Bye…bye…Ramadhan!

DI MANA KESAN DIDIKAN RAMADHAN?

Oleh:

Abd al-Razzaq A.Muthalib Ahmad

“Ramadhan….

Kedatanganmu dinanti oleh insan yang mengerti,

Pemergianmu dirindui oleh mereka yang merasai,

Kau sediakan peluang yang sama, tapi natijahnya berbeza,

Hadirlah dikau bersama rahmah dan maghfirah,

Moga kami dapat merasai nikmat al-Jannah”

(23/9/06, 12.41am, Mekah al-mukarramah)

Ramadhan menjelma lagi. Bagi insan yang telah mengecapi dan merasai nikmat Ramadhan ini, kedatangannya adalah suatu yang amat dinanti. Ramadhan adalah sebuah madrasah yang memberikan tarbiyah untuk manusia meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Hakikatnya, Ramadhan bukan hanya sekali ini saja, tetapi ianya telah muncul silih berganti saban tahun. Bagaimana peredaran malam dan siang, bulan dan matahari, begitulah silih bergantinya bulan-bulan ini. Apabila Ramadhan datang setiap tahun, maka kita juga akan berpuasa setiap tahun. Berpuasa bukanlah sekadar acara rutin tahunan sepertimana kita menyambut hari kemerdekaan. Tetapi ianya merupakan suatu ibadah yang wajib ditunaikan dengan penuh penghayatan dan sepatutnya menatijahkan suatu kesan yang kekal sepanjang zaman.

Ramadhan juga sudah pasti akan melabuhkan tirainya nanti. Namun begitu, ia tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja. Ini kerana Ramadhan telah mengajar kita pelbagai erti tentang hakikat insan dan kehidupan. Pemergiannya diganti dengan kehadiran Syawal yang melambangkan kegembiraan dan satu kemenangan. Kehadiran Syawal juga menandakan berakhirnya satu proses pertarbiyahan di madrasah Ramadhan.

Apa pula selepas Ramadhan? Bagaimana pula amalan kita di bulan Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah, Muharam, Safar dan bulan-bulan yang lain? Bagaimana juga akhlak kita di bulan-bulan yang lain? Apakah kesannya setelah sebulan kita mendapat latihan pada bulan Ramadhan? Adakah semuanya terhenti apabila tibanya 1 Syawal? Justeru, di depan kita adalah beberapa persoalan yang tidak cukup jika hanya dijawab dengan lisan tanpa dibuktikan dengan tindakan.

Solat berjemaah & imarahkan masjid

Kalau di bulan Ramadhan, kita dapat lihat fenomena kebanjiran manusia di kebanyakan masjid-masjid. Masing-masing dengan penuh semangat berpusu-pusu menuju ke masjid kerana tidak mahu melepaskan peluang solat terawih berjemaah. Kadang-kadang terdapat juga sesetengah masjid dan surau yang terpaksa mendirikan khemah sementara diluar masjid bagi manampung jumlah para jamaah yang begitu ramai. Terlintas juga di benak fikiran Pengerusi Jawatankuasa Masjid dan AJKnya bahawa masjid kita ini perlu diperbesarkan sebab ramai sangat penduduk kariah yang datang. Tempat letak kenderaan juga tidak cukup sampai ada yang terpaksa meletakkan kenderaan masing-masing jauh di bahu-bahu jalan raya. Kadangkala sampai berlaku gangguan lalu lintas. Cukup indah suasana pada malam-malam Ramadhan ini. Si suami mengajak isteri sambil memimpin anak-anak untuk sama-sama ke masjid bagi menunaikan solat sunat terawih. Tidak kurang juga yang menumpangkan kenderaannya yang besar kepada jiran-jirannya. Sampai di masjid atau surau, masing-masing mengambil kesempatan untuk bersalam-salaman sesama muslim sambil bertanya khabar. Malah ramai juga yang mendapat kenalan baru pada malam-malam Ramadhan ini. Yang lebih lucunya, ada yang baru tahu rupanya mereka tingal di satu taman, satu flet atau kawasan perumahan yang sama. Alangkah harmoninya suasana ini. Tua, muda, miskin dan kaya masing-masing berhimpun di rumah Ilahi dengan satu tujuan yang sama dan niat suci di hati.

Persoalannya, kenapa keadaan ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan? Kenapa pada hari-hari lain -kecuali hari Jumaat- dan malam-malam lain fenomena ini tidak dapat dilihat. Malah sesetengah masjid ibarat hidup segan mati tak mahu dek kerana tidak dihidupkan dengan solat jemaah atau terlalu sikit jumlah penduduk yang mengunjunginya. Ada juga masjid-masjid yang dikunci pada siang harinya kecuali hari Jumaat kerana tidak hidupnya amalan solat jemaah Zohor dan Asar di situ. Program-program kuliah pula hanya didengari oleh beberapa orang sahaja yang setia dengan masjid. Itu pun mereka yang telah berumur dan kadang-kadang kurang pendengaran dan penglihatannya. Tiada lagi aktiviti yang boleh mereka lakukan, kecuali menghabiskan saki baki umur tua sambil menanti janji Ilahi yang pasti akan ditemui nanti.

Apakah kita hanya dituntut untuk berjemaah semasa solat terawih sahaja? Bagaimana dengan solat-solat fardhu yang lain? Kalau kita boleh luangkan masa dan berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk pergi ke masjid bagi menunaikan solat SUNAT terawih, kenapa hal sedemikian tidak kita lakukan untuk solat-solat FARDHU yang lain pada bulan-bulan yang lain? Apakah Allah swt hanya akan memberi ganjaran pahala untuk mereka yang berjemaah di masjid pada bulan Ramadhan sahaja? Apakah masjid dibina hanya untuk solat terawih pada bulan Ramadhan sahaja? Kalau kita merasa rugi jika terlepas solat terawih kerana fadhilatnya yang banyak, kenapa kita tidak merasa rugi apabila kita tidak solat fardhu yang lain secara berjemaah? Kalau kita begitu mengambil berat dan memberi perhatian kepada amalan sunat ini, sepatutnya perhatian yang lebih lagi patut diberikan kepada amalan yang fardhu. Tidakkah kita pernah mendengar saranan dan pesanan yang diberikan oleh Allah dan juga rasul-Nya tentang kelebihan-kelebihan mereka yang memakmurkan masjid dan solat berjemaah? Cuba renung beberapa pernyataan ini:

Firman Allah swt bermaksud: ((Hanyasanya mereka yang memakmurkan masjid-masjid Allah adalah dari kalangan mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka tidak takut melainkan kepada Allah, maka mudah-mudahan mereka itulah yang akan tergolong dari kalangan mereka yang mendapat petunjuk)). (Al-Taubah: 18)

Justeru, ayuhlah wahai umat Islam sekelian! Mari kita imarahkan rumah-rumah Allah pada setiap masa. Ikatlah hati-hati kita dengan masjid mudahan kita akan mendapat naungan Allah pada hari akhirat yang tiada lagi naungan kecuali naungan Ilahi. Hidupkan kembali masjid dengan solat-solat fardhu berjemaah. Kembalikan semula fungsi dan peranan institusi masjid seperti yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabat pada era kegemilangan mereka. Ajak dan ajarlah ahli keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga kita untuk mencintai dan merindui rumah-rumah Allah dengan memakmurkannya. Jadikan suasana pada malam-malam Ramadhan berlaku juga pada malam-malam yang lain.

Solat fardhu dan sunat

Kita juga dapat melihat kebanyakkan umat Islam mampu dan bersungguh-sungguh menunaikan solat sunat terawih dan witir samada 11 rakaat atau 23 rakaat. Waduh! Walaupun terasa sedikit keletihan, namun digagahkan juga diri, dipujuk juga hati supaya tetap meneruskan solat sunat terawih ini semata-mata mahu merebut pahala sunat yang dijanjikan. Ada juga yang sengaja mencari masjid-masjid yang imamnya membaca satu malam satu juzuk. Walaupun lama, tetapi kepuasan hatinya yang lebih diutama. Sembahyang sunat terawih dan witir ini yang sebanyak 11 atau 23 rakaat ini bukan dilakukan satu dua malam sahaja, tetapi selama sebulan. Kuat sungguh umat Islam kita mengejar pahala sunat. Rupa-rupanya masing-masing berkemampuan untuk mendirikan solat sunat.

Persoalannya, apakah amalan solat sunat hanya dituntut pada bulan Ramadhan sahaja. Apabila berakhirnya Ramadhan, terus kita menjadi lemah dan tidak mampu walaupun untuk menunaikan solat sunat rawatib yang hanya dua rakaat. Kenapa begitu? Kalau solat sunat yang sebanyak 11 atau 23 rakaat itu kita mampu lakukan, kenapa yang hanya 2 rakaat ini kita abaikan. Ya, memang ianya hanya sunat. Tetapi tidak merasa rugikah kita jika kita tidak merebut pahala sunat ini sepertimana kita merasa rugi apabila kita terlepas solat terawih. Atau adakah kita hanya mendengar kelebihan solat sunat terawih sahaja, dan tidak pula pernah diberitahu tentang kelebihan solat sunat rawatib yang lain. Nah! Renungilah wahai insan mukmin, satu daripada  fadhilat solat sunat yang akan disebutkan ini dengan harapan kita juga akan terus bersemangat untuk merebut ganjarannya:

Daripada ‘Aisyah ra, Nabi saw bersabda bermaksud: ((Dua rakaat sebelum fajar (solat sunat sebelum Subuh) adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya)). (Riwayat Muslim).

