Diari 9.9.06 (siri 7)

 Jemputan Iftar bersama Syaikh Dr Ibrahim al-Bisyr

28/9/06

Selepas solat Zohor hari ini, tiba-tiba handphone aku berdering..Kring…kring..(dengan nada dering telefon lama). Aku perhatikan nama di skrin, tertera “Syaikh Ibrahim”. “Ada apa ni? Hatiku tertanya-tanya. Lalu aku terus menjawab panggilan tersebut.. Seperti biasa, telah menjadi adat kebiasaan orang Arab, selalu bertanya khabar dan hal keadaan kita dengan panjang lebar dalam pelbagai bentuk soalan. Lalu, beberapa minit pertama perbualan telefon kami ini dipenuhi dengan masing-masing saling bertanya khabar dan mendoakan antara satu sama lain…Selesai semua itu, barulah kami masuk maudhu’ (tajuk) tujuan utama dia menelefon aku. Rupa-rupanya dia ingin menjemput aku dan kawan-kawan dari Malaysia untuk iftar di rumahnya. Apa lagi…Jemputannya ini aku sambut dengan tangan terbuka. Kecil tapak tangan, gunung Uhud kami bentangkan (maaf,peribahasa ini diubah sedikit sesuai dengan bumi Arab Saudi ini)..Undangan sebegini memang ditunggu-tunggu oleh kami yang menjadi perantau di negeri orang. Inilah untung nasib perantau. Apatah lagi, penuntut ilmu seperti kami, yang tidak mempunyai sumber kewangan lumayan..Ada saja cara yang digunakan untuk menjimatkan perbelanjaan…Nantilah, mungkin dalam siri-siri lain aku akan ceritakan bagaimana cara kami jimatkan perbelanjaan sepanjang berada di bumi Mekah ini.

Aku mula kenal dengan Syaikh Ibrahim sewaktu satu program Daurah (kursus) Ilmu-ilmu Islam di Malaysia. Daurah ini dianjurkan oleh Muslim World League dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis dan Yayasan Kebajikan Nusantara. Aku telah ditugaskan untuk menjadi Setiausaha bagi program ini.. Walaupun tempoh perkenalan kami sewaktu itu tidak lama, tetapi banyak pengalaman aku dan ikhwah bersamanya di Malaysia. Sebab itulah hubungan kami masih berkekalan. Sebab itu jugalah antara individu-individu awal yang aku hubungi selepas sampai di Mekah dulu adalah Syaikh Dr Ibrahim..Beliau merupakan salah seorang pensyarah di Universiti Umm al-Qura, Mekah dalam bidang Fiqh. Beliau juga merupakan ahli badan fiqh sedunia di bawah Muslim World League (Rabitah ‘Alam Islami).

Seperti yang telah dipersetujui, sebelum maghrib, kami dijemput oleh beliau ke Masjid al-Haram terlebih dahulu untuk iftar dan solat maghrib. Mungkin di sini ada sesuatu sifat baik yang aku boleh kongsikan. Apa yang aku kagum dan hormat dengan Syaikh Ibrahim –malah mungkin kebanyakan orang Arab yang faham agama- ialah sifat mereka yang sentiasa berlumba-lumba untuk membuat kebaikan. Syaikh membawa sedikit rutab dan qohwah arab (kopi arab) untuk iftar. Dia sendiri yang mengagihkan buah rutab bukan sahaja kepada kami malah kepada orang-orang di sekeliling. Kemudian dia bangun dengan membawa satu teko kopi arab dan gelas berjalan-jalan untuk mengagihkannya kepada para jamaah lain. Tanpa mengira status dan pangkat. Seorang pensyarah di universiti, pemegang ijazah Phd, tidak segan untuk buat perkara ini. Bukan tujuan untuk memuji beliau sahaja disebabkan aku kenal dengannya, tetapi inilah yang aku boleh kongsi apa yang aku lihat di depan mata aku. Apa yang menggalakkan beliau dan kebanyakan orang lain? Tidak lain dan tidak bukan, tentulah kata-kata Nabi saw (bermaksud): ((Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, baginya pahala orang yang berpuasa tersebut tanpa dikurangkan sedikit pun pahala orang yang berpuasa itu)). (Riwayat Ahmad. al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban.Al-Albani mensahihkannya dalam Sahih al-Jami’).

((Nabi saw adalah seorang yang pemurah dan Baginda lebih-lebih lagi pemurah pada bulan Ramadhan)) (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Begitulah, apabila kata-kata Nabi saw dan janji ganjarannya telah masuk ke dalam hati dan dihayati, kita akan sentiasa berusaha dan mencari peluang untuk merebutnya tanpa mengira apa kedudukan kita di sisi manusia, kerana kita semua adalah hamba di sisiNya.

Selesai solat maghrib, kami pun terus dibawa ke rumah Syaikh untuk menikmati hidangan yang ditunggu-tunggu…

dsc01508.JPG

Inilah hidangan yang telah dihidangkan kepada kami semua…adus…rasa lapar la pulak..

dsc01509.JPG

Dari jarak dekat…lagi dekat lagi lapar….

dsc01513.JPG

Syaikh Ibrahim yang memakai serban (ghutrah)..Saya berada di sebelah kananya..Sedang asyik menikmati..Tak tengok kemera dah…

dsc01515.JPG

Anak lelaki Syaikh Ibrahim sedang menuangkan teh panas, sebagai penutup jamuan iftar malam ini…

Semoga Allah membalas segala kebaikan yang dilakukan oleh Syaikh Ibrahim ini.Selesai solat terawih, kami pun dihantar pulang ke asrama semula, sambil dalam hati tertanya-tanya lagi “Bilakah lagi kami akan dikurniakan rezeki sebegini?…Ya Allah, bantulah kami untuk mensyukuri segala nikmat yang telah Engkau kurniakan…Amin…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *