak dari tempat masing-masing. Aku pun megambil langkah yang sama. Tidak mahu tempat nanti diambil orang lain. Lalu, kedengaran laungan suara takbir, tanda kemengangan di Eid al-Fitri. Laungan yang bersemangat, sesuai dengan maknanya. Ratusan ribu umat Islam di satu tempat yang sama, di waktu yang sama, dengan harapan yang sama, melaungkan kalimah yang sama, tanda syukur dan puji pada yang Maha Esa, di atas nikmat dan kurnia.

7.30 pagi, solat eid al-fitri didirikan dan diimamkan oleh Syaikh Usamah. Kemudian disusuli oleh khutbah. Selesai solat, orang ramai saling berpelukan dan bersalaman sambil mengucapkan tahniah tanda gembira di atas kemengan menyempurnakan ibadah Ramadhan. Aku bagaikan bermimpi menghadapi suasana ini. Inilah kali pertama aku menyambut hari raya berjauhan dari keluarga tercinta dan aku menyambutnya di bumi yang penuh barakah, Makkah al-Mukarramah. Syukur padaMu ya Allah, di atas peluang yang Engkau berikan ini.

Kemudian, aku pun mula bergerak turun untuk ke hotel tempat ayah Shahir tinggal. Di sana, kami menyambut hari raya secara ala kadar bersama orang-orang Malaysia di situ. Sppagetti yang aku dan Shahir masak semalam menjadi menu utama. Kemudian, kami pergi ke rumah sewa sahabat-sahabat pelajar Universiti Islam  Madinah yang datang berhari raya di Mekah. Berjauhan dari ibu bapa tercinta, teman-teman yang mengubat pilu dan duka, menambahkan rasa suka dan ceria. Lama juga kami disini. Berbual-bual sambil menikmati juadah sederhana di hari raya.

Raya di Jeddah

Selepas solat Asar, aku bersama pelajar-pelajar Universiti Madinah yang lain bertolak ke Jeddah. Malam ini ada sambutan hari raya di rumah Konsul Jeneral Malaysia (Konjen) bersama rakyat Malaysia yang ada di sini. Ini juga pengalaman pertama aku merasai suasana sambutan hari raya di luar negeri. Sebelum ini hanya dengar khabar, tengok tv dan baca akhbar. Tapi, tahun ini aku sendiri yang akan memberikan khabar.

24102006376.jpg

Suasana sambutan hari raya di rumah Konjen begitu meriah. Aku dapat bertemu dengan lebih ramai rakyat Malaysia. Kebanyakkan mereka tinggal di Saudi atas urusan kerja. Lebih istimewa kerana turut hadir dalam majlis ini ialah bekas Pemaisuri Agong, Tuanku Aisyah..

24102006384.jpg

Bergambar bersama bekas Pemaisuri Agong, Tuanku Aisyah… 

Lebih kurang pukul 10 malam, Syadi dan keluarganya (family dari Palestin yang pernah aku ceritakan sebelum ini) datang ke rumah Konjen. Hajat mereka untuk membawa aku dan Syahir menziarahi rumah Pakcik mereka ingin ditunaikan juga malam ini. Kebetulan kami dah ada di Jeddah. Jadi, kami pun bersetuju. Sekali lagi kami diraikan bagaikan telah lama berkenalan dan mereka menganggap kami seperti anak mereka sendiri. Semoga Allah membelas mereka dengan kebaikan.

image125.jpg

Selepas menikmati panorama malam badar Jeddah dan ‘meratah” ayam al-Baik (lebih sedap dari KFC), kami dihantar pulang semula ke rumah Konjen. Kami bermalam disitu bersama-sama dengan pelajar-pelajar  Madinah yang lain.

2 Syawal

Hari kedua Aidilfitri. Pagi-pagi lagi kami dijamu sarapan oleh Konjen. Selepas bersiap-siap, lebih kurang pukul 11 pagi kami semua bertolak pula ke rumah terbuka Konsul Pendidikan Malaysia (Konpen), Ust. Radhi. Ust. Radhi memang terkenal dengan sifatnya yang begitu “masuk” dengan pelajar-pelajar Malaysia di sini. Sikapnya membuatkan hubungan dengan pelajar begitu mesra sekali. Aku yang baru mengenalinya pun, turut akui hakikat ini. Selepas solat Zohor, aku. Syahir dan Man bertolak pulang ke Mekah semula.

24102006382.jpg

Pelajar2 Uni.Islam Madinah bergambar bersama Konjen (baju putih) dan Konpen (baju biru)..

Malamnya pula, aku dan kawan-kawan Rabitah lain dijemput pula ke rumah terbuka Abd Rahman, pelajar Uni.Umm al-Qura. Abd Rahman telah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Jadi, dia menyewa sebuah rumah di Mekah. Beruntung anak dia. Kecil-kecil lagi dah berpeluang menjejaki tanah suci, minum zam-zam, lihat ka’bah dan bersama-sama ramai para ulamak dan solihin.

3 Syawal

Hari ini, Shahir, Helmi dan Man akan terbang pulang ke Malaysia. Termasuk juga mak dan ayah Syahir.  Sedih juga aku untuk berpisah dengan mereka. Walaupun sekejap kami bersama di Mekkah ini, tetapi banyak pengalaman pahit manis yang kami lalui bersama. Semoga pertemuan dan perpisahan kami ini adalah kerana Allah. Selepas menghantar mereka pulang ke Airport Jeddah, aku pulang ke rumah PPM (rumah persatuan Pelajar Mekah) di Aziziyah.

Selepas solat Zohor, aku, Mohamad dan beberapa pelajar Umm al-Qura (Khairudin, Ayob, Ridhuan) pergi semula ke Jeddah, untuk sambutan hari raya sekali lagi di rumah Konpen, Ust Radhi. Kali ini untuk pelajar-pelajar Mekah pula. Pada malamnya pula kami bersama Ust Radhi pergi ke ‘open house’ En.Zailizam (Konsul Pelancongan Malaysia). Kemudian ke majlis “open house” Dato’ Ghazali. Begini rupanya suasana sambutan hari raya di luar negeri.

Kami bermalam di rumah Ust.Radhi bersama dengan seorang lagi pelajar Madinah (Muien)

4 Syawal- Raya di Madinah

Kesempatan cuti raya masih lagi berbaki.

Jadi, hari raya keempat ini aku mengambil keputusan untuk ikut Muin pulang ke Madinah. Nak merasai pula suasana sambutan hari raya pelajar-pelajar Malaysia di Madinah. Kami menaiki sebuah kereta sewa.

 Dalam perjalanan, kami terjumpa dengan satu kemalangan ngeri. Melihat keadaannya ia seolah-olah baru saja terjadi.  Kami segera berhenti dan terus melintas jalan menghampiri kawasan kemalangan. Sebuah kereta GMC terbalik. Kelihatan mayat bergelimpangan. Aku ternampak serpihan otak dan tempurung kepala bertaburan di atas jalan.   Ada seorang yang masih hidup sedang cuba untuk dikeluarkan dari kereta. Kami pun turut membantu untuk mengeluarkan seorang mangsa yang masih lagi hidup.

 Belum pernah aku lihat di depan mata sendiri kemalangan yang sengeri ini. Dalam kiraan aku, ada 8 orang yang mati. Ada orang dewasa, tua dan kanak-kanak. Ada tercampak begitu jauh sehingga ke bawah jalan. Ada yang kepalanya pecah dan berkecai otaknya. Seorang yang terselemat ini pula, tidak dapat mengawal perasaannya apabila menyedari yang kesemua ahli keuarganya meninggal. Lalu dia ditenteramkan oleh orang ramai.

Ya Allah, selamatkan kami semua dari musibah yang sebegini.

Selepas semua urusan agak reda, kami pun meneruskan perjalanan. Kali ini driver yang membawa kami agak lebih berhati-hati memandu. Sampai di Madinah lebih kurang pukul 4 petang. Terus kami dijemput oleh Fawwaz (salah seorang pelajar Madinah). Kami terus dibawa ke PPM Madinah.

Kebetulan malam ini ada majlis sambutan Aidil Fitri di sana. Aku diraikan sebagai salah seorang tetamu dan diberikan peluang untuk mengucapkan sepatah dua kata sebagai mewakili pelajar-pelajar Mekah.

6 syawal

Selepas 2 hari berada di Madinah, hari ini aku pun bertolak pulang ke Mekah. Pengajian akan bermula esok. Jadi, aku harus pulang awal untuk buat beberapa persediaan

7 syawal

Pengajian bermula semula seperti biasa.

One thought on “Diari 9.9.06 (Episod 10)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *