Akademi Ramadhan: Didikan Ilahi Penuh Beerti

Oleh:

Abd al-Razzaq A.Muthalib Ahmad

sek-ramdhan.gif

Jika diibaratkan Ramadhan seperti sebuah sekolah atau universiti, maka umat Islam adalah pelajar-pelajarnya. Bagaimana seorang pelajar yang akan mendaftar di sekolah atau universiti membuat persediaan yang rapi, maka begitulah kita yang ingin memasuki sekolah/universiti Ramadhan ini. Sepatutnya persediaan telah kita lakukan sejak bulan Sya’ban lagi dengan diperbanyakkan puasa sunat.

Minggu suaikenal

Kalau di sekolah atau universiti diadakan minggu suai kenal, maka puasa sunat di bulan Sya’ban ini juga boleh diibaratkan seperti minggu suai kenal sebelum kita menjalani proses pendidikan yang sebenar di sekolah atau universiti Ramadhan nanti. Sebab itu, petunjuk Rasulullah saw yang memperbanyakkan puasa pada bulan ini, seharusnya dijadikan contoh teladan.

Daripada Aisyah ra berkata: ((Adalah Rasulullah saw apabila berpuasa, sehingga kita menganggap Baginda tidak akan berbuka, dan apabila Baginda berbuka, seolah-olah kita akan menganggap Baginda tidak akan berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda memperbanyakkan puasanya (selain bulan Ramadhan) melainkan pada bulan Sya’ban)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Pengajian bermula

Selepas melalui minggu suai kenal, maka tibalah hari pengajian yang ditunggu-tunggu. Mereka yang telah membiasakan diri dengan keadaan dan persekitaran di bulan Sya’ban, tidak akan terasa sesuatu yang membebankan malah mereka lebih gembira kerana itulah tujuan dan harapan yang mereka nanti-nantikan. Tetapi bagi mereka yang tidak memanfaatkan sepenuhnya minggu suai kenal tersebut, kemungkinan masih belum bersedia sepenuhnya dan terasa sedikit kesusahan dalam dirinya. Namun, apakan daya, pembelajaran di sekolah atau universiti Ramadhan perlu diteruskan, kerana ini adalah arahan, kecuali bagi mereka yang keuzuran. Arahan ini telah termaktub di dalam “buku panduan”: ((Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu puasa, seperti mana telah diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa. Ianya beberapa hari yang ditentukan, maka barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir maka boleh diganti pada hari yang lain…)) (Al-Baqarah: 183)

Silibus wajib & pilihan

Seseorang yang telah mendaftar untuk belajar di sekolah atau universiti Ramadhan ini, perlu untuk menghabiskan silibus yang telah ditetapkan. Silibusnya terbahagi kepada dua; silibus wajib dan silibus pilihan (sunat). Silibus yang wajib ialah setiap pelajar mesti menahan diri daripada makan dan minum serta dari perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada terbitnya fajar sehinggalah terbenamnya matahari. Silibus yang wajib ini hanya satu, tetapi ada pecahan di bawahnya iaitu tidak boleh bercakap perkara yang lucah, kotor, kasar, dusta dan yang melalaikan. Mana-mana pelajar yang hanya tidak makan dan tidak minum sahaja, tetapi masih mengucapkan kata-kata yang keji, lucah, dusta, melalaikan dan sebagainya akan terjejas markahnya. Inilah peraturan yang perlu dipatuhi: Daripada Abu Hurairah ra katanya, Nabi saw bersabda: ((Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya, maka Allah swt langsung tidak berhajat daripadanya untuk dia meninggalkan makan dan minumnya)). (Riwayat al-Bukhari).

Bagi silibus pilihan pula, seseorang itu tidak diwajibkan untuk mengambilnya. Tetapi ianya amat digalakkan kerana ia dapat menampung markah puasa yang mungkin terjejas tanpa disedari. Di samping itu, ia juga merupakan satu peluang yang ditawarkan untuk setiap pelajar mencari markah tambahan supaya dia dapat menamatkan pengajiannya di universiti Ramadhan ini dengan penuh cemerlang. Antara silibus pilihan yang ditawarkan dan amat digalakkan ialah:

1- Solat terawih

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasululullah saw bersabda (maksudnya): ((Sesiapa yang mendirikan (menghidupkan malam) Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan , diampunkan segala dosa yang telah lalu)) (Muttafaqun ‘alaihi)

2- Bersahur & melewatkan sahur

 

Daripada Amru bin Al-‘As, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya): ((Yang menjadi beza di antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur)). (Riwayat Muslim)

 

Menurut Anas bin Malik, Zaid bin Thabit berkata: Kami makan sahur bersama Nabi saw, kemudian Baginda berdiri untuk solat. Aku bertanya: Berapa lama tempoh antara azan dan sahur? Beliau menjawab: Kira-kira (membaca) 50 ayat al-Quran. (Riwayat al-Bukhari, no.1921).

3- Memperbanyakkan sedekah

Daripada Ibn Abbas ra berkata: ((Nabi saw adalah seorang yang pemurah, dan Baginda lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan… (Riwayat al-Bukhari (no.1902) & Muslim).

quran.jpg

4- Bertadarus al-Quran

 

((Jibril a.s berjumpa dengan Baginda saw pada setiap malam di bulan Ramadhan hingga bulan itu berlalu, Nabi saw memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya…)) (Riwayat al-Bukhari (no.1902) & Muslim).

Menurut Ibn Rejab, hadis ini menunjukkan galakan bertadarus al-Quran dan memperbanyakkan bacaannya pada bulan Ramadhan.

4- Menjamu orang berbuka puasa.

jamu-iftar.jpgDaripada Zaid bin Khalid ra, Nabi saw bersabda (maksudnya): ((Sesiapa yang menjamu orang berbuka puasa, maka baginya pahala sama seperti pahala orang yang dijamu itu, tanpa dikurangkan sedikit pun daripada pahala orang yang berpuasa itu)). (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban. Al-Albani mensahihkannya di dalam Sahih al-Jami’)

5- I’tikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan

Daripada ‘Aisyah ra berkata: ((Nabi saw selalu beri’tikaf pada sepuluh akhir Ramadhan sehinggalah baginda wafat. Kemudian, isteri-isteri baginda pula beri’tikaf selepas kewafatan baginda)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

6- Menunaikan umrah

 

Rasulullah saw bersabda (maksudnya): Apabila datang bulan Ramadhan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala haji”. (Riwayat al-Bukhari, no.1782)

7- Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air.

 

Anas bin Malik berkata:

“Rasulullah saw berbuka puasa dengan memakan beberapa bijii rutab sebelum menunaikan solat. Sekiranya tiada rutab, Baginda berbuka dengan kurma. Jika tiada kurma, Baginda meminum beberapa teguk air”. (Riwayat Ahmad & al-Tirmizi dan beliau menyatakan hadith ini adalah hasan, no.632)

Peraturan & Undang-undang

Telah menjadi suatu kebiasaan bahawa setiap institusi pendidikan samada peringkat sekolah mahupun institusi pengajian tinggi (IPT), akan mempunyai peraturan dan undang-undangnya tersendiri yang perlu dipatuhi. Mana-mana pelajar yang tidak mengikuti peraturan atau melanggar undang-undang ini, maka dia berhak untuk didenda atau menerima hukuman yang setimpal. Begitu juga dengan akademi Ramadhan ini. Peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan dan mesti dipatuhi. Sesiapa yang gagal mematuhinya, bermakna dia mesti bersedia untuk menerima akibatnya. Puasanya akan terbatal dan mesti diganti pada hari yang lain. Antara peraturan dan undang-undang tersebut ialah:

1- Tidak boleh makan dan minum pada siang hari dengan sengaja, kecuali jika terlupa.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah saw bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang terlupa ketika berpuasa lalu dia makan atau minum, hendaklah dia meneruskan puasanya kerana sesungguhnya Allah swt telah memberinya makan dan minum”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

2- Tidak boleh muntah dengan sengaja.

Daripada Abu Hurairah r.a berkata, bahawa Rasulullah saw bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang muntah (secara tidak sengaja) semasa dia berpuasa, maka dia tidak perlu menggantikan puasa tersebut. Tetapi sesiapa yang sengaja muntah, maka hendaklah dia menggantikannya”. (Hadith sahih riwayat Abu Daud).

3- Tidak boleh melakukan hubungan suami isteri (jimak) pada siang hari. Sesiapa yang melanggar pertaturan ini, maka perlu untuk menggantikannya dan dikenakan juga denda (kaffarah).

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah saw lalu berkata: Aku telah binasa wahai Rasulullah. Baginda bertanya: Apa yang telah membinasakan kamu? Jawab lelaki tersebut: Aku telah bersetubuh bersama isteriku pada (siang) Ramadhan. Lalu Baginda saw berkata: Adakah engkau mampu untuk membebaskan seorang hamba? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda saw bertanya lagi: Adakah kamu mampu untuk berpuasa dua bulan berturut-turut? Lelaki itu menjawab: Tidak. Baginda saw bertanya lagi: Adakah kamu mempunyai makanan yang cukup untuk diberi makan kepada enam puluh orang miskin? Jawab lelaki itu: Tidak. Kemudian Nabi saw datang membawa kepada lelaki tersebut bekas yang berisi tamar, lalu bersabda: Sedekahlah dengan buah tamar ini. Lelaki itu berkata: Adakah ada orang yang lebih fakir daripada kami? Tidaklah ada penduduk di Madinah ini yang lebih berhajat (fakir miskin) daripada kami. Lalu Nabi saw ketawa sehingga ternampak gigi gerahamnya. Lalu Baginda saw berkata: Pergi dan makanlah ia. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

4- Keluar haidh dan nifas.

Wanita yang keluar haidh pada siang Ramadhan, maka puasanya terbatal dan perlu menggantikannya pada hari yang lain.Aisyah pernah ditanya tentang keadaan wanita haidh, adakah dia perlu menggantikan puasa atau hanya menggantikan solatnya. Jawab Aisyah: “Kami (isteri Nabi saw) juga pernah mengalami perkara itu. Oleh itu, kami diperintahkan menggantikan puasa tetapi tidak disuruh menggantikan solat”. (Riwayat Muslim).

Anugerah khas

 

lailatulqadar.jpg

Bagi pelajar yang terpilih dan bernasib baik pula, sekolah atau universiti Ramadhan ini menyediakan satu anugerah istimewa sebelum dia menamatkan pengajian iaitu anugerah Lailat al-Qadr. Anugerah ini merupakan anugerah yang terulung dan siapa yang terpilih telah dijanjikan dengan ganjaran yang istimewa. Firman Allah swt bermaksud: ((Lailat al-qadr itu lebih baik daripada seribu bulan)) (Surah al-Qadr: 3). Nabi saw juga memberikan jaminannya: ((Sesiapa yang menghidupkan Lailat al-qadr (dengan ibadah) dengan penuh keimanan dan keikhlasan serta mengharapkan ganjarannya, diampunkan segala dosanya yang telah lalu)). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kebiasaannya, anugerah ini akan diberikan pada sepuluh hari terakhir sebelum tamatnya sesi pengajian. Sebab itulah ‘Aisyah ra menyatakan: Rasulullah saw beri’tikaf pada sepuluh terakhir Ramadhan dan Baginda berpesan: ((Intailah lailat al-qadr pada sepuluh terakhir daripada Ramadhan)). (Muttafaqun ‘alaihi).

Hari konvokesyen

Setelah sebulan melalui proses pembelajaran di sekolah atau universiti Ramadhan ini, maka tibalah hari yang dinantikan iaitu hari konvokesyen atau hari anugerah cemerlang pada 1 Syawal. Setelah berjaya melalui segala ujian dan peperiksaan dengan cemerlang, maka diadakan hari konvokesyen ini sebagai tanda penghargaan dan ucapan tahniah untuk mereka yang telah berjaya. Pada hari ini semua pelajar yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang sewaktu Ramadhan pasti berasa gembira dan bersih dari segala dosa seakan-akan bayi yang baru lahir. Prestasi yang cemerlang ini mesti berdasarkan keimanan dan keikhlasan kepada Allah swt. Nabi saw bersabda (bermaksud): ((Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu)) (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Mereka yang telah mendapat ijazah daripada sekolah atau universiti Ramadhan ini juga sebenarnya telah menempah tiket al-Rayyan untuk menuju ke satu destinasi yang menjadi idaman setiap insan mukmin. Daripada Sahl bin Said r.a, bahawa Nabi saw bersabda (bermaksud): ((Sesungguhnya di dalam syurga itu ada satu pintu yang dinamakan al-Rayyan, orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada hari kiamat, tidak akan masuk seorang pun selain daripada mereka (yang berpuasa), apabila telah masuk orang yang berpuasa, pintu ini akan ditutup, maka tidak dapat masuk seorang pun yang lain melalui pintu ini)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Anugerah khas dari “Pentadbir”

Ini adalah antara beberapa ganjaran dan anugerah yang telah diumumkan. Namun begitu, masih ada lagi anugerah atau ganjaran yang tidak terhitung jumlahnya dan tidak diketahui oleh sesiapa pun kecuali oleh pihak Pentadbir, Yang Maha Mengetahui segala yang zahir dan tersembunyi. Allah Azza wa Jalla berfirman di dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah ra berkata: telah bersabda Rasulullah saw: ((Allah swt telah berfirman: Setiap amalan anak Adam itu baginya (ganjaran pahala yang ada hadnya), kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untuk-Ku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya…)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Walaupun asyik bergembira dengan hari konvokesyen pada 1 Syawal ini, sepatutnya setiap pelajar harus bermuhasabah kembali apakah dia telah mencapai segala misi dan visi daripada kursus yang diambil ini seperti mana yang telah ditetapkan oleh pihak Pentadbir: ((Wahai orang-orang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah diwajibkan juga ke atas mereka yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa)). (Al-Baqarah:183).

Ijazah lanjutan

Pelajar yang telah berjaya melalui sessi pengajian dan latihan semasa Ramadhan, sudah pasti merasai kenikmatan dan keindahannya. Walaupun telah mendapat ijazah kegembiraan dan kemenangan pada 1 Syawal, namun perasaan, semangat dan keinginan untuk terus mencipta kecemerlangan iman masih lagi panas membara dan segar sentiasa. Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai semangat dan kemampuan ini, pihak “Pentadbir” sekali lagi membuka peluang untuk mereka mengambil ijazah lanjutan. Puasa sunat enam hari di bulan Syawal merupakan program ijazah lanjutan yang ditawarkan. Peluang ini terbuka untuk semua, tidak kira tua atau muda, cuma yang penting, ianya mampu untuk dilaksana. Malah sebagai galakan, dijanjikan anugerah yang sangat istimewa. Rasulullah saw bersabda: ((Sesiapa yang telah berpuasa Ramadhan, kemudian disusuli dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seolah-olah dia berpuasa setahun))

Tugas & peranan graduan Akademi Ramadhan

Sekarang tamatlah proses pembelajaran atau kursus di sebuah sekolah atau universiti yang dinamakan Ramadhan. Pelajar yang memasuki akademi ini dan mematuhi syarat dan peraturannya, telah berjaya mendapat ijazah dengan berbagai-bagai pangkat dan darjat. Persoalannya, kemana pula hala tuju pemegang ijazah Akademi Ramadhan selepas ini? Apakah tugas dan peranan mereka? Apa pula selepas Ramadhan? Bagaimana pula amalan kita di bulan Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah, Muharam, Safar dan bulan-bulan yang lain? Bagaimana juga akhlak kita di bulan-bulan yang lain? Apakah kesannya setelah sebulan kita mendapat didikan dan latihan pada bulan Ramadhan? Adakah semuanya terhenti apabila tibanya 1 Syawal? Justeru, di depan kita adalah beberapa persoalan yang tidak cukup jika hanya dijawab dengan lisan tanpa dibuktikan dengan tindakan.

“Selamat Berpuasa & Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri”.

Telok Wang,

10/09/07, 11.57 pm.

One thought on “Akademi Ramadhan: Didikan Ilahi Penuh Beerti

  1. Assalamualaikum w.b.t Ustaz,
    Saya sebenarnya dah lama terbaca artikel ini dalam blog ustaz dan saya dapati artikel ini sangat menarik minat sesiapa untuk membaca.Jadi saya nak minta izin,copy artikel-artikel yang ustaz update dalam blog ustaz.Walaupun saya tahu,tentu ustaz izin dan alu-alukan,tapi saya sekadar nk dapatkan keizinan ustaz,itu sahaja. Dah lama jugak uztaz tak update blog.Saye selalu tunggu artikel-artikel ilmiah yang best daripada ustaz.Alhamdulillah saya dapat juga berkongsi ilmu yang ustaz zahirkan dalam blog ini.Harap-harap semuanya berguna bukan kepada saya sahaja,tetapi untuk pembaca-pembaca lain,Insya-Allah.
    Salam Ramadhan,Selamat beramal saya ucapkan,Assalamualaikum w.b.t.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *