Terkenang Ramadhan di Dua Tanah Suci

Rasanya belum terlambat lagi untuk saya ucapkan kepada semua pengunjung blog ini: Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri. Semoga ibadah Ramadhan kita semua diterima.

“Ingin sekali diri untuk redhakan hati semua manusia,

tapi…apakan daya, daku juga insan biasa,

adakala tersilap, adakala terleka,

kadang-kadang ada bicara mengguris rasa,

ada tindakan mengundang kecewa,

ada fikiran tersalah sangka…

dikesempatan yang mulia ini,

doa dipohon ke hadrat Ilahi,

maaf dipinta dari insani,

moga kita tetap bersatu hati…

Lebaran Syawal dirai…bukan beerti tarbiyah Ramadhan dilupai,

Salam Aidilfitri untuk semua yang dikenali,

Semoga amalan diterima Ilahi…

(telok wang, 1 syawal 1429, 1.30 pg)

Semasa membuat persiapan untuk menyambut Idul Fitri di kampung sehari sebelum hari raya, saya terkenang kembali hari-hari terakhir Ramadhan ketika di bumi Haramain…Mungkin sedikit paparan beberapa kisah berikut dapat memberikan sesuatu untuk anda semua. Ikuti kisah ini dalam siri Diari 9.9.06 (Episod 8)….

Kenangan hari-hari terakhir Ramadhan di bumi Haramain

 

Sempena ketibaan 10 terakhir Ramadhan, institut tempat aku belajar mengishtiharkan cuti. Ini bagi memberi peluang kepada para pelajar dan pensyarah mengisi hari-hari yang penuh berakah ini dengan sebaik mungkin. Aku rasa sekolah-sekolah dan universiti lain di sini juga turut sama cuti.

Inilah kali pertama aku dapat merasai dan mengalami suasana 10 terakhir Ramadhan di bumi bertuah, tempat terletaknya dua tanah suci dan dua masjid al-haram; Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid al-Nabawi di Madinah. Pelbagai peristiwa menarik berlaku. Pelbagai pengalaman baru yang aku alami. Pelbagai perasaan yang turut dirasai. Mengimbau kembali semua kenangan terindah ini, membuatkan hati kecil aku sentiasa berdoa semoga ianya bakal berulang lagi di masa-sama akan datang..Ya Allah, janganlah Engkau haramkan kami dari menjadi tetamuMu di bumi al-Haramain…Ya Allah..semoga ini bukanlah peluang terakhir yang Engkau berikan kepada daku…

Dalam catatan kembara kali ini, aku hanya akan kongsi beberapa sahaja peristiwa menarik yang aku alami. Yang lain, biarlah ia menjadi simpanan kenangan dalam lipatan sejarah hidupku..Moga-moga apa yang dikongsi ini, kemungkinan ada disebaliknya secebis pengalaman yang menjadi sumber inspirasi dan contoh teladan buat para pembaca.

24/9/06: Menyambut kedatangan sahabat-sahabat dari Malaysia

Rasanya ada baiknya aku catatkan juga perkara ini. Kebetulan ada 3 orang sahabat dari Malaysia yang datang untuk menunaikan umrah sempena Ramadhan kali ini. Jadi sebagai “penduduk Mekah” aku bertanggungjawab untuk menyambut dan meraikan mereka sebagai tetamu al-Rahman. Antara mereka ialah Shahir dan dua orang sahabatnya yang lain; Man dan Helmi. Jadi, kebanyakan waktu 10 terakhir Ramadhan berikut ini aku lalui bersama-sama Shahir dan sahabat-sahabat yang lain.

image996.jpg

Dari kiri: Penulis, Helmi, Syahir dan Man

Setelah aku mendapat makluman yang mereka telah sampai di Airport Jeddah, aku dimaklumkan oleh Khairi (sahabat di Madinah) yang kebetulan ketika itu ada seorang sahabat lagi, Ridwan, pelajar Malaysia di Universiti Umm al-Qura yang sedang berada di bandar Jeddah. Jadi, dialah yang telah membawa Shahir dan sahabat-sahabat lain untuk masuk ke Mekah.

Selesai solat terawih, seperti yang dijanjikan, aku segera menuju ke restoran Pizza Hut yang terletak di bawah Hotel Dar al-Tauhid (sebuah hotel mewah yang terletak dekat berhadapan dengan Masjid al-Haram). Di sinilah tempat pertemuan kami. Dari jauh lagi, kelihatan 3 orang sahabat ini telah sedia menunggu. Masing-masing dalam keletihan musafir. Tanpa bicara panjang, selepas bersalam-salaman dan berpelukan kegembiraan aku terus membawa mereka untuk berehat di sebuah bilik. Tidak sangka, perkenalan singkat aku dengan Shahir di Malaysia, membawa kami untuk bertemu pula di tanah suci ini. Kedatangan mereka ini aku sambut dengan sedikit jamuan yang tidak seberapa. Harap-harap nasi beriani dan ayam panggang yang disediakan dapat memenuhi selera hati. Kemudian, mereka terus berehat dan kami pun melabuhkan tirai untuk hari ini dalam keadaan tidak pasti, apakah takdir Ilahi kepada kami untuk hari-hari yang bakal menjelang nanti.

29/9/06: Jamuan makan malam bersama Tan Sri Hashim Meon.

Ada satu watak yang sangat penting peranannya yang tidak mungkin untuk aku padamkan namanya dalam catatan kembaraku ini. Kalau anda perasan, watak ini telah aku sebut sepintas lalu dalam siri yang pertama dahulu. Beliau ialah al-Fadhil Ust Ismail Omar, pengasas Sekolah Kiblah yang terletak di Bangi yang juga merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Islam Nusantara (YAKIN). Dialah orang yang menjadi asbab untuk aku hadir dan berada di bumi Mekah sekarang ini. Beliau ialah wakil Malaysia yang telah dilantik oleh pihak Rabitah ‘Alam Islami untuk memilih pelajar-pelajar Malaysia yang akan mengikuti pengajian di sini. Jadi, jasanya dan kesudian beliau untuk memilih aku, hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya dengan segala kebaikan.

Aku dan pelajar-pelajar Malaysia lain di Rabitah, dimaklumkan oleh beliau tentang kehadiran Tan Sri Hashim Meon untuk menunaikan umrah. Tan Sri Hashim merupakan penaung kepada YAKIN. Kami diminta untuk berkhidmat jika ada apa-apa bantuan yang diperlukan oleh Tan Sri Hashim.

Malam ini selepas solat terawih, kami dijemput oleh Tan Sri Hashim Meon, untuk makan malam bersamanya. Sangkaan aku, hanya kami (pelajar Malaysia), Tan Sri dan Puan Sri sahaja yang akan makan bersama-sama. Tetapi turut serta ialah beberapa orang Exco kerajaan Negeri Selangor (tahun 2006) dan beberapa orang lagi orang kenamaan.

Alhamdulillah. Kami dapat berkenalan dengan Tan Sri Hashim, kemudian kami diperkenalkan pula oleh Tan Sri kepada rakan-rakannya yang turut serta tersebut. Terima kasih semua. Semoga nasi mandi yang dihidang menyelerakan.

6/10/06: Penduduk asrama Mina kembali ceria

Kata orang, hidup ini penuh dengan asam garam dan pahit manis yang melazatkan kehidupan dunia ini. Semua ini menjadikan kehidupan ini lebih menarik dan semakin dihargai.

Ada satu peristiwa yang aku ingin kongsi. Peristiwa ini aku anggap sebagai salah satu ujian di bumi barakah ini. Kalau masih teringat, aku telah ceritakan tentang asrama tempat kami tinggal selama 3 bulan awal sessi pengajian. Asrama ini terletak di Mina. Sebenarnya asrama ini khusus dibina untuk kegunaan pada musim haji oleh tetamu-tetamu khas pihak Rabitah. Kami ditempatkan ditingkat paling atas. Senang cerita di atas bumbung. Ya, diatas bumbung..Atas bumbung bangunan asrama ini disediakan beberapa biji kontena yang telah diubah suai menjadi bilik-bilik. Kami difahamkan sebab kenapa kami ditempatkan di sini kerana bilik-bilik di tingkat bawah sedang diselenggarakan untuk kegunaan musim haji nanti.

20061115033.jpg

Inilah asrama kami…Kontena yg telah diubahsuai menjadi bilik..Terletak nun tinggi di atas bumbung

Tinggal di sini sangat mengingatkan aku untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat kesenangan pada masa-masa lain. Ya betul..Kadang-kadang sesuatu anugerah dan nikmat itu tidak kita rasai dan syukuri, kecualilah selepas ianya hilang atau dicabut kembali oleh Ilahi. Seperti yang diketahui, kawasan Mina ini tidak didiami oleh sesiapa pun. Ia hanya digunakan pada musim haji. Jadi, tiada siapa yang tinggal di sini, kecuali kami, pelajar-pelajar Rabitah. Setiap hari kami perlu melalui terowong Raja Khalid sepanjang lebih kurang 4-5 km untuk sampai ke asrama. Kadang-kadang kami naik teksi, jika ada pemandu teksi yang sanggup naik ke sini.Kadang-kadang kami hanya berjalan kaki. Naik teksi dari Masjid a-Haram, turun di pekan ‘Aziziyah, kemudian berjalan melalui terowong tersebut.

16112006096.jpg

Salah satu shoping complex yg ada di Pekan Aziziyah

16112006100.jpg

Inilah Terowong Raja Khalid yang kami terpaksa lalui setiap hari

Mula-mula memang terasa kepenatannya. Tapi, alah bisa tegal biasa. Lama-kelamaan setelah beberapa minggu melalui rutin yang sama, kepenatan dan keperitannya seperti tidak dirasakan lagi. Mungkin juga ini satu pengajaran bagi aku. Mungkin Allah ingin sampaikan: Telah lama engkau hidup dalam kesenangan, nah..alamilah pula sedikit kesusahan…

24112006314.jpg

Antara pelajar-pelajar Malaysia yg lain, dari kanan Amir Ridhuan, Abdul Rahman (Thailand), Sulaiman dan Tirmizi. Kebetulan bilik kami dihujung sekali, jadi kami bina satu tempat utk study, minum teh dan lepak2 diluar bilik.

Sepanjang kami tinggal di asrama, di antara peristiwa yang berlaku ialah krisis keputusan bekalan air. Apa sebabnya? Entahlah…banyak khabar-khabar angin yang aku dengar. Ada yang kata yang ia masalah yang tidak dapat dielakkan. Ada yang kata ianya satu kebetulan. Ada yang kata ianya memang dirancang. Ada pula yang kata ianya kesan daripada mogok dan protes pihak pekerja dengan majikan. Akhirnya, kami yang tidak bersalah dan terlibat ini dijadikan mangsa. Banyak rumus yang aku dengar. Mana satu yang betul aku pun tidak pasti. Yang pastinya, hampir seminggu kami hidup dalam keadaan tiada bekelan air. Jika benarlah puncanya disebabkan mogok yang dilakukan oleh orang bawahan, hasil tidak puas hati dengan pihak atasan, maka satu pengajaran yang boleh kita ambil. Jika kita menjadi majikan atau orang atasan, kena sentiasa pandai mengambil hati dan sentiasa menjaga kebajikan orang bawahan..

20061115037.jpg

Pemandangan sebahagian Kota Mina (tempat wukuf musim haji) dari atas bilik kami

Setelah hampir seminggu penghuni asrama Mina ini berdepan dengan krisis air, hari ini kami semua kembali ceria. Mungkin ini keberkatan Ramadhan. Masalah sekatan bekalan air telah dapat diatasi. Mengimbas kembali keadaan kami 5-6 hari yang lepas, amat menderitakan. Ramai yang pergi ke kelas tidak mandi-termasuk aku-. Ada yang terpaksa tayammum untuk solat. Ada yang terpaksa menggeledah mencari sumber-sumber air rahsia. Ada yang mengangkut tong-tong air, pakaian tidak boleh dibasuh dan yang lebih menderita apabila proses “membuang simpanan dalaman” tidak dapat berjalan dengan sempurna.

17112006181.jpg

Walaupun bilik kecil, kami tetap sediakan satu ruang utk dijadikan ala2 ruang tamu dan tempat makan…Kelihatan pelajar dari Indonesia dan India datang menziarahi kami sambil menonton tv….

Kepada Allah kami mohon dan mengadu segala permintaan. Kepada manusia kami ikhtiar mohon supaya masalah ini diselesaikan dengan segera.

Alhamdulillah, hari ini kami dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan menjalani ibadah Ramadhan dengan lebih sempurna.

11/10/06: Iktikaf 10 terakhir Ramadhan

Hari ini adalah hari ke-19 Ramadhan. Jadi, petang nanti, selepas terbenamnya matahari, akan masuk malam ke-20 Ramadhan. Maka, bermulalah kemuncak pesta ibadah di bulan Ramadhan ini. Bermula dari selepas Asar lagi, aku lihat ramai umat Islam yang telah mula berpusu-pusu masuk ke masjid al-Haram dengan membawa bekalan masing-masing. Iktikaf 10 terakhir Ramadhan akan bermula. Inilah diantara sunnah Rasulullah saw yang sangat-sangat dituntut. Beriktikaf pada 10 terakhir Ramadhan, dengan harapan semoga dapat dipertemukan dengan Lailatul Qadar. Daripada ‘Aisyah ra berkata: ((Nabi saw selalu beri’tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian, isteri-isteri baginda pula beri’tikaf selepas kewafatan baginda)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Jadi, sepatutnya untuk seorang mukmin, semakin hendak berakhirnya Ramadhan, semakin ligat menggandakan amal ibadat, mencari pahala dan meraih berkat. Tapi, suasana sebegini tidak berapa dirasai di Malaysia. Minggu-minggu terakhir Ramadhan inilah umat Islam di Malaysia akan sibuk dengan mengemas rumah, membeli baju raya, membuat kuih muih dan bermacam-macam lagi persiapan untuk hari raya. 10 terakhir Ramadhan ini berlalu begitu sahaja.

Tapi, mungkin bagi sesiapa yang ingin merasai kelainan suasana10 terakhir Ramadhan di Malaysia, mungkin anda boleh cuba untuk datang beriktikaf dan berqiyamullail di Masjid UIA, Gombak (ini antara tempat yang saya tahu dan alami sendiri. Mungkin ada lagi masjid-masjid lain di Malaysia). Rasailah kelazatan beribadah. Lihatlah suasana umat Islam yang betul-betul tidak mahu melepaskan peluang iktikaf 10 terakhir Ramadhan ini. Kalau anda tidak mampu untuk berada di sini selama 10 hari, sekurang-kurangnya jangan terlepas peluang pada malam ke-27…Mungkin, sekali anda cuba, tahun depan nak datang lagi.

Apa pun, suasana “kemeriahan beribadah” pada 10 terakhir Ramadhan di Masjid UIA ini tidaklah sama jika hendak dibandingkan dengan suasana di Masjid al-Haram. Malah, mungkin tidak layak untuk dibuat bandingan. Beribadah di Masjid al-Haram tidak dapat dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Sebab itu, bagi mereka yang berkemampuan dan telah merasai kelazatannya, sanggup menghabiskan beribu-beribu ringgit untuk pergi menunaikan umrah dan menjalani ibadah Ramadhan di Mekah. Semoga kita juga dapat peluang ini lagi.

12/10/06: Sahabat Palestin: Belum pernah berjumpa tapi penuh ceria

Salah seorang dari kenalan Shahir di UIA ialah Abdul Hadi dari Palestin. Kebetulan ayah dan dua orang abangnya datang untuk menunaikan umrah. Hadi minta untuk hubungi keluarganya ini untuk berkenalan. Petang ini, selepas solat asar, kami berjumpa di Bab al-Salam. Selepas berkenalan, aku, Shahir dan Helmi dijemput ke hotel mereka. Kami bersembang panjang. Mereka adalah sebuah keluarga yang ceria dan mesra. Kami tidak berasa terasing. Malam ini, selepas solat terawih, sekali lagi kami dijemput untuk makan malam bersama. Tidak cukup dengan itu, kami diajak juga untuk bersama-sama mereka ke Jeddah. Perancangan asal kami akan bertolak malam ini, tetapi ditangguhkan hingga ke esok hari. Kebetulan kami juga ada perancangan sendiri yang telah ditangguhkan malam tadi. Jadi kami ambil keputusan untuk tidak pergi ke Jeddah, tetapi terus ke Madinah.

image125.jpg

image129.jpg

Namun, apa yang aku kagum ialah bagaimana keluarga ini melayan kami. Mereka menganggap kami seperti keluarga mereka sendiri. Semoga sifat baik keluarga ini dapat dicontohi.

13/10/06: Madinah dalam bayangan, akhirnya menjadi kenyataan

6 am – Pagi ini selepas solat subuh di Masjid al-Haram, aku, Shahir dan 2 orang kawannya mengambil keputusan untuk terus bertolak ke Madinah. Perjalanan dengan kereta GMC yang kami sewa mengambil masa lebih kurang 5 jam.

image963.jpg

Ketika dalam kereta GMC yang kami sewa…

Lebih kurang 11.40 kami sampai di bumi Madinah. Jadi, kami terus menuju ke Masjid al-Nabawi untuk menunaikan solat Jumaat. Kelihatan masjid telah sesak dipenuhi dengan para jemaah sejak dari awal lagi. Kami tidak dapat masuk ke dalam masjid, malah mendekati perkarangan masjid pun agak sukar. Jadi, kami hanya berpeluang solat ditepi-tepi kaki lima berhampiran hotel Hilton bersama ribuan lagi jemaah yang lain. Sayup-sayup aku mendengar khutbah. Walaupun agak tidak jelas, namun aku cuba amati juga apa yang disampaikan oleh khatib, supaya pahala solat jumaat aku lebih sempurna.

Selepas solat Jumaat, aku bertelaku seketika. Tidak tahu ke mana arah dituju. Kalau di Mekah, tidak menjadi masalah. Sedikit selok beloknya telah aku mahir. Tapi, di Madinah ini aku juga adalah tetamu dan masih baru. Cuma, baru beberapa kali sahaja sempat ziarah di sini. Aku tahu, Shahir dan kawan-kawan lain semuanya bergantung kepada keputusan aku. Jika nak dibandingkan dengan mereka, memang aku lebih sedikit pengalaman berada di sini. Tapi, aku tidak tahu untuk hubungi siapa.

Sebenarnya, dalam perjalanan tadi, aku sudah hubungi sahabatku , Khairi. Tapi tiada jawapan. Aku rasa mungkin dia letih atau tidak mahu diganggu. Aku lihat Shahir dan kawan-kawan lain sudah keletihan. Menjalani perjalanan selama 5 jam dari mekah ke Madinah agak memenatkan. Apatah lagi dalam bulan Ramadhan. Kesian mereka. Ada yang sampai hendak menempah hotel. Tapi, maklumlah, Ramadhan ini hotel-hotel semuanya mahal.

Aku teringat seorang lagi sahabat, Najmudin. Aku terus menghubunginya. Kebetulan dia masih lagi berada di masjid al-nabawi. Alhamdulilah, selepas beberapa minit, kami berjumpa di depan Hotel Hilton. Aku ceritakan hal keadaan kami. Lalu, aku dengan dia terus pergi juga mencari kalau-kalau ada hotal yang murah dan masih kosong lagi. Sedang kami mencari, tiba-tiba aku mendapat satu panggilan. Dengar saja suara, ia panggilan yang aku nanti-nantikan. Khairi hubungi aku tetapi menggunakan telefon kawannya. Rupa-rupanya handphone dia kena blok, sebab tu dia tidak boleh balas sms atau call aku. Khairi minta aku tunggu di depan Hilton, dia akan datang jemput. Khairi datang dengan kawannya Arif. Allah Maha Kuasa. Saat hambaNya dalam kesusahan, bantuan dan pertolongan lantas diutuskan. Cuma mungkin secara langsung atau tidak. Samada kita sedar atau pun tidak.

Selepas bertemu, kami terus dibawa pulang oleh Khairi ke Universiti Islam Madinah (UIM).Dia sediakan untuk kami satu bilik untuk berehat. Ibarat orang mengantuk disurung bantal. Berlabuh saja kami di bilik ini, terus hanyut dibuai mimpi. Masing-masing terus tidur menghilangkan kepenatan. Apabila hampir tiba waktu iftar, kami dibawa oleh Khairi ke masjid UIM. Di sini aku bertemu dengan beberapa orang sahabat lagi. Antaranya ialah Husaini, pelajar Master dalam bidang hadis. Salah seorang sahabat yang aku telah kenal sejak dari sekolah menengah lagi.

Selepas Maghrib, kami bertolak ke Masjid Nabawi untuk solat Isya’ dan terawih. Malam ini aku, Shahir dan kawan-kawan bercadang untuk tidur dan beriktikaf di masjid saja. Tapi, Khairi jemput aku untuk makan malam bersama kawan-kawannya yang lain di restoran al-Hana. Undangannya ini tidak wajar untuk aku tolak. Apatah lagi yang jamuan ini diadakan sempena untuk meraikan kedatangan aku dan kawan-kawan lain. Aku seronok kerana bertambah lagi kenalan baruku. Selamat berkenalan Arif, Hafiz dan Fauzee. Lepas makan, dia hantar semula aku ke masjid. Kebetulan, malam ini aku diserang batuk yang agak teruk. Sepanjang dalam kereta aku asyik terbatuk-batuk. Aku rancang untuk terus tunggu sampai Subuh. Tapi, Khairi tidak izinkan kerana dia bimbangkan kesihatan aku. Aku batuk-batuk yang agak teruk juga. Dia juga belikan ubat untuk aku. Aku tidak tahu, apa lagi yang hendak aku lafazkan pada sahabatku ini, selain ucapan terima kasih dan moga dibalas dengan kebaikan.

Jadi, aku dinasihatkan supaya balik bersamanya ke UIM dan berehat di sana terlebih dahulu. Nasihat sahabat ini, aku ikut. Jadi, aku terus pulang ke asrama UIM. Hanya Shahir dan Helmi sahaja yang beriktikaf di masjid Nabawi.

14/10/06: Peluang iktikaf di Masjid Nabawi

Hari ini aku hanya berehat saja di UIM. Shahir dan Helmi tidak balik semalam selepas iktikaf. Mereka masih di Masjid nabawi. Kami berjanji petang ini untuk berjumpa. Aku dan Khairi keluar untuk menjemput mereka di samping buat urusan menempah hotel untuk mama dan baba Khairi yang akan datang menunaikan umrah. Petang ini kami semua sekali lagi iftar di masjid UIM. Seperti biasa, selepas solat Maghrib kami menuju ke Masjid Nabawi untuk solat Isya’ dan berterawih di sana. Dan malam ini, alhamdulillah aku berpeluang untuk tidur dan beriktikaf di sini.

image989.jpg

image980.jpg

Penulis berehat seketika di dalam Masjid Nabawi selepas solat terawih. Apa yang direnungkan?.. Entahlah….

image982.jpg

Sempat lagi minum teh tarik….teringat moreh di Malaysia….

16/10/06 -Ziarah Madinah

Pagi ini selepas solat Subuh, aku, Shahir dan Helmi bersiar-siar di sekitar Masjid Nabawi di samping ziarah perkuburan Baqi’ yang terletak berhampiran masjid. Muien, kawan yang baru saja kami kenali menelefon aku. Dia menawarkan diri untuk membawa kami menziarahi beberapa tempat penting di Madinah. Walaupun, semua tempat-tempat itu pernah aku ziarahi, tetapi sebagai meraikan kedatangan Shahir dan kawan-kawan lain, aku setuju. Kami berjanji untuk berjumpa di masjid.

image996.jpg

Di perkuburan syuhada’ Uhud (sahabat2 Rasulullah saw yang mati syahid dalam peperangan Uhud)

Selepas bertemu, Muein terus menyewa sebuah van untuk membawa kami semua. Antara tempat yang kami ziarah ialah Uhud, perkuburan syuhada’ Uhud, Masjid Qiblatain dan Masjid Quba. Di sepanjang ziarah kami ini, Muien telah menceritakan dan menerangkan beberapa kisah-kisah dan fadhilat menziarahi tempat-tempat tersebut. Terima kasih kepada Muien di atas kesudiannya untuk membawa aku dan kawan-kawan menziarahi sekitar Madinah. Terima kasih juga atas sponser (tambang van).

Malamnya pula aku, Man, Husaini, Shahir dan Muien mmebuat perancangan ad-hoc. Kami plan untuk masak makanan untuk sahur. Semua setuju. Aku dan Husaini ditugaskan untuk membeli barang-barang. Malam ini juga Shahir dan lain-lain pergi solat di masjid Nabawi, manakakala aku dan Husaini pula solat terawih di Masjid Qiblatain. Selesai solat, kami terus pergi ke sebuah pasaraya untuk membeli bahan-bahan memasak. Lebih kurang pukul 12 malam, projek pun bermula. Resipinya ayam masak blackpepper. Ada yang ditugaskan memotong ayam. Ada yang memotong sayur. Ada pula yang mengupas bawang. Ada yang memasak nasi. Lebih menarik, ada juga yang tugasnya membuat rakaman video sebagai kenang-kenangan.

image022.jpg

Muein sedang memulakan proses memasak…

image023.jpg

Giliran penulis untuk menunjukkan bakat memasaknya….

Turut serta dalam projek malam ini ialah Faizal, pelajar Master dalam bidang Aqidah. Dalam kami sedang memasak, banyak cerita dan pengalaman dikongsi bersama. Walaupun aku baru saja kenal dengan Muien dan Faizal, tapi dari kemesraan yang wujud seolah-olah kami sudah lama saling mengenali. Suasana ini memang aku dapat rasakan. Boleh dikatakan aku lebih cepat mesra dan “masuk” dengan sahabat-sahabat palajar Malaysia di Madinah ini, walaupun ada yang baru saja aku kenal. Kenapa? Entahlah….mungkin persamaan dari segi manhaj dan pemahaman salah satu faktornya.

Hampir lebih kurang 2 jam berlalu, projek pun selesai disempurnakan. Selepas siap, kami terus makan sahur. Turut dijemput bersama beberapa orang sahabat lain iaitu Arif dan Fauzee. Terima kasih kepada Husaini, Muien, Faizal, Arif dan Fauzee. Cuma sayang, sahabatku Khairi tidak dapat bersama kerana telah berangkat ke Mekah menyambut kedatangan ibu dan ayahnya.

17/10/06: Umrah Pahala Haji.

Hari ini adalah hari terakhir kami di Madinah. Seperti yang telah dirancang semalam, kami akan bertolak pulang ke Mekah semula petang ini. Lebih kurang pukul 4 petang perjalanan dimulakan. Turut bersama kami ialah Husaini dan Muien. Kami mengambil keputusan untuk pulang awal ke Mekah kerana ingin mengambil kesempatan menunaikan umrah di bulan Ramadhan. Kami tidak mahu melepaskan peluang yang telah dijanjikan oleh Rasulullah saw:

((Apabila datang bulan Ramadhan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala haji)). (Riwayat al-Bukhari, no.1782)

Kami juga tidak mahu terlepas peluang untuk qiyam Ramadhan di Masjid al-Haram Mekah pada malam 27 nanti. Jadi, kami perlu pulang terlebih awal untuk mengelakkan kesesakan. Menurut Husaini, malam ke-27 adalah antara malam-malam yang akan menyaksikan kesesakan yang sangat dahsyat di masjid al-Haram ini.

Kami memilih untuk pulang ke Mekah dengan menaiki bas sahaja. Dalam perjalanan, kami tidak henti-henti melaungkan talbiah. Di samping itu, ada ketikanya beberapa tazkirah dan penerangan disampaikan oleh Husaini kepada kami. Tidak sabarnya rasanya untuk bertawaf kembali di Ka’bah dan solat di Masjid al-Haram. Selepas lebih kurang 5 jam, kami pun sampai di Mekah lebih kurang pukul 12 malam. Sejurus sampai di Mekah, kami terus menuju ke hotel tempat ayah dan emak Shahir menginap. Kebetulan ayah dan emak Shahir juga baru beberapa hari sampai dari Malaysia untuk menunaikan umrah. Jadi, kami menumpang sementara di hotel tersebut untuk makan malam dan menyimpan barang-barang. Selepas berehat seketika, lebih kurang pukul 2 pagi, kami pun mula turun ke Masjid al-Haram untuk memulakan ibadat umrah. Ya Allah…terimalah amal ibadat kami. Catatkanlah ia sebagai salah satu daripada amalan soleh kami.

image027.jpg

Penulis dan Husaini ketika dlm perjalanan dari hotel ke Masjid Haram untuk umrah..

image028.jpg

Syahir sedang bertahalul (cukur rambut), tanda umrah telah selesai…

18/10/06: Lailatul Qadar yang dicari-cari

Malam ini adalah malam ke-27 Ramadhan. Kebanyakkan ulamak memilih malam 27 Ramadhan adalah malam yang berlakunya lailatul Qadar. Inilah antara detik-detik yang ditunggu. Sebab itu aku dapatkan rasakan yang jumlah mereka yang hadir ke masjid al-Haram jauh lebih banyak dari malam-malam lain. Malam ini Masjid al-Haram dibanjiri oleh ratusan ribu manusia. Bermula dari selepas Asar lagi. Keadaan semakin sesak apabila hampir tiba waktu berbuka. Ruang-runag solat ditingkat bawah sejak awal lagi dipenunuhi oleh lautan manusia. Aku, Shahir dan teman-teman lain hanya mendapat tempat ditingkat atas sekali, bumbung Masjid al-Haram.

image938.jpg

Lautan manusia yang berada di luar Masjid al-Haram….

Bermula dari iftar lagi, kami mengambil keputusan untuk terus duduk di sini. Jadi, selepas berbuka dengan beberapa biji tamar dan air zam-zam, kami tidak berganjak. Aku khuatir, jika kami turun untuk makan nasi, kemungkinan kami tidak berpeluang lagi untuk masuk ke Masjid al-Haram. Gerombolan manusia semakin bertambah. Mereka datang berbondong-berbondong memenuhi setiap inci ruang Masjid al-Haram. Semuanya dengan satu harapan. Semoga dapat bertemu dengan malam yang lebih baik dari seribu bulan.

image083.jpg

image085.jpg

Suasana selepas solat Maghrib di bahagian atas bumbung Masjid al-Haram…

Alangkah berbeza suasana ini dengan masjid-masjid di Malaysia. Kalau di Malaysia, kita dapat saksikan masjid-masjid akan dipenuhi oleh umat Islam pada malam-malam terawal Ramadhan. Kadang-kadang ada masjid dan surau yang terpaksa mendirikan khemah tambahan. Semakin hendak berakhirnya Ramadhan, semakin susut juga jumlah kehadiran. Kecuali mereka yang dirahmati oleh Tuhannya.

Malam ini seperti biasa solat terawih diimamkan oleh gandingan dua beregu mantap imam Masjid al-Haram. Sepuluh rakaat pertama diimamkan oleh Syaikh Dr. Saud Muhammad Syuraim. Manakala sepuluh rakaat berikutnya dan witir pula imamkan oleh Syaikh Dr. Abdul Rahman Sudais.

Inilah suasana dan peluang yang aku harap-harapkan dulu. Hari ini ia menjadi kenyataan. Syukur di atas peluang ini. Paling syahdu ialah ketika mengaminkan doa qunut yang dibacakan oleh Syaikh Sudais. Terasa terlalu kerdilnya diri ini. Rintihan doa dan harapan dipanjatkan kehadrat Yang Maha Agung. Terima kasih Tuhan. Engkau berikan juga anugerah ini, walau pun daku sedari yang diri ini telah banyak dikotori oleh noda-noda maksiat dan dosa. Semoga malam ini menjadi detik Engkau ampunkan segala dosa-dosaku

Ya Allah, makbulkan permintaan kami. Amin….

21/10/06: Malam yang penuh debaran

Hari in adalah hari ke-29 Ramadhan. Hari ini jugalah anak bulan Syawal akan dilihat. Adakah hari ini hari terakhir Ramadhan? Aku ternanti-nanti dengan penuh debaran. Perasaan aku bercampur-campur antara sedih dan gembira. Petang ini, yang mungkin hari terakhir Ramadhan, terjadi satu peristiwa yang jarang-jarang berlaku. Tiba-tiba sahaja Mekah yang selama ini panas terik, dihujani hujan lebat. Seluruh penduduk Mekah dan muktamirin (yang datang mengerjakan umrah) rasa gembira. Bumi Mekah dibasahi hujan lebat. Mungkin hujan ini sebagai rahmat penutup Ramadhan untuk tahun ini.

Petang ini, aku dan Syahir dijemput untuk iftar bersama-sama pelajar Madinah yang datang ke Mekah. Antara yang hadir ialah Husaini. Selepas solat maghrib, kami berjalan menuju Masjid al-Haram. Dalam perjalanan, masing-masing saling bertanya, adakah hari ini hari terakhir Ramadhan? Tiada lagi solat terawih? Beberapa minit lagi kami akan ketahui jawapannya.

image058.jpg

Tiba saja di masjid, aku dapati suasana agak berbeza dengan malam-malam sebelum ini. Kenapa terasa masjid al-Haram malam ini begitu sayu? Kemungkinan disebabkan ramai yang bersedih kerana Ramadhan akan mengundurkan diri pada tahun ini bagi memberi peluang kepada Syawal sebagai pengganti. Aku terfikir semula hakikat ini. Kadang-kadang timbul rasa menyesal dan sedih kerana Ramadhan yang telah lama datang berkunjung tidak disambut dan dilayan dengan sebaik mungkin. Tapi apakan daya, inilah fitrah alam di bawah kekuasaanNya. Hari akan berganti hari, minggu akan berganti minggu, bulan akan berganti bulan. Ramadhan tetap akan pergi. Tetapi, ia akan datang lagi, bila tiba saatnya nanti. Cuma, adakah aku masih berkesempatan menemuinya pada tahun hadapan? Ya Allah, panjangkanlah umurku semoga daku dapat bertemu lagi Ramadhan di tahun hadapan.

Selepas solat I’sya, masing-masing ternanti-nanti. Kebiasaan di sini, seperti 1 Ramadhan juga, 1 syawal akan diumumkan dengan tembakan beberapa das meriam. Lama menunggu, bunyi meriam masih tidak kedengaran. Hatiku semakin berdebar-debar. Fikiran masih tertanya-tanya. Tiba-tiba……muazzin melaungkan “as-solatu ‘ala al amwat” (laungan untuk solat jenazah). Masing-masing rasa suspend. Ingatkan laungan untuk solat terawih. Aku pun bangun untuk solat jenazah yang telah menjadi kebiasaan selepas setiap kali solat fardhu, kecuali beberapa kali sahaja. Selepas solat jenazah, ramai yang masih menunggu lagi. Tidak kurang juga ada yang sudah mengambil keputusan untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba….. “as-solatul-qiyam…..” (laungan untuk solat terawih). Alhamdulillah….inilah kalimah yang keluar dari mulut kebanyakan para jemaah. Ramai yang kembali ceria. Rupa-rupanya Ramadhan masih lagi sudi menunggu. Peluang terakhir ini semestinya perlu dipenuhi dengan sebaik mungkin. Terlalu berat hati ini untuk menngucapkan selamat tinggal kepada Ramadhan…Semoga kita bertemu lagi ditahun hadapan.

.22/10/06: Hari terakhir Ramadhan

Hari ini adalah hari terakhir Ramadhan. Terasa begitu cepat masa berlalu. Belum lagi puas rasanya menikmati keberkatan dan rahmat Ramadhan ini. Hari terakhir ini aku tidak sia-siakan. Sepanjang hari aku habiskan waktu aku di Masjid al-Haram saja. Detik-detik yang berlalu terlalu berharga.

Kelihatan keadaan Masjid al-Haram tidak begitu sesak berbanding hari-hari sebelumnya. Mungkin telah ramai yang pulang ke rumah masing-masing untuk persiapan menyambut Aidilfitri. Bagi aku yang hidup diperantauan ini, tidak ada apa yang perlu disiapkan, kecuali hanya membeli sehelai jubah baru untuk dipakai pada pagi raya.

Petang ini, aku, Syahir dan teman-teman lain sekali lagi buat kali terakhir ingin berbuka puasa di Masjid al-Haram. Kami naik ditingkat atas sekali. Hidangan beberapa biji tamar, laban (yugourt) dan air zam-zam telah memadai.

image104.jpg

Menunggu untuk berbuka puasa…

Selesai solat Maghrib dan Isya’, keadaan masjid al-haram menjadi semakin lengang. Ramai para jemaah yang telah bergerak pulang ke rumah masing-masing sambil saling mengucapkan ucapan tahniah dan doa semoga ibadah Ramadhan diterima. Suasana gembira bercampur sedih jelas terpancar diwajah masing-masing. Gembira kerana berjaya menunaikan ibadah puasa dan sekarang hampir tiba saat untuk meraikannya. Sedih kerana Ramadhan telah pergi mengucapkan selamat tinggal..

Tiba-tiba, aku teringat. Masih ada satu lagi kewajipan yang aku perlu selesaikan. Zakat fitrah…Tanpa membuang masa, aku pun terus mengajak Syahir untuk menemani aku pergi membayar zakat. Terdapat beberapa tempat di tepi-tepi jalan yang menjual beras-beras untuk dijadikan zakat. Aku pun terus membeli sekampit beras dan memberinya kepada fakir miskin yang ada di situ. Alhamdulillah….tertunai sudah segala kewajipan.

image107.jpg

Ha..ha…Sempat lagi makan aiskrim sebelum pergi membayar zakat fitrah..

Esok adalah hari raya.. Jadi, Syahir cadangkan untuk kami sediakan sedikit makanan. Aku setuju. Lalu, kami pun terus pergi ke kedai runcit untuk membeli barang-barang. Menu kami ringkas..pasta spegheti berkuah tomato…Selain untuk dimakan sendiri, ia juga untuk menjamu beberapa orang sahabat yang datang dari Madinah termasuk kawan-kawan kepada ayah Syahir….

Selesai masak, kami terus tidur sambil menanti terbitnya fajar 1 Syawal pada esok hari…Sudah tentu, satu lagi pengalaman menarik yang bakal dilalui…

Nantikan paparan kisah pengalaman berhari raya di dua tanah suci dalam episod ke-9…

One thought on “Terkenang Ramadhan di Dua Tanah Suci

  1. Segala pengalaman yang diceritakan amat menarik minat saya.Memang pengalaman di bumi haramain berbeza dari tempat lain.Ia dapat mengajar kita erti kesabaran dan dapat melihat keangungan ALLAH.Pengalaman yang diceritakan serta gambar-gambar mengingatkan hari-hari indah saya ketika berada di sana.Saya amat bersyukur kerana dijemput pada usia yang muda.Sungguh besar keagungan ALLAH.Masjidilharam tidak pernah sedetik atau sesaat pun sunyi tanpa hamba-hambaNYA.Semoga suatu hari nanti ALLAH menjemput saya lagi.Amin..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *