Category Archives: Uncategorized

Muhasabah Ramadhan (2)

googlequranMembaca al-Quran

 

Semasa di musim Ramadhan, akan wujud juga satu suasana yang amat baik dan mesti diteruskan iaitu amalan membaca al-Quran. Kedengaran di masjid-masjid, surau-surau malah di pejabat-pejabat gema suara-suara umat Islam mengalunkan Kalamullah. Tidak kurang juga yang turut serta dalam program tadarus al-Quran yang dianjurkan oleh masjid-masjid. Ada juga yang secara individu bersungguh-sungguh untuk menghabiskan 30 juzuk al-Quran dalam bulan Ramadhan. Kalau sebelum ini, apabila waktu rehat masing–masing akan menyerbu kantin-kantin atau restoran-restoran untuk makan sekejap dan berborak-borak begitu lama. Tetapi Ramadhan telah mengubah suasana ini. Ramai yang membuat pilihan untuk terus ke masjid atau surau-surau dan diisi waktu ini dengan membaca al-Quran. Sesetengahnya pula, kesempatan bulan Ramadhan inilah digunakan untuk membuka semula al-Quran yang telah ditutupnya sekian lama semenjak khatam al-Quran dahulu. Ada pula yang merangkak-rangkak dan tergagap-gagap membaca al-Quran akibat tidak membacanya terlalu lama. Kadangkala apabila tibanya Ramadhan masing-masing akan membuka almari dan rak-rak mencari  semula  al-Quran yang pernah disimpan dahulu pada Ramadhan tahun lepas. Ada al-Quran yang telah “dibaca” oleh lipas dan anai-anai disebabkan manusia hanya asyik menyimpannya sahaja tanpa dibaca. Ada yang telah diselimuti oleh debu-debu. Mungkin inilah yang dikata “suci dalam debu”.

 

Persoalan seterusnya, kenapa suasana ini hanya berlaku pada bulan Ramadhan? Adakah al-Quran ini diturunkan hanya untuk dibaca pada bulan Ramadhan? Apakah fadhilat membaca al-Quran terdapat pada bulan Ramadhan sahaja? Kenapa di bulan Ramadhan kita boleh mencari masa untuk membaca al-Quran? Apakah perjuangan Rasulullah saw, para sahabat dan generasi yang selepas mereka yang begitu bertungkus lumus untuk menegakkan al-Quran, disambut oleh genarasi kita hanya dengan membacanya pada bulan Ramadhan? Apakah kita telah memahami atau cuba untuk untuk memahami segala isi kandungan al-Quran untuk diamalkan di dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah sekeliannya? Tepuklah dada, tanyalah hati yang dipandu oleh iman dan wahyu Ilahi.

 

Oleh itu, marilah wahai umat Muhammad! Generasi penyambung perjuangan Rasulullah saw dan para salaf al-salih. Ayuh! Dengan daya upaya dan segala kudrat yang ada, kita tegakkan tuntutan al-Quran dan jadikannya bacaan rutin kita seharian. Usah biarkan al-Quran terus tersimpan di dalam almari atau rak-rak samada di masjid-masjid atau di rumah. Mana-mana rumah yang masih belum ada Al-Quran dan terjemahannya, dapatkannya sekarang juga. Bagi mereka yang masih belum lancar al-Quran, jangan malu dan segan untuk terus belajar dan belajar, lagi dan lagi. Marilah kita membaca al-Quran dengan cuba untuk memahami isi kandungannya. Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk dipertandingkan, tetapi sebagai kitab hidayah untuk memandu kita hidup di dunia ini supaya kita mengetahui yang mana satu jalan yang betul dan jalan yang sesat. Untuk renungan, perhatilah dengan mata hati ganjaran yang dijanjikan untuk mereka yang sering membaca al-Quran:

 

Daripada Abu Umamah ra  berkata, Aku mendengar Rasulullah saw bersabda bermaksud: ((Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat sebagai syafaat kepada tuannya)). (Riwayat Muslim)

Bye…bye…Ramadhan!

DI MANA KESAN DIDIKAN RAMADHAN?

Oleh:

Abd al-Razzaq A.Muthalib Ahmad

“Ramadhan….

Kedatanganmu dinanti oleh insan yang mengerti,

Pemergianmu dirindui oleh mereka yang merasai,

Kau sediakan peluang yang sama, tapi natijahnya berbeza,

Hadirlah dikau bersama rahmah dan maghfirah,

Moga kami dapat merasai nikmat al-Jannah”

(23/9/06, 12.41am, Mekah al-mukarramah)

Ramadhan menjelma lagi. Bagi insan yang telah mengecapi dan merasai nikmat Ramadhan ini, kedatangannya adalah suatu yang amat dinanti. Ramadhan adalah sebuah madrasah yang memberikan tarbiyah untuk manusia meningkatkan ketaqwaan kepada Allah. Hakikatnya, Ramadhan bukan hanya sekali ini saja, tetapi ianya telah muncul silih berganti saban tahun. Bagaimana peredaran malam dan siang, bulan dan matahari, begitulah silih bergantinya bulan-bulan ini. Apabila Ramadhan datang setiap tahun, maka kita juga akan berpuasa setiap tahun. Berpuasa bukanlah sekadar acara rutin tahunan sepertimana kita menyambut hari kemerdekaan. Tetapi ianya merupakan suatu ibadah yang wajib ditunaikan dengan penuh penghayatan dan sepatutnya menatijahkan suatu kesan yang kekal sepanjang zaman.

Ramadhan juga sudah pasti akan melabuhkan tirainya nanti. Namun begitu, ia tidak seharusnya dilupakan begitu sahaja. Ini kerana Ramadhan telah mengajar kita pelbagai erti tentang hakikat insan dan kehidupan. Pemergiannya diganti dengan kehadiran Syawal yang melambangkan kegembiraan dan satu kemenangan. Kehadiran Syawal juga menandakan berakhirnya satu proses pertarbiyahan di madrasah Ramadhan.

Apa pula selepas Ramadhan? Bagaimana pula amalan kita di bulan Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah, Muharam, Safar dan bulan-bulan yang lain? Bagaimana juga akhlak kita di bulan-bulan yang lain? Apakah kesannya setelah sebulan kita mendapat latihan pada bulan Ramadhan? Adakah semuanya terhenti apabila tibanya 1 Syawal? Justeru, di depan kita adalah beberapa persoalan yang tidak cukup jika hanya dijawab dengan lisan tanpa dibuktikan dengan tindakan. Continue reading Bye…bye…Ramadhan!

Gerhana Bulan: Bukti Kebesaran Tuhan

Pada awal pagi 17 Ogos 2008, kita akan berpeluang untuk menyaksikan Gerhana Bulan Separa dari jam 2:25 pagi hingga 6:29 pagi. Kali terakhir gerhana seumpana ini dapat disaksikan adalah pada 8 September 2006.

Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama bulan melintasi bayang Bumi.
Gerhana pada 17 Ogos ini akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada jam 02:25 pagi waktu Malaysia. Continue reading Gerhana Bulan: Bukti Kebesaran Tuhan

Sah!Saiful diliwat jika….

Angkara dusta dan fitnah, keharmonian akan musnah

 

Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur jahat ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.

 

Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain. Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah saw menjawab: ((Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya)). Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”. Rasulullah saw menjawab: ((Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya)). (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).

 

Syaikh Muhammad ibn Soleh al-‘Uthaimin di dalam Syarh Riyadh al-Salihin telah membahagikan dusta ini kepada dua bahagian:

 

Pertama: Dusta terhadap Allah dan RasulNya. Inilah jenayah yang paling besar dan suatu kezaliman. Firman Allah swt (bermaksud): ((Oleh itu, siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim)) (al-An’am:144).

 

Dusta terhadap Allah dan Rasul ini berlaku dalam dua keadaan iaitu:

Menyandarkan kepada Allah atau kepada Rasulullah saw sesuatu yang bukan daripada firmanNya atau pun sabda Baginda saw. -Pencipta hadis palsu termasuk dalam golongan ini-.

Menafsirkan sesuatu ayat al-Quran atau hadis Nabi dengan tafsiran yang salah lagi menyimpang daripada apa yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.

 

 

Rasulullah s.a.w. memberikan suatu peringatan dan ancaman yang berat terhadap sesiapa yang melakukan pendustaan ke atasnya dengan sabda yang bermaksud: ((Sesiapa yang melakukan dusta keatasku dengan sengaja, maka siapkanlah tempat duduknya di dalam api neraka)). (Muttafaqun’alaihi). Cukuplah amaran Allah dan Rasul-Nya ini sebagai peringatan kepada kita.

 

Waspadalah dalam berbicara, apatah lagi lagi jika ia membabitkan hal agama. Suasana hari ini mempamerkan kepada kita bahawa ramai umat Islam yang tidak memahami secara jelas tentang sesuatu hal yang berkaitan dengan Islam tetapi berminat untuk mengambil bahagian dalam mengulas dan menyampaikan pendapat mereka. Natijahnya, maka muncullah pendapat-pendapat pelik yang lari jauh dari landasan yang sebenar. Bahkan sebahagian daripada kalam-kalam mereka itu jika diamati boleh menjejaskan kesahihan akidah mereka.

 

Continue reading Sah!Saiful diliwat jika….