Lebih malang dan menyedihkan lagi, apabila ada juga yang begitu bersungguh-sungguh menunaikan solat terawih pada bulan Ramadhan, tetapi mengabaikan solat fardhu yang lain. Yang sunat dilakukan, yang wajib ditinggalkan. Ada yang berpuasa, tetapi tidak sembahyang. Kenapa mereka berpuasa? Kalau jawapannya kerana puasa itu salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan, apakah mereka lupa solat juga merupakan salah satu daripada rukun Islam, malah merupakan tiang asas agama yang menjadi garis pemisah di antara keimanan dan kekufuran. Ini belum lagi kita persoalkan, kenapa mereka  berpuasa, tetapi aurat masih dibuka. Kita dapat lihat anak-anak gadis yang berseluar ketat, berbaju singkat nampak pusat, kadang-kadang berambut coklat,  juga turut sama menunaikan kewajipan rukun Islam yang ketiga ini. Malah merekalah di antara golongan yang membanjiri bazar-bazar Ramadhan dan sibuk membeli juadah untuk berbuka puasa. Tidak kurang juga yang keluar berpegangan tangan dengan teman lelaki masing-masing, menuju ke restoran-restoran mewah atau gerai di jalanan dengan tujuan untuk berbuka puasa bersama-sama setelah sehari suntuk menunaikan ibadah puasa yang merupakan kefardhuan agama. Bagi mereka yang meninggalkan solat, membuka aurat dan bercampur lelaki perempuan melebihi had, apakah mereka tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan maksiat dalam mereka beribadat? Kalau mereka berpuasa kerana ia wajib, maka ketahuilah sesungguhnya solat juga wajib, menutup aurat juga wajib.

Membaca al-Quran

Semasa di musim Ramadhan, akan wujud juga satu suasana yang amat baik dan mesti diteruskan iaitu amalan membaca al-Quran. Kedengaran di masjid-masjid, surau-surau malah di pejabat-pejabat gema suara-suara umat Islam mengalunkan Kalamullah. Tidak kurang juga yang turut serta dalam program tadarus al-Quran yang dianjurkan oleh masjid-masjid. Ada juga yang secara individu bersungguh-sungguh untuk menghabiskan 30 juzuk al-Quran dalam bulan Ramadhan. Kalau sebelum ini, apabila waktu rehat masing-masing akan menyerbu kantin-kantin atau restoran-restoran untuk makan sekejap dan berborak-borak begitu lama. Tetapi Ramadhan telah mengubah suasana ini. Ramai yang membuat pilihan untuk terus ke masjid atau surau-surau dan diisi waktu ini dengan membaca al-Quran. Sesetengahnya pula, kesempatan bulan Ramadhan inilah digunakan untuk membuka semula al-Quran yang telah ditutupnya sekian lama semenjak khatam al-Quran dahulu. Ada pula yang merangkak-rangkak dan tergagap-gagap membaca al-Quran akibat tidak membacanya terlalu lama. Kadangkala apabila tibanya Ramadhan masing-masing akan membuka almari dan rak-rak mencari  semula  al-Quran yang pernah disimpan dahulu pada Ramadhan tahun lepas. Ada al-Quran yang telah “dibaca” oleh lipas dan anai-anai disebabkan manusia hanya asyik menyimpannya sahaja tanpa dibaca. Ada yang telah diselimuti oleh debu-debu. Mungkin inilah yang dikata “suci dalam debu”.

Persoalan seterusnya, kenapa suasana ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan? Adakah al-Quran ini diturunkan hanya untuk dibaca pada bulan Ramadhan? Apakah fadhilat membaca al-Quran terdapat pada bulan Ramadhan sahaja? Kenapa di bulan Ramadhan kita boleh mencari masa untuk membaca al-Quran? Apakah perjuangan Rasulullah saw, para sahabat dan generasi yang selepas mereka yang begitu bertungkus lumus untuk menegakkan al-Quran, disambut oleh genarasi kita hanya dengan membacanya pada bulan Ramadhan? Apakah kita telah memahami atau cuba untuk untuk memahami segala isi kandungan al-Quran untuk diamalkan di dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah sekeliannya? Tepuklah dada, tanyalah hati yang dipandu oleh iman dan wahyu Ilahi.

Oleh itu, marilah wahai umat Muhammad! Generasi penyambung perjuangan Rasulullah saw dan para salaf al-salih. Ayuh! Dengan daya upaya dan segala kudrat yang ada, kita tegakkan tuntutan al-Quran dan jadikannya bacaan rutin kita seharian. Usah biarkan al-Quran terus tersimpan di dalam almari atau rak-rak samada di masjid-masjid atau di rumah. Mana-mana rumah yang masih belum ada Al-Quran dan terjemahannya, dapatkannya sekarang juga. Bagi mereka yang masih belum lancar al-Quran, jangan malu dan segan untuk terus belajar dan belajar, lagi dan lagi. Marilah kita membaca al-Quran dengan cuba untuk memahami isi kandungannya. Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dipertandingkan, tetapi sebagai kitab hidayah untuk memandu kita hidup di dunia ini supaya kita mengetahui yang mana satu jalan yang betul dan jalan yang sesat. Untuk renungan, perhatilah dengan mata hati ganjaran yang dijanjikan untuk mereka yang sering membaca al-Quran:

Daripada Abu Umamah ra  berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud: ((Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat sebagai syafaat kepada tuannya)). (Riwayat Muslim)

Nasib fakir miskin  dan anak yatim

Bulan Ramadhan juga bulan rahmat dan bulan melimpah ruahnya rezeki bagi sesetengah golongan seperti anak-anak yatim dan fakir miskin. Alhamdulillah, para korporat, usahawan, syarikat-syarikat, menteri-menteri, wakil rakyat, pengusaha hotel dan restoran masing-masing berebut untuk melakukan kebaikan untuk menjamu orang berbuka puasa. Lalu dijemputlah semua anak-anak yatim yang menghuni asrama anak yatim. Kadang-kadang ada asrama anak yatim yang mendapat dua tiga jemputan pada hari yang sama. Begitu juga dengan nasib golongan fakir miskin. Ramai yang menghantar juadah untuk berbuka puasa kepada mereka yang kadang-kadang lebih daripada cukup sehingga berlakunya pembaziran. Betapa gembiranya hati-hati anak-anak yatim dan fakir miskin tatkala tibanya Ramadhan begini. Mereka tidak lagi menangis kesunyian  akibat tiada siapa yang pedulikan mereka sebelum ini. Mereka tidak lagi mengikat perut menahan kelaparan akibat tidak cukupnya makanan sebelum ini. Terpancar sinar keceriaan dan kesyukuran dari wajah-wajah mereka kerana masih ada lagi sekelumit ingatan kepada mereka di dalam hati masyarakat lain yang kaya raya, bersenang-lenang dan bermewah-mewahan.

Tetapi malang sekali bagi sesetengah mereka. Kegembiraan yang diharapkan berpanjangan ini rupa-rupanya pergi lenyap dengan perginya Ramadhan. Diharapkan panas hingga ke petang, tetapi hujan di tengah hari hingga ke malam. Di susuli pula dengan ribut petir dan angin kencang. Mereka kembali dilupakan dan tidak dipedulikan.

Jika mereka masih diberi perhatian, kenapa masih ada yang hanya makan nasi sehari sekali, berlaukkan pucuk kayu, berkuahkan air garam. Lebih menyedihkan, pernah disiarkan bahawa ada mereka yang terpaksa menjadikan siput babi sebagai sesuap makanan bagi meneruskan hidup di dalam sebuah negara maju dan makmur ini. Walau apa pun yang dihadapi, mereka mengerti bahawa hidup ini  tetap perlu diteruskan walau pun masa depan tidak menjanjikan kesenangan dan kebahagiaan. Ada juga yang terpaksa memberhentikan persekolahan anak-anak kerana tidak mampu lagi untuk menanggung kos persekolahan. Lalu umur muda anak-anak yang sepatutnya sibuk dengan tugas menuntut ilmu tergadai begitu sahaja. Mereka pula terpaksa bekerja bagi membantu menambahkan pendapatan keluarga. Ada pula yang menderita menanggung kesakitan akibat tidak mampu untuk menampung kos perubatan yang mahal. Kadang-kadang si suami yang selama ini tempat isteri dan anak-anak bergantung harap, jatuh sakit yang menghalangnya dari terus bekerja mencari rezeki. Si isteri pulalah dengan kudrat yang ada terpaksa menggantikan tugas suami mencari rezeki untuk menyara kehidupan suami dan anak-anak.

Ini hanyalah sebahagian daripada warna-warni kehidupan manusia yang penuh dengan duka derita di atas pentas dunia yang penuh dengan sandiwara. Sedar atau pun tidak, semua ini wujud di dalam masyarakat yang ada anggotanya hidup dengan penuh senang lenang dan kaya raya. Hidup seharian hanya difikirkan bagaimana lagi untuk menambahkan harta kekayaan yang sudah sekian banyak. Makannya tidak layak lagi di warung-warung kecil, tetapi di hotel-hotel atau restoran yang mewah. Pakainya tidak layak lagi baju-baju yang dijual di pasar malam, tetapi mesti yang berjenama hebat-hebat dan mahal. Malah ada yang sanggup pergi ke luar negara semata-mata untuk membeli belah dan salon rambut. Kenderaan pula yang mahal-mahal dan tidak cukup sebuah. Malah ada yang memiliki kenderaan berbelas-belas dan berpuluh-puluh buah. Kediamannya pula dipenuhi dengan segala perabot dan perhiasan import dari luar negara. Ini belum dikira lagi yang sanggup menipu, menindas orang lain  dan mengamalkan rasuah demi mengaut kekayaan dunia yang sementara. Kesannya, jadilah yang kaya terus kaya, dan yang miskin terus miskin.

Terfikir pula kita ke mana perginya duit zakat? Bukankah berpuluh-puluh juta duit zakat telah dapat dikutip. Bukankah juga fakir miskin merupakan salah satu golongan yang berhak menerima zakat? Kalaulah jumlah pungutan zakat berpuluh-puluh juta seperti yang dilaporkan, apakah ia masih tidak cukup untuk membantu fakir miskin, yang sakit dan para pelajar bagi meringankan beban mereka? Di mana fungsi dan peranan pusat pungutan zakat? Walaupun namanya “pusat pungutan zakat”, ia bukan sekadar tahu untuk “pungut” sahaja, tetapi mesti tahu juga untuk diagihkan. Apalah yang hendak dibanggakan sangat dengan pencapaian berjaya meningkatkan hasil kutipan zakat dari tahun ke tahun, tetapi ia tidak diuruskan sebaik mungkin. Oleh itu, inilah peringatan untuk semua pihak yang terlibat dalam menguruskan harta zakat ini: Takutlah kamu kepada Allah dalam menguruskan harta zakat kerana ia adalah amanah dari umat Islam!

Justeru, wahai para usahawan, ahli korporat, jutawawan, wakil rakyat dan mereka yang kaya raya! Marilah kita mengambil ruh Ramadhan yang mengajar kita erti kasih sayang, merasai kesusahan, mengambil peduli sesama insan dan berkongsi kesenangan, untuk kita teruskan semangat ini pada bulan-bulan yang lain juga. Cuba lihat di sekeliling. Tatkala kita bersenang lenang, perut sentiasa kenyang, bergurau senda bersama insan yang disayang masih ada insan-insan yang pipinya senantiasa dibasahi air mata kesedihan dan penderitaan dek kemiskinan dan ujian yang dihadapi mereka. Bukankah mereka juga sebahagian dari kita? Apakah tidak boleh harta kekayaan yang Allah kurniakan, untuk mereka juga turut merasainya. Ke mana segala khazanah kekayaan itu akan membawa kita? Adakah jaminan untuk kita ke syurga? Kepada para hartawan dan jutawan yang telah mendahului orang lain dalam melakukan amal kebajikan ini, kita doakan semoga Allah murahkan lagi rezeki mereka. Kita berdoa dan berharap semoga semakin ramai lagi “Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari” yang akan muncul nanti. Kewujudan yang dirasai, kekayaan yang boleh dikongsi.

Inilah yang dikatakan tarbiyyah Ramadhan. Ia bukan sekadar hanya tidak makan dan tidak minum di siang hari, tetapi lebih daripada itu. Ramadhan hanya datang sekali dalam setahun. Namun biarlah kita jadikan kesan didikan Ramadhan ini berkekalan di sepanjang tahun. Sebagaimana matlamat yang ingin dicapai ialah taqwa, maka mereka yang telah menjalani ibadah puasa ini seharusnya bersifat dengan sifat orang-orang yang bertaqwa. Marilah kita doakan semoga Allah Azza wa Jalla menerima ibadah puasa yang telah kita lakukan dan semoga kita diizinkan lagi untuk bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Amin!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *