Category Archives: Artikel Ilmiah

Jangan Cemari Ramadhan Dengan Hadis Palsu


 

Oleh:

Abd al-Razzaq Abd Muthalib

 

 

doa-org-puasa.jpg

Ramadhan sekali lagi datang menemui kita. Setinggi syukur dipanjatkan kehadhrat Ilahi kerana kita dizinkan untuk bertemu dengan bulan mulia dan penuh keberkatan ini. Seperti biasa seluruh umat Islam akan menunaikan ibadah puasa sebagai bukti pengabdian dan penghambaan kepada Tuhan Sekelian Alam. Malamnya pula akan dipenuhi dengan pelbagai ibadah yang  berpandukan petunjuk Nabi saw. Sesungguhnya ibadah puasa telah dijanjikan pelbagai kelebihan dan fadhilat bagi sesiapa yang menunaikannya. Cukuplah beberapa hadith di bawah ini sebagai pemangkin dan peniup semangat untuk kita:-

 

– Daripada Abu Said al-Khudri ra berkata, bersabda Rasulullah saw: “Tidak ada seorang hamba yang berpuasa sehari dijalan Allah kecuali Allah akan menjauhkannya dengan api neraka sejarak tujuh puluh tahun perjalanan”. (Hadith sahih riwayat al-Bukhari (6/35), Muslim (1153).

 

– Daripada Uthman bin Abi al-‘As, telah bersabda Rasulullah saw: “Puasa itu perisai, yang akan melindungi seseorang hamba daripada api neraka”. (Hadith sahih riwayat Ahmad (4/22).

 

– Daripada Abu Umamah ra berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah saw: Ya Rasulullah! Tunjukkan kepadaku satu amalan yang membolehkan aku memasuki syurga dengannya. Maka Rasulullah saw bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya”. (Hadith riwayat al-Nasai’ (4/165), Ibn Hibban dan al-Hakim (1/421) dan sanadnya adalah sahih).

 

Bulan Ramadhan juga mempunyai pelbagai kelebihannya yang tersendiri. Antaranya ialah sepertimana yang telah dijelaskan oleh junjungan besar Rasulullah saw di dalam hadith sahih yang bermaksud: “Apabila datangnya Ramadhan akan dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan”. (Hadith riwayat al-Bukhari (4/97), Muslim (1079).

 

Selain itu, telah dimaklumi bahawa di dalam bulan ini jugalah telah diturunkan al-Quran dan disediakan suatu peluang sebagai anugerah istimewa kepada hamba-hambaNya yang terpilih dengan Lailat al-Qadr. Firman Allah swt yang bermaksud: ((Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan daripada petunjuk dan perbezaan (antara yang haq dan batil)).  (al-Baqarah: 185)

 

 

Kenapa masih berlaku?

 

Tetapi malang dan merupakan suatu kecacatan apabila bulan yang mulia ini dicemarkan dengan penyebaran hadith-hadith dha‘if (lemah) dan maudhu’ (palsu)  samada mengenai fadhilat bulan Ramadhan, keutamaan puasa atau kelebihan solat terawih. Malah lebih malang lagi apabila penyebaran hadith-hadith yang dhaif dan maudhu’ ini dilakukan oleh golongan-golongan ustaz melalui ceramah, tazkirah, atau penulisan mereka. Apakah yang menghalang mereka untuk memastikan  terlebih dahulu taraf atau martabat hadith-hadith yang ingin disampaikan kepada masyarakat sehingga menyebabkan mereka terjebak di dalam “jenayah” ini dan sekaligus mencabuli prinsip-prinsip dan disiplin ilmu? Jika ianya dilakukan dengan hasrat untuk menggalakkan umat Islam supaya melakukan ibadah, apakah hadith-hadith yang maqbul (sahih dan hasan) sudah habis disampaikan atau ianya masih tidak mencukupi. Walaupun beramal dengan hadith-hadith dhaif di dalam perkara fadhilat dibolehkan oleh sesetengah ulamak, namun ianya masih tertakluk kepada beberapa syarat yang perlu diambil kira – perlu kepada perbincangan yang lain-

 

Di antara hadith-hadith dhaif dan maudhu’ yang tersebar di dalam bulan Ramadhan ini ialah: Continue reading Jangan Cemari Ramadhan Dengan Hadis Palsu

Akademi Ramadhan: Didikan Ilahi Penuh Beerti

Oleh:

Abd al-Razzaq A.Muthalib Ahmad

sek-ramdhan.gif

Jika diibaratkan Ramadhan seperti sebuah sekolah atau universiti, maka umat Islam adalah pelajar-pelajarnya. Bagaimana seorang pelajar yang akan mendaftar di sekolah atau universiti membuat persediaan yang rapi, maka begitulah kita yang ingin memasuki sekolah/universiti Ramadhan ini. Sepatutnya persediaan telah kita lakukan sejak bulan Sya’ban lagi dengan diperbanyakkan puasa sunat.

Minggu suaikenal

Kalau di sekolah atau universiti diadakan minggu suai kenal, maka puasa sunat di bulan Sya’ban ini juga boleh diibaratkan seperti minggu suai kenal sebelum kita menjalani proses pendidikan yang sebenar di sekolah atau universiti Ramadhan nanti. Sebab itu, petunjuk Rasulullah saw yang memperbanyakkan puasa pada bulan ini, seharusnya dijadikan contoh teladan.

Daripada Aisyah ra berkata: ((Adalah Rasulullah saw apabila berpuasa, sehingga kita menganggap Baginda tidak akan berbuka, dan apabila Baginda berbuka, seolah-olah kita akan menganggap Baginda tidak akan berpuasa, dan aku tidak pernah melihat Rasulullah saw menyempurnakan puasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat Baginda memperbanyakkan puasanya (selain bulan Ramadhan) melainkan pada bulan Sya’ban)). (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Pengajian bermula

Selepas melalui minggu suai kenal, maka tibalah hari pengajian yang ditunggu-tunggu. Mereka yang telah membiasakan diri dengan keadaan dan persekitaran di bulan Sya’ban, tidak akan terasa sesuatu yang membebankan malah mereka lebih gembira kerana itulah tujuan dan harapan yang mereka nanti-nantikan. Tetapi bagi mereka yang tidak memanfaatkan sepenuhnya minggu suai kenal tersebut, kemungkinan masih belum bersedia sepenuhnya dan terasa sedikit kesusahan dalam dirinya. Namun, apakan daya, pembelajaran di sekolah atau universiti Ramadhan perlu diteruskan, kerana ini adalah arahan, kecuali bagi mereka yang keuzuran. Arahan ini telah termaktub di dalam “buku panduan”: ((Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu puasa, seperti mana telah diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh taqwa. Ianya beberapa hari yang ditentukan, maka barangsiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir maka boleh diganti pada hari yang lain…)) (Al-Baqarah: 183) Continue reading Akademi Ramadhan: Didikan Ilahi Penuh Beerti

Berita Gembira Untuk Yang Berpuasa

Oleh:

Abd al-Razzaq A.Muthalib

langit-ramadhan.jpg

Dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu, sekiranya kamu mengetahui” (al-Baqarah:184). Nampak begitu ringkas. Tetapi manakan sama antara ringkasnya pernyataan Allah ini dengan kata-kata makhluk-Nya. Cukuplah bagi seorang hamba yang beriman kepada Tuhan Rabbul Jalil untuk meyakini akan jaminan yang diberikan ini. Sesungguhnya ibadah puasa bukanlah suatu yang membebankan, tetapi ianya merupakan satu peluang yang diberikan oleh Allah Azza wa Jalla untuk kita mencari dan mengumpul sebanyak mungkin pahala buat bekalan dan kesenangan di negeri akhirat.

Sepatutnya, seorang hamba yang tulus imannya dan setia ketaatannya tidak perlu lagi bertanya apakah hikmah dan kelebihan di sebalik perintah Allah ini. Namun, Rasulullah saw tidak pernah lekang dari memberi galakan dan motivasi untuk umatnya supaya membuktikan keimanan ini dengan menjalankan perintah Allah Azza wa Jalla dengan penuh sempurna dan mengharapkan balasan yang dijanjikan. Justeru, Baginda saw memberikan khabar gembira untuk mereka yang berpuasa. Berbahagialah wahai orang yang berpuasa dengan perkhabaran ini: Continue reading Berita Gembira Untuk Yang Berpuasa

Isra’ Mi’raj: Ada khabar dari Tuhan

Memperingati peristiwa Isra’ Mi’raj bukan sekadar menjadikannya sebagai aktiviti rutin yang memenuhi kalendar setiap tahun. Jika itulah keadaanya, ianya tidak kurang sama sahaja seperti kita menyambut Musim Melawat Malaysia…Sudah pasti, yang dituntut adalah lebih dari itu.

Saya tidak membahaskan dari segi tarikh bilakah berlakunya isra’ mi’raj. Sememangnya di kalangan para cerdik pandai Islam, mereka berbeza pendapat di dalam menyatakan tarikhnya sebenar. Oleh itu, jika ada orang yang mengatakan bahawa 27 rejab ini bukanlah tarikh sebenar isra’ mi’raj, kita tidak perlu cepat melatah dan membantah. Kerana, apa yang penting dan semua orang pasti setuju adalah peristiwa isra’ mi’raj ini adalah kisah benar dan ianya telah pun berlaku -berdasarkan fakta2 al-Quran dan hadis yang sahih-…Oleh itu, kurang untungnya jika kita menjadikan perbezaan tarikh itu sebagai topik perbincangan utama. Sedangkan, masih ada banyak pengajaran dan mesej lain yang boleh dikutip dan dijadikan iktibar.

Salah satunya ialah persoalan kenapa Nabi Muhammad s.a.w terlebih dahulu dibawa ke Masjid al-Aqsa sebelum diangkat ke langit dan ke Sidratul Muntaha? Sedangkan, bisa saja Allah Yang Maha Hebat lagi Berkuasa itu untuk membawa terus Nabi Muhammad naik ke langit. Tidak ada yang mustahil bagi Yang Maha Pencipta kerana Dia pemilik segala yang ada di bumi dan di langit. Tapi, kenapa dari Masjid al-Haram singgah dahulu di Masjid al-Aqsa?

actual-aqsa.jpg

Inilah Masjid Al-Aqsa yang sebenarnya. Tapi, media jarang menyiarkannya. Kenapa? Yang selalu disiarkan bila disebut tentang Masjid al-Aqsa adalah Kubbah Sakhra’, yang terletak berdekatan dengan Masjid al-Aqsa (seperti gambar dibawah)… Continue reading Isra’ Mi’raj: Ada khabar dari Tuhan

Amalan Bulan Rejab: Antara Palsu dan Tulen

redcandle1.jpg 

Oleh:

Abd al-Razzaq bin Abd Muthalib

Allah swt telah mengutuskan para rasul dan menurunkan kitab-kitabnya serta menyediakan batas-batas arahan dan larangan atau boleh juga disebut sebagai syariat kepada manusia. Ini semua bertujuan tidak lain  dan tidak bukan supaya manusia itu mengabdikan diri serta mentauhidkan Allah swt di dalam semua keadaan dan tingkah lakunya. Malah, inilah tujuan utama penciptaan makhluk seperti mana yang ditegaskan oleh Allah swt di dalam firmannya :

 “Dan tidak Aku ciptakan jin dam manusia itu kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku”. (Surah al-Zaariyat: ayat 56).

Suatu perkara yang penting dan perlu untuk diberikan perhatian bahawa segala bentuk ibadah ini tidak akan diterima oleh Allah swt melainkan jika ianya dilakukan dengan penuh keikhlasan kepada Allah swt serta menepati dengan cara yang dilakukan dan diperintahkan oleh Rasulullah saw. Maka sebarang bentuk ibadah yang tidak memenuhi dua syarat ini, ianya tidak akan diterima oleh Allah swt apatah lagi untuk diberikan ganjaran. Continue reading Amalan Bulan Rejab: Antara Palsu dan Tulen