Category Archives: Artikel Ilmiah

Musibah… sedih, sabar dan tabah

Oleh:
ABD RAZAK MUTHALIB
2 Januari 2015

musibah

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Benar sekali. Tidak sama orang yang melihat dibandingkan dengan orang yang merasai.

Ketika artikel ini ditulis, penduduk di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Perlis sedang diuji dengan banjir.

Melihat laporan akhbar dan televisyen, perasaan ini bercampur baur. Simpati. Kasihan. Sedih. Sudah pasti perasaan ini jauh berbeza dengan mereka yang sedang mengalaminya.

Continue reading Musibah… sedih, sabar dan tabah

Wahabi: Apa Kata Orang-orang Bijak?

WAHABI: APA KATA ORANG-ORANG BIJAK?

Oleh:

A. Razak Muthalib

(www.abdul-razak.com)

truth-small

Gambar hiasan

Sejak akhir-akhir ini antara istilah popular yang disebut oleh kebanyakkan orang ialah “Wahabi”. Istilah ini biasanya dinisbahkan kepada gerakan dakwah yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, walaupun pada asalnya gelaran ini diberikan kepada golongan lain. Peliknya, istilah ini tidak pernah pun diisytiharkan oleh tuan empunya badan, tetapi dilontarkan oleh pihak musuh, lalu menimbulkan seribu satu persoalan.

Di Malaysia, ada yang menyebut-menyebut istilah ini dengan tujuan ingin mencari kebenaran. Kurang selesa dengan pelbagai pandangan yang berkeliaran, lantas terus dicari dan dikaji melalui sumber yang dipercayai. Tidak kurang juga mereka yang tiba-tiba sengaja menggembar gemburkan istilah ini, dengan tujuan keburukan. Bukan fakta dan hujah yang diberikan, tetapi kata-kata nista dan fitnah yang dihamburkan. Malah, sampai tahap sanggup menyesatkan dan mengkafirkan. Apakah punca semua ini? Mungkin kejahilan yang telah menipu mereka, atau kedengkian yang menghiasi mereka.

Continue reading Wahabi: Apa Kata Orang-orang Bijak?

Angkara Dusta & Fitnah, Yang Benar Dilihat Salah

Angkara dusta dan fitnah, yang benar dilihat salah

Oleh:

Abd al-Razzaq A. Muthalib

dusta

Gambar hiasan

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain. Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah saw menjawab: ((Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya)). Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”. Rasulullah saw menjawab: ((Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya)). (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).

Continue reading Angkara Dusta & Fitnah, Yang Benar Dilihat Salah

Budaya Hedonism: Akibat suka berhibur, maruah terkubur ummah mundur (Bahagian 2)

 

2227235425_e6644d0d88

Gambar hiasan

Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti para remaja zaman ini. Demi menghasilkan imej dan identiti urban-kontemporari para remaja zaman ini sanggup menggadai jati diri dan sosok peribadi mereka demi kelihatan ’cool’ dan ber’attitude’ (Syuhada, 2009). Tiada lagi jatidiri seorang bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan budaya ketimurannya. Malah yang lebih penting, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang telah diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan yang hakiki.

Terlalu banyak contoh pemikiran hedonism ini menular dalam pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda. Salah satu buktinya yang ketara ialah keghairahan dan kegilaan generasi muda akhir-akhir ini terhadap bidang nyanyian apabila pemikiran ini meresap dan mengakibatkan generasi muda melihat bidang nyanyian sebagai satu prospek yang menguntungkan. Hal ini terjadi apabila lambakan program realiti televisyen untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat penyanyi baru. Program-program realiti ini kebanyakannya dicedok bulat-bulat dari negara Barat tanpa ditimbang yang mana buruk yang mana bermanfaat.

Dalam hal ini, mereka yang waras pasti bersependapat dengan pandangan dan teguran yang diberikan oleh Mohd Ridhuan Tee (2006) berkaitan hal ini. Katanya:

”Lebih malang lagi program-program sebegini mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat, termasuk syarikat korporat yang diterajui oleh orang Islam. Rancangan-rancangan yang bersifat ilmiah dan bersandarkan ilmu tidak mendapat sambutan dan penajaan serta di anggap merugikan.

Misalnya, rancangan Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan lain-lain diciplak dari barat hampir seratus peratus dan tidak banyak mencerminkan nilai-nilai ketimuran atau budaya hidup Malaysia. Tidak memasukkan nilai-nilai keMalaysiaan atau keIslaman. Ada pengkritik vokal, seni pentas, seni lagu, persembahan dan sebagainya, tetapi tidak ada pengkritik yang memberikan input soal budaya dan adat sopan agama.”

Program realiti hiburan seperti Akademi Fantasia, Mentor, My Starz, Malaysian Idol, One in a Million dan sebagainya ditiru daripada Barat bagi menambah program hiburan di Malaysia, tujuannya adalah untuk melahirkan penyanyi-penyanyi ”pasang siap”. Persoalan timbul apabila produk media keluaran orang Islam di Malaysia yang tidak jauh bezanya dengan produk media acuan Barat yang berteraskan budaya hedonisme. Hal ini adalah akibat pemikiran yang membentuk tanggapan bahawa media hanyalah alat hiburan dan medium menjual produk semata (Syuhada, 2009). Peningkatan jumlah peserta yang menghadiri sesi ujibakat realiti televisyen ini dari tahun ke tahun merupakan kejayaan pola pemikiran hedonisme sehingga mengagungkan populariti dan kemewahan.

Jelas pemikiran hedonisme yang menular ini mampu menyeleweng tujuan hidup seorang muslim sehingga berkiblatkan hiburan dan keseronokan semata. Dukacita apabila generasi muda hari ini lebih mengenali keperibadian artis pujaan mereka daripada keperibadian para nabi. Kehidupan para artis yang mengikut kayu ukur barat dijadikan garis panduan dan ikutan, hatta tingkah laku para artis itu sendiri menentang budaya ketimuran apatah lagi syariat Islam. Semua budaya hedonisme ini dilihat normal atas nama kemodenan dan kecenderungan masa kini. Hiburan yang melampaui batas dan nilai murni ini turut dipromosikan oleh media sehingga menjadi rujukan masyarakat. Masyarakat makan, pakai, dan berkelakuan selari dengan kehendak dan kecenderungan masa kini mengikut maklumat yang disampaikan media. Oleh itu, jika baik maklumat yang tersebar, baiklah kesannya kepada masyarakat, jika buruk pula maklumat yang disampaikan, maka buruk pula kesannya kepada masyarakat.

Shahril Anuar (2006) ketika memberikan kritikan terhadap program-program realiti tv ini menyatakan, kebanyakan program realiti yang ada tidak ambil peduli tentang aspek moral dan budaya masyarakat Malaysia. Tiada satu pun ciri-ciri masyarakat Melayu yang beragama Islam yang ditampilkan dalam program berkenaan sedangkan hampir semua penontonya adalah di kalangan orang Melayu. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, percakapan keterlaluan dan cara penampilan diri yang bertentangan dengan adat dan budaya Malaysia sudah banyak menjadi asam garam program realiti ini.

2228168492_e0694267e5

Suasana di salah satu konsert yang pernah dianjurkan…jangan tersilap..bukan di negara Barat, tetapi di dalam negara Malaysia kita yang tercinta..Adakah generasi begini yang kita mahu lahirkan?

Hiburan menjadi agenda utama media massa apabila kebanyakan promosi yang diberikan media kepada para artis melebihi para ilmuan dan tokoh sarjana. . Tokoh-tokoh akademik, para ulamak, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan sumbangan yang telah mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, artis-artis lebih diberi pelbagai anugerah dan dijulang nama. Pencapaian para artis lebih mendapat liputan pihak media, berbanding kecemerlangan para cerdik pandai negara.

Realiti yang berlaku ini membuktikan betapa budaya hedonisme ini telah meresap masuk dan sedikit demi sedikit menjadi darah daging masyarakat. Penularan budaya dan fahaman ini sebenarnya berkait rapat dengan pihak pengamal media yang memberikan ruang yang sangat banyak kepada program-program dan bahan-bahan berita yang berbentuk hiburan.

Budaya Hedonisme: Akibat suka berhibur, maruah terkubur umat mundur (Bahagian 1)

Pemikiran budaya hedonisme*

(Ini ialah sebahagian petikan kertas kerja bertajuk Media Massa dan Serangan Pemikiran yang pernah saya bentangkan di Seminar Kebangsaan: Media dan Pemikiran Islam, anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada 20-21 Julai 2009 yang lalu)

beruk

Gambar hiasan

Hedonisme yang berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kesenangan (pleasure) ialah suatu pola pemikiran dan budaya hidup yang terlalu sukakan kepada aktiviti hiburan dan keseronokan semata-mata (Encyclopedia of Philosophy, 2006;254-258). Menurut kamus dewan pula, hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Sedar atau pun tidak, secara sengaja atau pun kebetulan cuma, budaya hedonisme ini telah mula menular masuk sekian lama dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya dikalangan muda mudi. Salah satu faktor penting yang menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan yang sangat banyak kepada aspek hiburan.

Kebarangkalian yang boleh difikirkan kenapa berita artis, rencana hiburan dan skandal seks diberikan ruang yang begitu meluas, dengan gambar-gambar yang besar dan memakan banyak ruang, tajuk-tajuknya yang besar, mungkin kerana ianya jenis yang ”selamat”. Para menteri tidak menghalang, ramai orang yang suka membacanya, pasaran bertambah dan para pengiklan pun senang hati.

Hiburan pada dasarnya bukanlah suatu yang salah atau dilarang oleh Islam, asalkan ianya dihidangkan dan dinikmati berlandaskan lunas-lunas syariat. Fitrah manusia secara umumnya memang perlukan kepada hiburan. Tuntutan fitrah ini seharusnya diberikan haknya dan ditunaikan dengan adil. Adil dalam erti kata memilih hiburan yang betul dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja tanpa melampaui batas.

no hedonissmeNamun, fenomena yang terzahir pada hari ini adalah sebaliknya. Program-program hiburan sama ada di televisyen atau radio dilambakkan kepada masyarakat dengan begitu banyak mengatasi program-program lain. Berita-berita hiburan juga memonopoli akhbar-akhbar dan tabloid-tabloid. Kisah kehidupan, dalam dan luar negara, diberikan liputan yang berleluasa.

Tidak cukup dengan program hiburan yang disiarkan di kaca televisyen, terdapat sesetengah pengamal media dengan bersungguh-sungguh menghidangkan hiburan ini secara langsung kepada masyarakat. Menjelajah dari satu negeri ke satu negeri yang lain sambil mengajak masyarakat untuk berhibur bersama artis-artis yang dibawa. Sebagai contoh, umum telah mengetahui tentang kewujudan Karnival TV3 Jom Heboh! yang sudah mendapat tempat di hati masyarakat. Setiap kali karnival ini sampai di mana-mana negeri, konsert hiburan dari artis-artis tempatan pasti dinanti. Memang tidak adil untuk kita mengkategorikan karnival ini sebagai budaya hedonisme sepenuhnya, kerana sesetengah aktiviti yang diselitkan memang memberi faedah kepada masyarakat seperti pameran yang melibatkan gerai-gerai dan jualan.  Namun, pengaruhnya ke arah penyuburan budaya tersebut tidak boleh dinafikan.

Hal ini tampak jelas melalui tindakan Kerajaan Negeri Terangganu suatu ketika dahulu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri, Wan Hashim Wan Salleh pada 26 Febuari 2005. Sebagai mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, beliau menafikan sama sekali telah memberi kebenaran kepada stesen televisyen swasta, TV3 bagi menganjurkan program berbentuk hiburan, Karnival TV3 Sure Heboh – nama yang digunakan ketika itu- di negeri tersebut. Kerajaan negeri katanya tidak pernah dan tidak akan membenarkan karnival berkenaan atau yang seumpamanya dibuat di negeri itu kerana ia mengandungi beberapa aktiviti seperti konsert  oleh artis tempatan yang tidak menepati ciri-ciri Islam Hadhari. Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan negeri telah membuat kerjasama dengan stesen televisyen itu bagi menganjurkan satu program Islam Hadhari yang bertujuan memberi kefahaman kepada rakyat negeri  itu mengenai konsep Islam Hadhari. Natijahnya, maka lahirlah program ”Perkampungan Hadhari” yang dilihat lebih berunsurkan Islamik.

Selain konsert-konsert yang diselitkan semasa karnival Jom Heboh ini, ada juga konsert-konsert lain yang terus dijamukan kepada masyarakat kita di atas pelbagai nama dan tema, dianjurkan oleh pelbagai pihak dan syarikat. Konsert sempena sambutan tahun baru, konsert sambutan hari kebangsaaan dan bermacam lagi. Contoh lain ialah Konsert Inspirasi TV3 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Pesta Malam Indonesia 3, Rockaway ’09 dan terdapat 6 konsert lain yang dianjurkan sempena Festival Muzik KL 2009 yang bermula dari 1-10 Julai 2009.

XM8XKFCAE1P2WICAY0GIP1CAJ64S13CANUU9QZCA005H66CA52102ECATTFR06CAA70SDJCAUJDIMPCAF3G7XZCA8SH9JBCAZ3AKW9CAMD7H49CA2QEDJPCAPB39TTCAQ39LUPCAGH36POCA0611PTCA6GI34Z

Gambar hiasan

Apabila program-program hiburan sebegini dilambakkan, kesannya minda masyarakat akan banyak dibentuk dengan hiburan. Generasi muda yang diharapkan menjadi barisan pelapis untuk menerajui dan mencorak pembangunan ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan yang melampau-lampau. Mereka lebih ghairah dan bersemangat untuk berbicara tentang gosip sensasi para artis, filem-filem terbaru di pawagam, lagu-lagu yang sedang popular dan pelbagai topik lain yang semuanya berkaitan dengan hiburan. Penyakit ini bukan sahaja menimpa golongan muda mudi kurang berpendidikan, malah dukacita apabila ianya turut berjangkit kepada golongan mahasiswa mahasiswi di institut pengajian tinggi.

Nisfu Sya’ban: Elakkan Penyebaran Hadis Palsu

NISFU SYA’BAN: ELAKKAN PENYEBARAN HADIS PALSU

Oleh:

Abd Razak  A. Muthalib

 

24-44

Adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa bulan Sya’ban mempunyai kelebihannya tersendiri. Namun, menggalakkan orang ramai beribadah pada bulan ini dengan disebarkan hadis-hadis yang palsu adalah dilarang sama sekali. Kebanyakan hadis-hadis yang disebarkan adalah menyentuh tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban serta solat dan doa yang khusus pada malam ini. Begitu juga dengan puasa sunat khusus pada hari Nisfu Sya’ban.

 

a) Hadis tentang kelebihan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban

 

Tidak terdapat hadis sahih yang menyebut bahawa Nabi s.a.w menghidupkan malam Nisfu Sya’ban ini dengan amalan-amalan yang khusus seperti sembahyang sunat yang khas atau doa-doa tertentu. Malah semua hadis tersebut adalah lemah dan palsu. Di antaranya ialah:

 

         Hadis yang diriwayatkan daripada Ali ra: ((Apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka bangunlah kamu (menghidupkannya dengan ibadah) pada waktu malam dan berpuasalah kamu pada siangnya, kerana sesungguhnya Allah swt akan turun ke langit dunia pada hari ini bermula dari terbenamnya matahari dan berfirman: “Adakah sesiapa yang memohon ampun daripada-Ku akan Ku ampunkannya. Adakah sesiapa yang memohon rezeki daripada-Ku, akan Ku kurniakan rezeki kepadanya. Adakah sesiapa yang sakit yang meminta penyembuhan, akan Ku sembuhkannya. Adakah sesiapa yang yang meminta daripada-Ku akan Ku berikan  kepadanya, dan adakah begini, adakah begitu dan berlakulah hal ini sehingga terbitnya fajar))..

 

Hadis ini adalah palsu, diriwayatkan oleh Ibn Majah dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman. Rujuk Dhaifah al-Jami’ dan Silsilah al-Dhaifah oleh Syaikh al-Albani, Dhaif Ibn Majah.

 

         Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: ((Barang siapa membaca seribu kali surah al-Ikhlas dalam seratus rakaat solat pada malam Nisfu Sya’ban ia tidak keluar dari dunia (mati) sehinggalah Allah mengutuskan dalam tidurnya seratus malaikat; tiga puluh daripada mereka mengkhabarkan syurga baginya, tiga puluh lagi menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh yang lain mengawalnya daripada melakukan kesalahan dan sepuluh lagi akan mencegah orang yang memusuhinya)).

 

Hadis ini menurut Ibn al-Jauzi adalah palsu. (Rujuk Ibn al-Jauzi, al-Maudhu’at, Dar al-Fikr, cet. 1983, 2/128). Imam al-Daruqutni pula merekodkan hadis ini daripada Muhamad bin Abdun bin Amir al-Samarqandi dan dia mengatakan bahawa Muhamad adalah seorang pendusta dan pembuat hadis. Pendapat ini juga sama seperti yang disebut oleh Imam al-Zahabi bahawa Muhamad bin Abdun  terkenal sebagai pembuat hadis.

 

– Diriwayatkan daripada Ja’far bin Muhammad daripada ayahnya berkata: ((Sesiapa yang membaca pada malam Nisfu Sya’ban seribu kali surah al-ikhlas dalam sepuluh rakaat, maka ia tidak akan mati sehingga Allah mengutuskan kepadanya seratus malaikat, tiga puluh menyampaikan khabar gembira syurga kepadanya, tiga puluh menyelamatkannya dari neraka, tiga puluh akan mengawalnya dari berbuat salah dan sepuluh akan menulis mengenai musuh-musuhnya)). Ibn al-Jauzi turut menghukum hadis ini sebagai hadis palsu.

 

Kebanyakan hadis-hadis yang menyebut tentang amalan-amalan yang khusus seperti solat, doa dan sebagainya adalah tidak sahih. Justeru, tidak ada amalan–amalan atau ibadah khusus yang disunatkan untuk dilakukan pada malam Nisfu Sya’ban seperti solat tertentu yang dinamakan solat al-Alfiyah atau membaca sesuatu surah (seperti surah Yaasin) supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki, ditetapkan iman atau sebagainya. Jika amalan ini thabit (benar-benar wujud dan dilakukan oleh Rasulullah saw), pasti Rasulullah s.a.w akan mengajarkannya kepada para sahabat dan generasi selepas itu akan menyampaikannya kepada kita.

 

Al-Hafiz al-Iraqi berkata: ((Hadis tentang solat pada malam Nisfu Sya’ban adalah palsu, direka cipta dan disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Hal ini juga disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’: “Solat yang dikenali sebagai solat al-Raghaib iaitu solat sebanyak dua belas rakaat antara Maghrib dan I’syak pada malam Jumaat pertama bulan rejab dan solat sunat pada malam Nisfu Sya’ban sebanyak seratus rakaat adalah dua jenis sembahyang yang bid‘ah (ditokok tambah dalam agama)). (Rujuk: Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, cetakan ke-3, Uni.Islam Madinah, hal. 14).

 

Syaikh Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz berkata: ((Dan di antara perkara-perkara ibadah yang direka cipta oleh manusia ialah merayakan malam Nisfu Sya’ban dan berpuasa sunat khusus pada siangnya, dan tidaklah ada sebarang dalil yang mengharuskan perkara ini. Riwayat yang menyatakan tentang kelebihan amalan ini adalah daif dan tidak boleh berhujah dengannya. Ada pun riwayat yang menyebut tentang kelebihan solat yang khas, semuanya adalah palsu seperti mana yang telah dijelaskan oleh kebanyakan ahli ilmu)). (Abd al-Aziz bin Abdullah bin Baaz, al-Tahzir min al-Bida’, hal. 11).

 

Salah seorang sarjana terkenal masa kini, Syaikh Dr. Yusof al-Qaradhawi juga menyatakan di dalam fatwanya: ((Tentang malam Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadis-hadis yang sampai ke martabat sahih yang menyebut tentangnya, kecuali ia berada di martabat hasan di sisi sebahagian ulama, dan terdapat juga sebahagian ulama yang menolaknya dan mengatakan bahawa tidak terdapat  sebarang hadis sahih tentang malam Nisfu Sya’ban. Sekiranya kita berpegang bahawa hadis tersebut berada di martabat hasan, maka apa yang disebut di dalam hadis tersebut ialah Nabi s.a.w hanya berdoa dan beristighfar pada malam ini, tidak disebut sebarang doa yang khusus sempena malam ini, dan doa yang dibaca oleh sebahagian manusia di sesetengah negara, dicetak dan diedarkannya adalah doa yang tidak ada asal sumbernya (daripada hadis sahih) dan ia adalah salah)).

 

Beliau menambah lagi: ((Terdapat juga di sesetengah negara yang mereka berkumpul selepas solat Maghrib di masjid-masjid dan membaca surah Yaasin, kemudian solat dua rakaat dengan niat supaya dipanjangkan umur, dan dua rakaat lagi supaya tidak bergantung dengan manusia, kemudian membaca doa yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari kalangan salaf, dan ia adalah doa yang bercanggah dengan nas-nas yang sahih, juga bersalahan dari segi maknanya)). (Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah (Kuwait: Dar al-Qalam, cet.5, 1990), 2/379-383)

 

Para ulama muktabar lain seperti Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah, Imam al-Suyuti, Abu Bakr al-Turtusi, al-Maqdisi, Ibn Rejab dan lain-lain lagi juga menafikan akan wujudnya amalan ibadah yang khusus pada malam Nisfu Sya’ban ini. Namun, ini bukanlah bererti malam ini tidak mempunyai kelebihannya, bahkan terdapat hadith-hadith yang thabit yang menyebut akan fadhilat dan kelebihannya, tetapi tidak dinyatakan tentang amalan ibadah khusus yang perlu dilakukan.

 

Maka, sebarang ibadah yang dilakukan pada malam tersebut tidak boleh disandarkan dengan mana-mana hadith atau pun menganggapnya mempunyai kelebihan yang khas dan tidak juga dilakukan secara berjemaah. Hal ini telah disebut al-Imam al-Suyuti: ((Dan pada malam Nisfu Sya’ban itu padanya kelebihan, dan menghidupkannya dengan ibadah adalah digalakkan, tetapi hendaklah dilakukan secara bersendirian bukan dalam bentuk berjemaah)). (Rujuk: al-Suyuti, al-amru bi al-ittiba’ wa al-nahyu an al-ibtida’ (Beirut: Dar al-kutub al-Ilmiyah, cet. 1, 1998), hal 61)

 

b) Hadis tentang kelebihan puasa khusus pada hari Nisfu Sya’ban.

 

Berhubung dengan amalan puasa yang khas pada Nisfu Sya’ban, tidak terdapat hadith sahih yang menjelaskan perkara ini, malah ia adalah hadith yang lemah. Tetapi jika seseorang itu berpuasa berdasarkan amalan Nabi saw yang memperbanyakkan puasanya pada bulan ini dan termasuk di dalamnya hari Nisfu Sya’ban, maka ini adalah suatu amalan yang baik dan digalakkan. Begitu juga jika seseorang itu mengamalkan puasa sunat Hari Putih (tanggal 13,14,15 pada setiap bulan hijrah) dan termasuk di dalamnya hari yang ke -15 pada bulan ini atau puasa sunat yang dilakukan pada hari Isnin dan Khamis. Jika puasa ini dilakukan pada Nisfu Sya’ban sahaja dengan menganggap ia adalah sunnah, maka inilah yang dilarang. Menurut Dr Yusof al-Qaradhawi lagi: ((Di dalam kaedah syara’, tidak dibolehkan untuk menentukan sesuatu hari khusus untuk berpuasa atau sesuatu malam yang tertentu untuk dihidupkan dengan ibadah tanpa bersandarkan kepada dalil syara’ kerana sesungguhnya urusan ibadah ini bukanlah urusan yang sesiapa pun berhak menentukannya, tetapi ia adalah hak Allah semata-mata)).(Rujuk: Al-Qaradhawi, Fatawa al-Muasarah, 2/343)

 

c) Hadith tentang amalan akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban.

 

Terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa segala amalan manusia akan diangkat pada malam Nisfu Sya’ban. Justeru, kebanyakan umat Islam akan menghidupkan malam ini dengan membaca surah-surah tertentu (biasanya surah Yaasin) dengan  niat supaya dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan ditetapkan iman. Pendapat ini adalah tidak tepat dan tidak terdapat hadith-hadith sahih yang menjelaskannya.

 

Demikianlah beberapa perkara yang sering diperbincangkan di dalam bulan Sya’ban ini. Semoga melalui beberapa hadith yang dibawa ini serta pendapat para ulama, jelaslah kepada kita tentang kedudukan hadith-hadith tersebut di sisi ulama hadith.

 

Telah kita sedia maklum bahawa sesungguhnya segala perkara yang melibatkan soal pahala, keberkatan, fadhilat dan kelebihan adalah hak milik kekal Allah swt. Tidak ada seorang makhluk pun yang boleh mendakwa dan menjanjikan sebarang fadhilat atau keberkatan tertentu dengan merekacipta amalan-amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabat. Marilah sekali lagi kita menyemak dan memastikan segala amalan ibadah yang kita lakukan ini adalah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw untuk melayakkan amalan tersebut diterima disamping diiringi dengan keikhlasan kepada Allah swt. Ayuhlah kita bersama-sama membenteras kegiatan penyebaran hadith-hadith palsu dan dusta di kalangan masyarakat kita. Semoga kita semua akan mendapat pertolongan dan diberikan kekuatan oleh Allah swt.

 

 

 

Serangan Pemikiran Khurafat & Tahyul

 

Alhamdulillah, bertarikh 21-21 Julai yang lalu, dua kertas kerja saya telah diterima dan berjaya dibentangkan sempena Seminar Kebangsaan: Media & Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh Universiti Sains Islam Malaysia, bertempat di Hotel Equatorial, Bangi-Putrajaya.

Dua kertas kerja tersebut dihasilkan dengan gandingan idea dan kerjasama bersama Sdr. Ezry Fahmy (graduan Kuliyah Ekonomi UIAM). Dua kertas kerja tersebut bertajuk:

1) Media dan Serangan Pemikiran

2) Penerimaan dan Penyampaian Maklumat Oleh Media Melalui Perspektif Islam

Berikut saya kongsikan salah satu bahagian dalam kertas kertas kerja pertama yang menyentuh tentang serangan pemikiran khurafat dan tahyul melalui media..

 

100_0583

 

 

100_0585

 

I.       Pemikiran tahyul ,khurafat dan bidaah

Dari segi etimologi, perkataan khurafat ini berasal dari bahasa Arab: kharafa-yakhrifu-kharfan-khurafatan—manakala bahasa Inggeris merujuk kepada superstition dan superstitio dalam bahasa Latin yang bermaksud sesuatu yang dipetik, atau cerita bohong, dongeng, tahyul dan perkara yang tidak masuk akal tetapi ianya menarik (Ensiklopedia Islam, 1994). Manakala definisi bidaah pula menurut bahasa ialah diambil daripada perkataan Arab bida’ yaitu mengadakan sesuatu tanpa ada contoh. Manakala dari sudut istilah pula takrifan yang paling kemas ialah takrifan Imam Syatibi, beliau mengtakrifkan bidaah sebagai sebagai jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariat, tujuan mengamalkannya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada Allah SWT (Ismail Omar, 2006:326).

Pemikiran dan kepercayaan tahyul dan khurafat ini telah lama wujud dalam masyarakat Melayu nusantara. Sebahagiannya adalah dibawa masuk ke dalam adat dan amalan masyarakat Melayu hasil pengaruh agama-agama atau bangsa-bangsa lain. Namun, hasil kesedaran dan usaha gigih para ulamak dan pendakwah khususnya di alam nusantara Melayu, sedikit demi sedikit amalan dan kepercayaan karut, tahyul dan khurafat ini berjaya dihapuskan. Sebagai contoh, upacara pemujaan laut dan mandi Safar dengan kepercayaan untuk mengelakkan segala mara bahaya dan sial yang akan berlaku.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna masyarakat Islam di Malaysia ini telah bersih dari segala amalan dan pemikiran tahyul dan khurafat yang bercanggah dengan akidah Islam. Masih terdapat sebahagian masyarakat Melayu Islam yang mana pemikiran dan amalan mereka dicemari dengan unsur-unsur tahyul dan khurafat. Sebagai contoh, amalan zikir, pemujaan dan kepercayaan karut yang berlaku di kubur di Pulau Besar, Melaka[1].

Dukacitanya media elektronik pula cuba menyuburkan semula pemikiran dan amalan tahyul, khurafat dan bidaah ini melalui filem dan program-program televisyen. Sejak kebelakangan ini didapati begitu banyak filem-filem dan drama-drama berunsurkan seram yang mengisahkan cerita-cerita berkaitan hantu, jin dan syaitan dihasilkan oleh pengarah-pengarah filem negara kita.

Jika kita singkap kembali sejarah filem Melayu,  filem Pontianak, yang diterbitkan pada 1975, merupakan filem Melayu genre seram pertama yang diarahkan oleh BN Rao. Filem yang menampilkan primadona Datuk Maria Menado ini mendapat sambutan di luar jangkaan. Namun, selepas itu  industri perfileman Malaysia dilihat seperti ketandusan filem genre seram selepas terpaksa berdepan dengan peraturan dan penguatkuasaan yang tegas oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada waktu itu. Pengharaman filem Fantasia arahan Aziz M.Osman, atas alasan filem itu mengandungi unsur-unsur tahyul dan boleh memesongkan akidah, adalah salah satu bukti ketegasan pihak LPF ketika itu. Kesannya menyebabkan ramai pengusaha filem tidak berani untuk menghasilkan filem-filem seram lagi kerana membayangkan risiko kerugian jika filem mereka itu tidak diluluskan. Continue reading Serangan Pemikiran Khurafat & Tahyul

Muharam: Elakkan Kepercayaan Karut

 

 

 

Oleh:

Abdul Razak bin Abd Muthalib

 

 

Bulan Muharram adalah salah satu daripada bulan agung di dalam kalendar Islam. Beberapa peristiwa penting berlaku di dalam bulan ini. Allah swt juga  mengurniakan kelebihan yang banyak bagi sesiapa yang meningkatkan amal di bulan yang mulia ini. Antara yang sering diamalkan oleh umat Islam di dalam bulan ini ialah berpuasa sunat. Namun, persoalannya adakah amalan berpuasa sunat yang dilakukan ini bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw atau pun sebaliknya? Justeru, bagi menjawab persoalan ini, kita tiada pilihan lain lagi yang lebih baik kecuali menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan  hakim bagi segala penentuan.

 

Jika diteliti hadith-hadith Rasulullah saw, maka kita akan dapati  banyak riwayat yang membicarakan tentang  amalan puasa sunat di bulan Muharam ini serta ganjarannya. Namun, satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ialah memastikan riwayat-riwayat tersebut memang pasti bersumberkan daripada Rasulullah saw. Ini penting kerana setiap amalan yang ingin kita lakukan mestilah bertepatan dengan sunnah Rasulullah saw yang sahihah agar ianya diterima dan diberikan ganjaran pahala.                       

 

Di antara hadith-hadith sahih yang membicarakan tentang amalan puasa di bulan Muharram ini ialah:

 

 

Hadith-hadith tentang puasa hari A’syura:

 

  • 1- Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi saw datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: ((Apakah ini?)). Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda saw bersabda: ((Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu)), maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa“. (Riwayat al-Bukhari ) Continue reading Muharam: Elakkan Kepercayaan Karut

Diari 9906 (Episod 13)- Di Mana Hikmah Di Dalam Dakwah?

 

15/12/06

 

 

Di mana hikmah di dalam dakwah???

maulid-nabi.jpg

Tempat yang dikatakan sebagai tempat kelahiran Nabi Muhammad 

Hari ini adalah hari kedua aku bertugas sebagai penterjemah di Bukit Thur. Selepas selesai bertugas, aku pulang ke asrama untuk berehat sebentar. Selepas menjamah hidangan tengah hari, aku dan beberapa orang teman terus pergi ke Masjid al-Haram. Memandangkan waktu solat Asar masih lama lagi, kami terus ke tempat yang dikatakan tempat kelahiran Nabi saw (Maulid Nabi). Rumah ini terletak berdekatan dengan kawasan Masjid al-Haram. Dahulu, di tempat ini pernah didirikan sebuah masjid oleh al-Khaizuran iaitu pada zaman pemerintahan Abbasiyah. Kemudian ia digantikan dengan dibina sebuah perpustakaan awam. Pembinaan perpustakaan ini dilakukan dengan keputusan dan pembiayaan Syeikh Abbas Qattan pada tahun 1370H/1950M. Perpustakaan ini kekal sehingga sekarang (ketika diari ini ditulis iaitu pada 2006) dan dikenali sebagai “Maktabah Makkah al-Mukarramah”. Melawat tempat ini bukanlah suatu sunnah yang dituntut. Malah, ia boleh jadi suatu kesalahan jika disertai dengan kepercayaan atau amalan khurafat yang tertentu.

Di tempat ini juga ada satu kumpulan yang ditugaskan sebagai penterjemah dan memberi penerangan kepada para jamaah haji yang datang melawat. Disebabkan kawasan ini terletak berdekatan dengan Masjid al-Haram, jadi tidak putus-putus jemaah haji yang datang melawat. Oleh sebab itu, petugas di sini diletakkan sepanjang masa secara bergilir-gilir dari pagi sampai malam. Sementara ada di sini, aku juga turut membantu mereka untuk memberi penerangan kepada orang ramai yang datang melihat tempat tersebut.

20061213649.jpg

Penulis bersama beberapa orang sahabat yang bertugas di Maulid Nabi bertolak pulang ke asrama selepas solat Isyak (Dari kiri: Penulis, Murad (Rusia), Tirmizi (Malaysia), Abdul Rahman (Thailand).. 

Diringkaskan cerita, dalam ramai-ramai orang yang datang melawat tempat tersebut, ada seorang lelaki -kalau tidak silap jemaah haji dari India- yang datang menghampiri bangunan maktabah ini. Kemudian dia mengusap dinding bangunan ini dengan tangan dan terus menyapu di badannya. Biasanya perbuatan seperti itu dilakukan dengan tujuan untuk mengambil keberkatan dan kepercayaan-kepercayaan lain. Ternyata, memang perbuatan itu salah dari segi agama kerana tidak ada dalil yang jelas menyebut tentangnya. Continue reading Diari 9906 (Episod 13)- Di Mana Hikmah Di Dalam Dakwah?

Tawaran Akhir Tahun !!!

 

 

 

 

 

Rebut Peluang Ibadah di Bulan Zulhijjah

Oleh:

Abd al-Razzaq bin A. Muthalib

 zulhijah.jpg

1429 Hijrah semakin melabuhkan tirainya. Alhamdulillah. Marilah kita melafazkan rasa syukur buat kesekian kalinya diatas kurniaan nikmat yang tidak terhingga selama ini. Segala puji bagi Allah juga kita panjatkan kehadhrat-Nya yang telah menciptakan masa dan menyediakan di samping masa tersebut kelebihan-kelebihan tertentu. Justeru, kita dapati ada bulan-bulan, hari-hari dan malam-malam tertentu yang istimewa dan disediakan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Ini semua membuktikan rahmat dan kasih sayang dari Yang Maha Pencipta untuk sekelian hamba-Nya yang memberikan peluang untuk kita menambahkan amal soleh sebagai persediaan dan bekalan  sebelum dijemput pulang semula ke pangkuan-Nya.

Sepatutnya setiap muslim haruslah merebut peluang dan tawaran yang disediakan ini untuk menampung kekurangan dan kecacatan amalan-amalan yang telah lepas. Maka beruntung dan berbahagialah bagi mereka yang mengisi ruang ini dengan amalan soleh yang dapat mendekatkan lagi diri seorang hamba dengan Pemiliknya Azza wa Jalla. 

Diantara peluang yang disediakan ini ialah pada 10 terawal dari bulan Zulhijjah. Allah swt telah memuliakan hari-hari ini dengan kelebihan yang banyak berbanding dengan hari-hari yang lain. Amalan-amalan soleh yang dilakukan pada hari ini juga berlipat kali ganda ganjarannya berbanding dengan hari-hari lain. Lihat saja sabda Rasulullah saw ini:

  • – Daripada Ibn Abbas r.a, daripada Nabi saw bersabda (bermaksud): ((Tiadalah hari-hari lain yang amalan soleh padanya lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Para sahabat bertanya: Tidak juga jihad fi sabilillah? Nabi menjawab: ((Tidak juga jihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak kembali sesuatu apa pun)) (Riwayat al-Bukhari)

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadis ini telah mendatangkan pelbagai riwayat dan pandangan para ulamak dalam menentukan apakah yang dimaksudkan dengan hari yang sepuluh. Berdasarkan pelbagai riwayat tersebut, Ibn Hajar mengatakan yang dimaksudkan ialah 10 hari (terawal) daripada bulan Zulhijjah. Manakala yang dimaksudkan dengan ((kecuali seorang lelaki yang keluar dengan diri dan hartanya dan tidak kembali sesuatu apa pun)) ialah seorang yang syahid di medan jihad. Menurut Ibn Hajar juga, hadis ini menunjukkan betapa  besarnya nilai jihad dan berlipat ganda pula darjatnya. Ia juga menunjukkan adanya kelebihan sesetengah masa berbanding masa-masa yang lain dan juga kelebihan sepuluh hari daripada Zulhijjah berbanding hari-hari lain dalam setahun. (Rujuk: Al-‘Asqalani, Ibn Hajr, Fath al-Bari (Kaherah: Dar al-Hadith, cet. 1, 2004), jil.2, m/s 527-528)

Ketahuilah sesungguhnya kemuliaan dan kelebihan 10 hari terawal daripada bulan Zulhijjah ini dapat dilihat daripada beberapa perkara, antaranya: Continue reading Tawaran Akhir Tahun !!!