
Kembali Kepada Asal
July 20th, 2010 by Abdul Razak No comments »Oleh:
Abdul Razak Muthalib
Lembaran sejarah mencatatkan betapa umat Islam ini diuji dengan pelbagai jenis fitnah, krisis dan kekeliruan pemikiran yang dahsyat. Agama Islam yang suci telah dicemari dengan berbagai-bagai unsur kesesatan, khurafat dan bidaah. Kemurnian Al-Quran dinodai dengan penyelewengan dan pengeliruan. Al-Sunnah pula terpaksa berhadapan dengan jenayah pemalsuan dan kejahatan mereka yang mengingkarinya. Ini semua adalah gambaran kepada fitnah yang dahsyat dan bencana yang buruk terhadap agama Islam.
Namun, agama ini tetap dipelihara oleh Allah Azza wa Jalla, kerana itulah janjiNya. Andaikan tidak, maka cukup sekadar satu sahaja fitnah dan bencana yang melanda, ia telah cukup membuatkan Islam ini menjadi porak peranda. Dasar-dasarnya akan dicela, panduan-panduannya akan dinoda, malah mungkin akan sampai tahap dilenyapkan begitu sahaja, tanpa ada bekas tersisa.
Tetapi, syukur pada Yang Berkuasa kerana ini semua tidak menjadi nyata. Agama ini senantiasa terpelihara. Tidak akan ada sedikit ruang pun untuk musuh-musuh agama bermaharajalela dengan menabur fitnah dan kata nista, memutar belit fakta dan angka, menokok tambah sesuatu yang tidak ada; kecuali akan bangkit dan muncul mereka yang berjuang dan membela. Jika tidak, sudah pasti jalan agama yang suci ini akan berlumuran dengan najis kesesatan dan penyelewengan sebagaimana yang telah berlaku kepada agama Yahudi dan Nasrani.
Telah kita maklum, amanah menyebarkan risalah agung ini telah disempurnakan oleh junjungan mulia Rasulullah s.a.w. Selepas kewafatan baginda, amanah itu terus dipikul oleh generasi sahabat yang adil. Mereka menunaikannya dengan penuh amanah. Tidak dikurang atau ditambah, kecuali semuanya bertepatan dengan sunnah. Kemudian, tugas ini terus disambung oleh generasi tabiin dan generasi selepas mereka. Ketika ini, daerah Islam mula bercambah, jumlah muslimin semakin bertambah. Ajaran Islam telah merentasi sempadan bangsa dan negara hatta kepada Rom dan Parsi, dua kuasa besar dunia. Kesannya, Islam telah bercampur baur dengan anasir-anasir luar yang bukan dari ajaran Islam. Perkara ini berlaku sama ada dengan sengaja atau pun kebetulan saja.
Justeru, lantas bangkit para ulamak pejuang agama. Kesucian al-Quran dan al-Sunnah terus dibela dan dipelihara, walaupun kadang-kadang ada sesetengah dikalangan mereka yang terpaksa menghadapi tentangan dan tohmahan musuh durjana dan kezaliman sang penguasa. Namun, berkat juang para ulamak yang ikhlas ini, ajaran Islam tetap kekal suci dan murni. Terus tersebar ke serata pelusuk dunia dan negeri.
Panji-panji perjuangan para ulamak yang ikhlas dahulu terus diwarisi oleh generasi kini. Lihatlah, masih ada segolongan manusia yang dibangkitkan untuk terus menjadi benteng kepada agama yang suci. Inilah janji Ilahi dan sabda nabi. Oleh itu, tidak akan ada ruang walau pun seinci dalam agama ini untuk sebarang bentuk penyelewengan, pengubahan, tokok tambah dan pecah belah. Jika ada, pasti ada juga yang akan bangun menjelaskan kembali ajaran al-Quran dan sunnah yang asli.
