Diari 9.9.06 (Episod 6)

 

 

Menyambut Ramadhan di Tanah Suci Mekah

 

Hari ini 22/9/2006 adalah bersamaan dengan 29 Sya’ban. Kemungkinan esok akan bermulanya 1 Ramadhan. Seperti biasa, petang ini aku bersama teman-teman pergi ke Masjid al-Haram untuk solat Maghrib dan Isya’. Selesai solat Maghrib, seperti rutin harian, aku ikuti kelas pengajian Syaikh Abd al-Rahman al-‘Ajlan, salah seorang tenaga pengajar di Masjid al-Haram. Sambil mendengar huraian yang disampaikan oleh Syaikh Abd al-Rahman, jauh disudut hati, aku tertanya-tanya adakah esok puasa atau pun tidak. Aku dapat merasakan bukan aku sahaja yang ternanti-nantikan jawapannya, malah ramai lagi umat Islam yang berada di Masjid al-Haram ini turut berkongsi perasaan yang sama. Aku mencuri dengar perbualan orang lain. Ternyata mereka juga tertanya-tanya soalan yang sama. Adakah esok bermulanya 1 Ramadhan?

 

Menurut mereka yang telah lama berada di Mekah ini, tarikh 1 Ramadhan akan diketahui berdasarkan pengumuman yang dibuat di radio dan di tv. Satu lagi cara ialah dengan menantikan tembakan meriam beberapa das antara waktu Maghrib dan Isya’ yang akan dapat didengari dari Masjid al-Haram. Aku perhatikan malam ini kehadiran jemaah di Masjid al-Haram lebih ramai dari hari-hari sebelumnya. Kemungkinan, masing-masing tidak mahu terlepas solat tarawih malam pertama ini.

 

Waktu isya’ hampir masuk, tetapi tembakan meriam masih belum kedengaran. Pengajian Syaikh Abd al-Rahman pun hampir habis. Sambil telinga mendengar syarahan, mata aku terpandang sesuatu. Kelihatan beberapa orang petugas Masjid al-Haram membawa turun mikrofon untuk dipasang. Ini memang fenomena biasa. Memang setiap kali sebelum masuknya waktu solat, mikrofon untuk imam akan dipasang. Tapi, malam ini ada satu perkara yang berbeza. Tempatnya berubah. Biasanya, untuk solat Maghrib dan Isya’, imam akan berdiri di dataran bawah, berhampiran dengan Ka’bah, berdekatan dengan Makam Ibrahim. Tapi, malam ini mikrofon imam dipasang di bahagian atas, dibawah bilik muazzin. Aku teringat yang inilah tempat imam pada waktu Ramadhan seperti yang siarkan oleh RTM 1. Justeru, aku dapat mengagak yang esok adalah 1 Ramadhan. Sangkaan aku ini rasanya semakin pasti.

 

Tiba-tiba…… “Kedebommm!Kedebooom!Kedebooom!!Kedebooom!!!Kedebooom…Kedengaran bunyi beberapa das tembakan meriam. Pasti dan yakin, esok adalah 1 Ramadhan. Suara para jamaah riuh seketika. Masing-masing mengucapkan syukur dan tahniah sesama sendiri di atas kedatangan Ramadhan. Hatiku sebak seketika. Tidak sangka, tahun ini aku adalah diantara hamba-hambaNya yang diberi peluang dan dipilih untuk menyambut Ramadhan dibumi bertuah, tempat perjuangan Rasulullah dan para sahabah, tanah suci Mekkah al-Mukarramah. Alhamdulillah….

 

Kemudian, azan Isya’ pun berkumandang. Para jamaah semakin ramai membanjiri Masjid al-Haram. Hati ini semakin tidak sabar-sabar menanti saat-saat manis yang telah diimpikan sejak dulu lagi. Setiap kali melihat siaran solat tarawih di tv, hatiku menaruh harapan semoga suatu hari nanti aku juga dapat merasai kelazatan solat tarawih di sana. Malam ini, harapan itu semakin hampir menjadi kenyataan.

 

Selesai iqamat dilaungkan, para jamaah berdiri untuk menunaikan solat Isya’. Solat Isya’ malam ini diimamkan oleh Syaikh Dr. Abd al-Rahman al-Sudaisi. Alunan merdu suara Syaikh Sudais membaca ayat-ayat suci kalam Ilahi semakin membuatkan hatiku menjadi sebak. Seusai solat Isya’ beberapa ketika, kedengaran muazzin melaungkan “al-solat al-jamia’h”. Orang ramai mula berdiri untuk solat Tarawih. Sekali lagi, Syaikh Sudais mengimamkan solat tarawih untuk malam pertama ini. Tidak dapat aku gambarkan betapa gembiranya rasa hati ini. Syukur Alhamdulilah..Doaku selama ini dimakbulkan Tuhan. Telah lama aku melihat suasana ini hanya melalui kaca tv, tapi malam ini aku berada disini. Kebetulan pula, kedudukan aku berada di saf yang sangat hampir dengan kedudukan imam.

sudaisi.jpg

Syaikh Abd al-Rahman Sudais, salah seorang imam Masjid al-Haram

Selepas 10 rakaat pertama solat tarawih, Syaikh Dr. Muhammad al-Syuraim mengambil alih tempat Syaikh Sudais sebagai imam. Bacaan Syaikh Syuraim juga menambat hati para jemaah. Kadang-kadang, beliau tidak dapat untuk meneruskan bacaan kerana terlalu sebak. Inilah kelebihannya orang yang membaca kalam Tuhan dengan faham. Setiap ayat difahami dan dihayati. Setiap ayat yang dilafazkan, terasa seolah-olah sedang berdialog dengan Pemiliknya. Setiap kali membaca ayat yang menyebut tentang nikmat dan rahmat, hati turut berdoa semoga diberikan rahmat dan nikmat tersebut. Setiap kali membaca ayat yang menyebut tentang azab dan dosa, hati juga turut berdoa supaya dijauhkan dari itu semua.

 

Dua puluh rakaat tarawih disempurnakan. Juzuk pertama al-Quran telah dibacakan. Tapi, seakan-akan ianya berlalu dengan tidak sedar. Langsung tidak terasa penatnya. Langsung tidak terasa lamanya. Tidak cukup lagi, para jamaah bangun semula untuk terus dengan solat witir. Syaikh Sudais kembali mengambil tempat untuk mengimamkan solat witir ini.

Sewaktu tiba saat Syaikh Sudais membacakan doa qunut witir, hatiku menjadi semakin sebak. Setiap bacaan doanya aku hayati dan aminkan dengan sepenuh hati. Terasa diri ini begitu kerdil dihadapan Ilahi. Teringat segala kesalahan dan dosa yang menyelubungi diri. Saat ini, terasa diri sangat berhajat kepada rahmat dan ampunan Ilahi. Tanpaku sedar, air mata mengalir berderai-derai membasahi pipi. Semoga Engkau mendengar dan menerima doa kami, wahai Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

 

20061214655.jpg

Sewaktu hendak pulang, aku melihat keadaan jalan raya di sekitar Masjid al-Haram begitu sesak. Orang terlalu ramai. Keadaan ini pernah juga aku lihat di Kuala Lumpur. Tetapi di tempat yang berbeza dan suasana yang sangat berbeza. Kalau di KL, suasana begini akan berlaku di Dataran Merdeka atau KLCC sewaktu malam sambutan merdeka atau sambutan Tahun Baru. Orang ramai keluar beramai-ramai berkumpul untuk membilang detik 12 malam 31 Ogos dan 1 Januari. Mereka menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan keghairahan. Selepas itu, ada yang menyambungnya dengan pesta arak, zina dan maksiat sampai ke pagi. Jalan raya juga menjadi sesak. Pasukan polis dan keselamatan dihantar untuk mengawal keadaan.

 

Tetapi, lain pula di Tanah al-Haram ini. Suasana ini berlaku di masjid. Orang ramai berpusu-pusu untuk datang ke masjid. Seolah-olah Ramadhan ini adalah pesta ibadah. Ada juga yang tunggu beriktikaf sampai pagi. Pasukan polis dan keselamatan juga di hantar untuk mengawal keadaan lalu lintas dan keselamatan di “pesta” ini. Ini baru malam pertama. Aku tidak tahu bagaimana keadaannya 10 terakhir Ramadhan nanti.

 

Dalam menempuhi kesesakan orang ramai ini, aku terfikir seorang diri. Berfikir di minda dan bertanya hati. Bilakah masjid-masjid di Malaysia akan dipenuhi dan dihidupkan oleh umat Islam? Aku terbayangkan alangkah indahnya jika suasana ini juga berlaku di Masjid Negara, Masjid Wilayah dan masjid-masjid lain di Malaysia.

 

 

 

3 thoughts on “Diari 9.9.06 (Episod 6)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *