Category Archives: Catatan Kembara

Diari 9.9.06 (episod 3)

 Terbayang Lambaian Ka’bah

2007031716901.jpg

Lebih kurang pukul 3.35 pagi, pesawat yang kami naiki mula berlepas dari KLIA. Sebelum itu, susunan langkah yang aku atur untuk menuju ke dalam pesawat bercampur baur dengan pelbagai perasaan. Terasa berat juga untuk meninggalkan keluarga, sahabat-sahabat, kawan-kawan, kenalan dan tanah air. Namun begitu, aku pujuk dan beri semangat kepada diri sendiri. Kenang dan ingat kembali harapan dan matlamat pemergian aku ini. Kenapa mesti bersedih jika inilah yang ditagih. Kenapa terasa berat jika inilah yang diharap. Tambahan pula, tempat yang dituju adalah tempat bermulanya ilmu. Perkembangan Islam bermula disitu. Tiada tempat semulia itu. Lalu, langkah ku teruskan dengan penuh yakin dan semangat. Sesekali ku toleh ke belakang memberikan lambaian perpisahan dan harapan doa dari ibu bapa dan sahabat handai yang hadir.

Pesawat yang kami naiki berhenti transit di Doha Airport lebih kurang pukul 11.30 pagi atau ketika itu 6.15 pagi waktu tempatan. Kami duduk berehat di sini hampir 7 jam sebelum menuruskan semula perjalanan pada pukul 1.50 petang waktu tempatan. Kali ini perjalanan terus dari Doha menuju ke Jeddah. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 2 jam dan kami selamat sampai di Airport Jeddah pada pukul 4.15 petang. Di sini, kami dijemput oleh kawan kepada Ust.Ismail Omar. Beliau dan beberapa kawan lagi telah menjemput kami dan membawa kami terus memasuki kota suci Makkah al-Mukarramah.

Di dalam perjalanan, hati ini seolah-olah mendesak dan tak sabar-sabar untuk sampai di sana. Mata pula ternanti-nanti untuk sekali lagi menatap Baitullah yang mulia itu. 6.50 petang, kami selamat sampai di Masjidil Haram. Tercengang aku seketika melihat Masjidil Haram. Seakan-akan di dalam mimpi. Tidak percaya yang aku sekarang telah berada di sebuah masjid yang Rasulullah saw menjanjikan ibadat di dalamnya akan digandakan sebanyak 100 ribu kali ganda. Syukur padaMU Ya Allah, kerana sekali lagi memberi daku peluang ini. Laungan azan berkumandang. Ooo… dah Maghrib rupanya. Lantas, aku dan kawan-kawan terus menuju masuk ke dalam masjid. Ketika ini, kelihatan ribuan umat Islam berpusu-pusu menuju ke masjidil haram. Tidak kira warna kulit, bahasa, bangsa, keturunan dan pangkat, semuanya datang menyahut seruan suci ini. Alangkah tenangnya rasa hati ini, melihat suasana yang begitu menenangkan ini.

 20061214655.jpg

Selesai sahaja solat Maghrib, perasaan semakin teruja untuk menatap Baitullah. Lalu, aku mengajak kawan-kawan lain untuk bertawaf sementara menunggu waktu Isya’. Selesai tawaf, kami beriktikaf dan menunggu masuknya solat Isya’.

Selesai solat Isya’, kami tidak tahu ke mana hendak dituju. Tempat bermalam pun belum tentu. Badan pun dah lesu. Lantas, ilham diberikan. Aku teringat yang sebelum berangkat dulu, seorang kawan, Syed Amir ada bagi satu nombor untuk dihubungi kalau ada apa-apa masalah. Lalu, aku pun terus hubungi Sdr. Abd Rahman. Beliau merupakan salah seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Ummu al-Qura, Mekah. Nanti, akan ku ceritakan lebih lanjut tentang dirinya.

Setelah aku perkenalkan diri, Abd Rahman pun mengaturkan bantuan untuk kami. Kebetulan waktu itu, Sdr Hakim (lagi seorang pelajar Malaysia) juga berada di Masjid al-Haram. Jadi, pertemuan diantara kami dan Hakim diatur. Masing-masing tidak pernah berjumpa dan belum lagi kenal. Akhirnya, kami berjanji untuk bertemu di depan KFC berhadapan dengan Masjid al-Haram. Aku memberikan ciri-ciri pakaian yag aku pakai supaya lebih senang untuk dikesan. Alhamdulillah, sampai sahaja aku di depan KFC, tiba-tiba terdengar “Abd Razak !!!!”. Aku berpaling ke arah suara tersebut. Kelihatan seorang lelaki berjubah lingkungan 20-an tersenyum manis ke arah ku. Dia terus bertanya: Abd Razak ke ni?…Aku menjawab: Ya…anta kawan Abd Rahman ye?..Hakim menjawab: Ya…Lalu, kami pun bersalaman dan berpelukan tanda permulaan ukhuwah.

Tanpa panjang cerita, aku pun memanggil kawan-kawan yang lain. Lalu, Hakim membawa kami ke rumah Persatuan Pelajar Malaysia Mekah (PPM) yang terletak di kawasan Aziziyah. Kami menaiki teksi untuk ke sana atau lebih dikenali di sini “kereta sapu”. Inilah kali pertama aku naik teksi yang “menyumbat” 7 orang orang penumpang. Kerusi depan 2 (3 orang termasuk driver) dan 5 orang dibelakang. Unik sungguh orang-orang Arab ni. Ini baru permulaan. Nanti ada lagi episod tentang “keunikan” orang Arab ni.

Sebelum sampai di PPM, kami berhenti makan malam dulu di sebuat restoran yang berhampiran. Kami dijamu dengan nasi Arab dan ayam panggang. Dengan penuh berselera kami menyantapnya. Maklumlah, masing-masing lapar. Selesai makan, kami pun berjalan menuju ke PPM. Sampai di PPM, rupa-rupanya sudah ada beberapa orang lagi pelajar Malaysia yang sedang menunggu menyambut kedatangan kami. Bermula lagi satu episod jalinan ukhuwah baru dalam hidupku…Selepas berkenalan sedikit sebanyak, kami pun berehat dan terus tidur di situ dengan tidak pasti apakah nasib yang tekah disusun Ilahi untuk kami esok…..

DIARI 9.9.06 (Episod 2)

Selamat Tinggal Malaysia….!

Setelah 2 kali berlaku perubahan jadual, akhirnya hari ini (9/9/06), jadual muktamad di perolehi. Penerbangan aku yang pada asalnya 7.30 pagi diawalkan kepada 3.00 pagi. Setelah semua siap, aku bertolak ke KLIA. Turut serta bersamaku ialah 2 insan yang paling banyak berjasa dalam hidupku. Mak dan ayah aku yang sampai dari kampong sehari awal. Walau pun jadual telah berubah, mereka tetap sanggup menunggu. Abang aku yang kebetulan berkursus di KL, turut hadir.

Jasa Sahabat

Aku juga tidak boleh lupakan jasa dan pertolongan teman serumahku, Effi. Dia telah memberikan khidmat keretanya dan dia sendiri turut bersama-sama ke KLIA. Walau pun dalam keadaan letih dan mengantok, dia sanggup untuk memandu. Terima kasih. Jasamu dikenang. Seorang lagi sahabat baik ku yang mesti aku catatkan pengorbanannya ialah Amin Continue reading DIARI 9.9.06 (Episod 2)

Diari 9.9.06 (siri 1)

D:\My Documents\My Pictures\Mecca.jpg


Hari ini terukir satu lagi lakaran baru dalam diari hidupku. Impian dan harapan yang telah ku tanam sejak 6 tahun lalu hampir menjadi kenyataan, walau pun ianya tidak seperti mana yang ku citakan. Namun ku tetap bersyukur, Tuhan Yang Maha Kaya masih memberikan peluang ini. Cita-cita dan impian ku untuk mendalami ilmu agama di negara timur tengah, khususnya Arab Saudi, akhirnya tercapai, biar pun ianya dalam tempoh yang seketika cuma. Aku diterima masuk untuk mengikuti pengajian di Ma’had ‘Idad al-Aimmah wa al-Duat, Rabitah al-‘Alam al-Islami, Mekah.

Biarpun berat juga hati ini untuk meninggalkan ibu bapa, sanak saudara, teman-teman dan tanah air tercinta, namun perjuangan ini mesti diteruskan. Sekali ku melangkah, tidak akan ku undur kembali. Patah sayap ku bertongkatkan paruh, namun gunung yang ku daki, tetap ku daki jua. Aku tidak boleh lemah semangat dan berputus asa. Apatah lagi apabila terkenang kembali kekecewaan yang pernah ku alami suatu ketika dahulu. Inilah masa dan peluangnya untuk ku tebus kembali. Semua ini membuatkan semangat ku terus berkobar semula.

D:\My Documents\My Pictures\kahba-at-dawn.jpg


Persiapan dibuat. Kelengkapan disediakan. Beberapa majlis kecil-kecilan diadakan. Mak dan ayah aku adalah antara manusia yang paling gembira dengan keputusan ku ini. Aku masih teringat kali pertama aku memberitahu berita ini, tiada lafaz lain yang diucapkan oleh mereka kecuali kata-kata syukur dan gembira. Sokongan demi sokongan diberikan oleh dua individu penting dalam hidupku ini.

Seperti biasa telah menjadi adat orang-orang kampong, apabila ada anak-anak atau ahli keluarga yang akan pergi bermusafir jauh menuntut ilmu, kenduri kesyukuran akan diadakan. Pada malam Rabu, 6/6/09, adat yang sama di lakukan oleh mak dan ayah aku. Aku berasa terharu dengan pengorbanan dan kesungguhan mereka berdua terutamanya dan sanak saudara lain serta jiran tetangga yang saling berganding bahu membuat persediaan untuk kenduri ini. Malamnya, selepas solat Isya’, jemaah dari masjid pun datang tanda majlis akan bermula tidak lama lagi. Turut hadir dalam majlis ini ialah beberapa orang sahabat dari UIA yang tinggal berdekatan iaitu Arif (kawanku sejak sekolah menengah), Muaz; family (yang telah ku anggap seperti adik kandung sendiri), Hafiz (wakil PMIK). Kehadiran mereka membuatkan aku bertambah terharu.

Tetapi, petang tadi (6/9) aku hampir hendak menitiskan air mata. Di kala ramai adik beradik dan sanak saudara berkumpul, adik bongsuku Razif, tidak dapat pulang ke rumah (belajar di Kulim). Memang pada mulanya, dia tidak dapat balik kerana terpaksa menyiapkan assignment dan membuatkan persediaan untuk exam. Tetapi selepas aku menyatakan harapan untuk berjumpa dengannya sebelum aku berangkat, dia mengambil keputusan untuk pulang. Waktu ketika itu sudah hampir 6.30 petang. Dia minta tolong kawan untuk hantar ke stesen bas. Malangnya, sampai di stesen, bas ke Sg. Petani telah habis. Dia pulang semula ke kampus dan menghantar sms yang dia tidak dapat pulang. Aku terus sebak. Apatah lagi, telah lama aku tidak berjumpa dengannya. Apakan daya, mungkin ada hikmah di sebalik apa yang terjadi ini…

(ikuti sambungannya nanti…)

D:\My Documents\My Pictures\Razak.com\Razak 2.jpg

Tinta Kembara???

Assalamualaikum….

Pengenalan kepada ruang Tinta Kembara….Tinta Kembara adalah salah satu ruang yang akan saya bina dalam laman ini. Ianya akan dimuatkan dengan catatan pengalaman peribadi yang dilalui sepanjang kembara menuntut ilmu, yang saya rasa boleh dikongsi dengan pembaca sekelian. Insya Allah…sebagai pembuka bicara, Tinta Kembara ini akan saya mula dengan catatan pengalaman saya semasa kembara menuntut ilmu di bumi Suci, Mekkah al-Mukarramah suatu tika dahulu…Catatan ini berjudul Diari 9.9.06…..