Hakikatnya, dalam keadaan dunia semakin berubah zaman bertambah mewah, serangan terhadap Islam juga semakin bertambah. Pelbagai cabaran terpaksa dihadapi bagi memastikan keaslian Islam tetap terjaga rapi. Ada tentangan daripada musuh Islam yang ternyata penuh dengan hasad dengki dan iri hati. Mereka ingin melihat Islam ini terus terkubur sepi. Ada juga kekeliruan dan perpecahan yang berpunca dari orang Islam sendiri. Mereka bercakap tentang Islam dengan nada ingin membela, tetapi sebenarnya merekalah yang menghancurkannya. Mereka berbicara dengan hujah untuk berdakwah, tetapi sebenarnya merekalah yang menyebarkan dakyah. Mereka berdiskusi dengan alasan untuk memartabatkan al-Quran dan sunnah, sebenarnya pemikiran mereka yang telah punah ranah. Satu persatu pakaian asal Islam dikoyak rabak, ingin diganti dengan pemikiran mereka yang rosak.
Untuk menghadapi penyakit fitnah yang semakin bernanah ini, umat Islam mestilah berusaha untuk melahirkan kader-kader pejuang agama seperti generasi agung dahulu; para salaf al-soleh yang disifatkan sebagai generasi al-Quran yang unik. Satu generasi yang berpaksikan kepada manhaj yang menjamin keutuhan, kemengangan dan keunggulan. Benarlah kata Imam Malik: ”Tidak akan baik urusan umat ini, melainkan dengan apa yang telah menjadikan baik generasi pertama daripada umat ini”.
Justeru, tiada cara lain yang lebih meyakinkan bagi memastikan umat ini terus mulia dan agama ini terus terpelihara, melainkan kita perlu kembali kepada asal.
Wahabi: Apa Kata Orang-orang Bijak?
November 17th, 2009 by Abdul Razak 2 comments »
WAHABI: APA KATA ORANG-ORANG BIJAK?
Oleh:
A. Razak Muthalib

Gambar hiasan
Sejak akhir-akhir ini antara istilah popular yang disebut oleh kebanyakkan orang ialah “Wahabi”. Istilah ini biasanya dinisbahkan kepada gerakan dakwah yang dijalankan oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, walaupun pada asalnya gelaran ini diberikan kepada golongan lain. Peliknya, istilah ini tidak pernah pun diisytiharkan oleh tuan empunya badan, tetapi dilontarkan oleh pihak musuh, lalu menimbulkan seribu satu persoalan.
Di Malaysia, ada yang menyebut-menyebut istilah ini dengan tujuan ingin mencari kebenaran. Kurang selesa dengan pelbagai pandangan yang berkeliaran, lantas terus dicari dan dikaji melalui sumber yang dipercayai. Tidak kurang juga mereka yang tiba-tiba sengaja menggembar gemburkan istilah ini, dengan tujuan keburukan. Bukan fakta dan hujah yang diberikan, tetapi kata-kata nista dan fitnah yang dihamburkan. Malah, sampai tahap sanggup menyesatkan dan mengkafirkan. Apakah punca semua ini? Mungkin kejahilan yang telah menipu mereka, atau kedengkian yang menghiasi mereka.
Angkara Dusta & Fitnah, Yang Benar Dilihat Salah
November 6th, 2009 by Abdul Razak 3 comments »Angkara dusta dan fitnah, yang benar dilihat salah
Oleh:
Abd al-Razzaq A. Muthalib

Gambar hiasan
Fitnah dan dusta merupakan dua elemen yang menjadi racun perosak dalam kehidupan bermasyarakat. Oleh itu, Islam yang senantiasa menyeru ke arah keharmonian dan keamanan, telah menetapkan dua perkara ini sebagai larangan yang tidak boleh dilakukan. Sekiranya dua unsur perosak ini dibiarkan berlegar di dalam masyarakat, apatah lagi jika dijadikan amalan dan suatu kemestian, maka nantikanlah kehancuran dan kepincangan.
Fitnah ialah mengatakan sesuatu atau menyebarkan sesuatu fakta yang tidak benar dan tidak disukai tentang pihak lain. Secara umumnya, fitnah dan berdusta ini, jika dilihat dari satu sudut merupakan dua sifat yang mempunyai persamaan; iaitu menyatakan sesuatu yang tidak benar. Di dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw ditanya tentang al-ghibah (mengumpat). Maka Rasulullah saw menjawab: ((Mengumpat itu ialah kamu menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya)). Sahabat bertanya: “Bagaimana jika perkara itu adalah sesuatu yang benar tentang saudaraku?”. Rasulullah saw menjawab: ((Jika perkara tersebut (yang tidak disukai) ada pada saudaramu, maka kamu telah mengumpatnya, dan jika perkara tersebut tidak ada pada saudaramu, maka kamu telah memfitnahnya (melakukan dusta ke atasnya)). (Hadis hasan sahih, riwayat al-Tirmizi).
» Read more: Angkara Dusta & Fitnah, Yang Benar Dilihat Salah
Budaya Hedonism: Akibat suka berhibur, maruah terkubur ummah mundur (Bahagian 2)
October 28th, 2009 by Abdul Razak 5 comments »

Gambar hiasan
Fenomena ini dapat dibuktikan melalui pengaruh penampilan fizikal, tutur kata, tindakan dan amalan majoriti para remaja zaman ini. Demi menghasilkan imej dan identiti urban-kontemporari para remaja zaman ini sanggup menggadai jati diri dan sosok peribadi mereka demi kelihatan ’cool’ dan ber’attitude’ (Syuhada, 2009). Tiada lagi jatidiri seorang bangsa Melayu yang sangat terkenal dengan budaya ketimurannya. Malah yang lebih penting, tidak nampak pada peribadi dan tingkah laku mereka watak seorang Muslim sejati, yang telah diutuskan seorang Nabi, sebagai contoh ikutan yang hakiki.
Terlalu banyak contoh pemikiran hedonism ini menular dalam pemikiran masyarakat terutamanya generasi muda. Salah satu buktinya yang ketara ialah keghairahan dan kegilaan generasi muda akhir-akhir ini terhadap bidang nyanyian apabila pemikiran ini meresap dan mengakibatkan generasi muda melihat bidang nyanyian sebagai satu prospek yang menguntungkan. Hal ini terjadi apabila lambakan program realiti televisyen untuk mencari dan mencungkil bakat-bakat penyanyi baru. Program-program realiti ini kebanyakannya dicedok bulat-bulat dari negara Barat tanpa ditimbang yang mana buruk yang mana bermanfaat.
Dalam hal ini, mereka yang waras pasti bersependapat dengan pandangan dan teguran yang diberikan oleh Mohd Ridhuan Tee (2006) berkaitan hal ini. Katanya:
”Lebih malang lagi program-program sebegini mendapat tajaan daripada syarikat-syarikat korporat, termasuk syarikat korporat yang diterajui oleh orang Islam. Rancangan-rancangan yang bersifat ilmiah dan bersandarkan ilmu tidak mendapat sambutan dan penajaan serta di anggap merugikan.
Misalnya, rancangan Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan lain-lain diciplak dari barat hampir seratus peratus dan tidak banyak mencerminkan nilai-nilai ketimuran atau budaya hidup Malaysia. Tidak memasukkan nilai-nilai keMalaysiaan atau keIslaman. Ada pengkritik vokal, seni pentas, seni lagu, persembahan dan sebagainya, tetapi tidak ada pengkritik yang memberikan input soal budaya dan adat sopan agama.”
Program realiti hiburan seperti Akademi Fantasia, Mentor, My Starz, Malaysian Idol, One in a Million dan sebagainya ditiru daripada Barat bagi menambah program hiburan di Malaysia, tujuannya adalah untuk melahirkan penyanyi-penyanyi ”pasang siap”. Persoalan timbul apabila produk media keluaran orang Islam di Malaysia yang tidak jauh bezanya dengan produk media acuan Barat yang berteraskan budaya hedonisme. Hal ini adalah akibat pemikiran yang membentuk tanggapan bahawa media hanyalah alat hiburan dan medium menjual produk semata (Syuhada, 2009). Peningkatan jumlah peserta yang menghadiri sesi ujibakat realiti televisyen ini dari tahun ke tahun merupakan kejayaan pola pemikiran hedonisme sehingga mengagungkan populariti dan kemewahan.
Jelas pemikiran hedonisme yang menular ini mampu menyeleweng tujuan hidup seorang muslim sehingga berkiblatkan hiburan dan keseronokan semata. Dukacita apabila generasi muda hari ini lebih mengenali keperibadian artis pujaan mereka daripada keperibadian para nabi. Kehidupan para artis yang mengikut kayu ukur barat dijadikan garis panduan dan ikutan, hatta tingkah laku para artis itu sendiri menentang budaya ketimuran apatah lagi syariat Islam. Semua budaya hedonisme ini dilihat normal atas nama kemodenan dan kecenderungan masa kini. Hiburan yang melampaui batas dan nilai murni ini turut dipromosikan oleh media sehingga menjadi rujukan masyarakat. Masyarakat makan, pakai, dan berkelakuan selari dengan kehendak dan kecenderungan masa kini mengikut maklumat yang disampaikan media. Oleh itu, jika baik maklumat yang tersebar, baiklah kesannya kepada masyarakat, jika buruk pula maklumat yang disampaikan, maka buruk pula kesannya kepada masyarakat.
Shahril Anuar (2006) ketika memberikan kritikan terhadap program-program realiti tv ini menyatakan, kebanyakan program realiti yang ada tidak ambil peduli tentang aspek moral dan budaya masyarakat Malaysia. Tiada satu pun ciri-ciri masyarakat Melayu yang beragama Islam yang ditampilkan dalam program berkenaan sedangkan hampir semua penontonya adalah di kalangan orang Melayu. Pergaulan bebas lelaki dan perempuan, percakapan keterlaluan dan cara penampilan diri yang bertentangan dengan adat dan budaya Malaysia sudah banyak menjadi asam garam program realiti ini.

Suasana di salah satu konsert yang pernah dianjurkan…jangan tersilap..bukan di negara Barat, tetapi di dalam negara Malaysia kita yang tercinta..Adakah generasi begini yang kita mahu lahirkan?
Hiburan menjadi agenda utama media massa apabila kebanyakan promosi yang diberikan media kepada para artis melebihi para ilmuan dan tokoh sarjana. . Tokoh-tokoh akademik, para ulamak, negarawan kurang ditonjolkan pencapaian dan sumbangan yang telah mereka lakukan untuk pembangunan umat, agama, bangsa dan negara. Sebaliknya, artis-artis lebih diberi pelbagai anugerah dan dijulang nama. Pencapaian para artis lebih mendapat liputan pihak media, berbanding kecemerlangan para cerdik pandai negara.
Realiti yang berlaku ini membuktikan betapa budaya hedonisme ini telah meresap masuk dan sedikit demi sedikit menjadi darah daging masyarakat. Penularan budaya dan fahaman ini sebenarnya berkait rapat dengan pihak pengamal media yang memberikan ruang yang sangat banyak kepada program-program dan bahan-bahan berita yang berbentuk hiburan.
Budaya Hedonisme: Akibat suka berhibur, maruah terkubur umat mundur (Bahagian 1)
October 19th, 2009 by Abdul Razak 1 comment »Pemikiran budaya hedonisme*
(Ini ialah sebahagian petikan kertas kerja bertajuk Media Massa dan Serangan Pemikiran yang pernah saya bentangkan di Seminar Kebangsaan: Media dan Pemikiran Islam, anjuran Universiti Sains Islam Malaysia pada 20-21 Julai 2009 yang lalu)

Gambar hiasan
Hedonisme yang berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud kesenangan (pleasure) ialah suatu pola pemikiran dan budaya hidup yang terlalu sukakan kepada aktiviti hiburan dan keseronokan semata-mata (Encyclopedia of Philosophy, 2006;254-258). Menurut kamus dewan pula, hedonisme ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.
Sedar atau pun tidak, secara sengaja atau pun kebetulan cuma, budaya hedonisme ini telah mula menular masuk sekian lama dalam kehidupan masyarakat Islam di Malaysia terutamanya dikalangan muda mudi. Salah satu faktor penting yang menyumbang kepada berlakunya fenomena ini ialah realiti media massa sama ada media cetak atau media elektronik yang memberikan peruntukan yang sangat banyak kepada aspek hiburan.
Kebarangkalian yang boleh difikirkan kenapa berita artis, rencana hiburan dan skandal seks diberikan ruang yang begitu meluas, dengan gambar-gambar yang besar dan memakan banyak ruang, tajuk-tajuknya yang besar, mungkin kerana ianya jenis yang ”selamat”. Para menteri tidak menghalang, ramai orang yang suka membacanya, pasaran bertambah dan para pengiklan pun senang hati.
Hiburan pada dasarnya bukanlah suatu yang salah atau dilarang oleh Islam, asalkan ianya dihidangkan dan dinikmati berlandaskan lunas-lunas syariat. Fitrah manusia secara umumnya memang perlukan kepada hiburan. Tuntutan fitrah ini seharusnya diberikan haknya dan ditunaikan dengan adil. Adil dalam erti kata memilih hiburan yang betul dan mengikut kadar yang diperlukan sahaja tanpa melampaui batas.
Namun, fenomena yang terzahir pada hari ini adalah sebaliknya. Program-program hiburan sama ada di televisyen atau radio dilambakkan kepada masyarakat dengan begitu banyak mengatasi program-program lain. Berita-berita hiburan juga memonopoli akhbar-akhbar dan tabloid-tabloid. Kisah kehidupan, dalam dan luar negara, diberikan liputan yang berleluasa.
Tidak cukup dengan program hiburan yang disiarkan di kaca televisyen, terdapat sesetengah pengamal media dengan bersungguh-sungguh menghidangkan hiburan ini secara langsung kepada masyarakat. Menjelajah dari satu negeri ke satu negeri yang lain sambil mengajak masyarakat untuk berhibur bersama artis-artis yang dibawa. Sebagai contoh, umum telah mengetahui tentang kewujudan Karnival TV3 Jom Heboh! yang sudah mendapat tempat di hati masyarakat. Setiap kali karnival ini sampai di mana-mana negeri, konsert hiburan dari artis-artis tempatan pasti dinanti. Memang tidak adil untuk kita mengkategorikan karnival ini sebagai budaya hedonisme sepenuhnya, kerana sesetengah aktiviti yang diselitkan memang memberi faedah kepada masyarakat seperti pameran yang melibatkan gerai-gerai dan jualan. Namun, pengaruhnya ke arah penyuburan budaya tersebut tidak boleh dinafikan.
Hal ini tampak jelas melalui tindakan Kerajaan Negeri Terangganu suatu ketika dahulu melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Pembangunan Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Komunikasi Negeri, Wan Hashim Wan Salleh pada 26 Febuari 2005. Sebagai mewakili Kerajaan Negeri Terengganu, beliau menafikan sama sekali telah memberi kebenaran kepada stesen televisyen swasta, TV3 bagi menganjurkan program berbentuk hiburan, Karnival TV3 Sure Heboh – nama yang digunakan ketika itu- di negeri tersebut. Kerajaan negeri katanya tidak pernah dan tidak akan membenarkan karnival berkenaan atau yang seumpamanya dibuat di negeri itu kerana ia mengandungi beberapa aktiviti seperti konsert oleh artis tempatan yang tidak menepati ciri-ciri Islam Hadhari. Sebaliknya, tambah beliau, kerajaan negeri telah membuat kerjasama dengan stesen televisyen itu bagi menganjurkan satu program Islam Hadhari yang bertujuan memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu mengenai konsep Islam Hadhari. Natijahnya, maka lahirlah program ”Perkampungan Hadhari” yang dilihat lebih berunsurkan Islamik.
Selain konsert-konsert yang diselitkan semasa karnival Jom Heboh ini, ada juga konsert-konsert lain yang terus dijamukan kepada masyarakat kita di atas pelbagai nama dan tema, dianjurkan oleh pelbagai pihak dan syarikat. Konsert sempena sambutan tahun baru, konsert sambutan hari kebangsaaan dan bermacam lagi. Contoh lain ialah Konsert Inspirasi TV3 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Pesta Malam Indonesia 3, Rockaway ’09 dan terdapat 6 konsert lain yang dianjurkan sempena Festival Muzik KL 2009 yang bermula dari 1-10 Julai 2009.

Gambar hiasan
Apabila program-program hiburan sebegini dilambakkan, kesannya minda masyarakat akan banyak dibentuk dengan hiburan. Generasi muda yang diharapkan menjadi barisan pelapis untuk menerajui dan mencorak pembangunan ummah dan negara, disibukkan dengan hiburan yang melampau-lampau. Mereka lebih ghairah dan bersemangat untuk berbicara tentang gosip sensasi para artis, filem-filem terbaru di pawagam, lagu-lagu yang sedang popular dan pelbagai topik lain yang semuanya berkaitan dengan hiburan. Penyakit ini bukan sahaja menimpa golongan muda mudi kurang berpendidikan, malah dukacita apabila ianya turut berjangkit kepada golongan mahasiswa mahasiswi di institut pengajian tinggi.
3 Paksi Muslim
October 14th, 2009 by Abdul Razak No comments »
Ketahuilah wahai saudaraku – mudah-mudahan dirahmati Allah-,
Sesungguhnya setiap Muslim itu wajib untuk mengetahui tiga perkara asas dan beramal dengannya:
Pertama: Mengetahui bahawa Allah swt yang telah menciptakan kita, memberikan rezeki dan tidak membiarkan kita sia-sia begitu sahaja, malahan diutuskan kepada kita Rasul. Maka barang siapa yang taat kepadanya akan masuk syurga dan sesiapa yang mendurhakainya akan masuk neraka. Firman Allah swt:
{ الله أعلميتبشسبعايسشبشسقا ىصثقخضصهع ثصةثصعغع }
Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada kamu (hai orang kafir Mekah) seorang Rasul, yang menjadi saksi terhadapmu, sebagaimana Kami telah mengutus (dahulu) seorang Rasul kepada Firaun. Maka Firaun mendurhakai Rasul itu, lalu Kami siksa dia dengan siksaan yang berat. (Surah al-Muzammil: 15-16)
PMR..Semoga kejayaan milik kalian!
October 9th, 2009 by Abdul Razak 1 comment »

PMR sedang berjalan. Kemungkinan minggu ini adalah minggu yang mendebarkan bagi pelajar-pelajar Tingkatan 3 seluruh Malaysia. Tetapi, mungkin juga ia merupakan minggu yang paling menyeronokkan dan dinanti-nantikan kerana segala usaha, persediaan yang dilakukan sebelum ini, maka inilah detiknya untuk ianya dipersembahkan. Tidak sabar-sabar untuk menantikan hasilnya dan mengecapi nikmat kejayaannya.
Apa pun, bagi adik-adik pelajar Tingkatan 3 (terutamanya bagi mereka yang telah sempat menerima khidmat rundingan dari RK Training) percayalah bahawa sebagai seorang insan, kita telah berusaha melakukan apa yang termampu. Adik-adik telah belajar bersugguh-sungguh, guru-guru telah mencurahkan segala ilmu dan petua, kami juga turut membantu memberi dorongan dan berkongsi pengalaman. Maka, yang tinggal sekarang ialah kita berserah dan bertawakkal kepada Yang Maha Menentukan segala sesuatu. Semoga Tuhan menentukan bahawa kejayaan adalah milik kita. Semoga adik-adik semua akan diberikan ketenangan dalam menjawab peperiksaan.
Kami menggilap kemahiran, anda mengecap kejayaan…!
p/s: Untuk adik-adik Eldatera, Sekolah Sri Puteri…buktikan kehebatan anda. Anda lebih hebat dari apa yang anda sangkakan..Hadiahkan kejayaan untuk mereka yang dikasihi..Semoga kenangan bersama RK Training akan sentiasa diingati. Kita bertemu lagi dipuncak kejayaan!

